Suka citra @ xiiinam? Terima kasih :D

20090831

Dirgahayu Watanku...ke 52 kalinya.

video
Tanpa suara base lelaki, kerana ini sekolah perempuan...
Hanya jalinan vokal harmoni altos dan soprano dari sekumpulan remaja perempuan anak didik kami yang menjadi ahli Kelab Koir di bawah pimpinan PK HEM...yang sedang dibentuk menjadi modal insan untuk mengisi kemerdekaan dan mempertahankan watan yang berdaulat...
Yang turut ingin menyatakan....
Dirgahayu Negaraku...
Untuk ke 52 kalinya.....
Daripada Puteri-puteri Convent Teluk Intan.

20090827

"Shah Jahan, susah senang biarlah kita bersama," janji Mumtaz.

Shah Jahan gering. Hangat tubuhnya menjadi-jadi. Sejak dinihari tadi dia mengadu sakit batu jemala. Bibirnya berketar. Dingin amat,ujarnya. Sepanjang malam Mumtaz memicit kepala Shah Jahannya. Shah Jahannya kelihatan begitu lemah. Suaminya itu memang jarang demam. Sesekali diserang demam, menakutkan. Membimbangkan.

"Kita ke hospital ya bang. Saya bawa abang ke wad kecemasan. Ya!"

"Emmh...tak payahlah, malam-malam ni. Awak tu pun bukannya sihat betul lagi. Dahlah...pergi tidur. Nanti awak sakit lagi!"

"Abang ni....susah, biarlah kita sama-sama susah. Saya sakit abang jaga, abang sakit sayalah jaga.."

"Alahhh...demam malam je ni. Esok okeylah ni. Dah...tidur!" Terkesan getaran pada suara lirih Shah Jahan. Tentunya menahan rasa sakit yang menggerit. Mumtaz lalu mengemaskan gebar yang melitupi tubuh suaminya lalu memeluk Shah Jahan dari belakang. Sekurang-kurangnya, dapatlah menghangatkan tubuh yang sedang kejur kesejukan itu.

Manatah Mumtaz mampu memicingkan mata. Suhu badan Shah Jahannya tinggi amat. Sakit kepala. Sakit badan. Di tambah dengan muntah-muntah. Manalah Mumtaz tak bimbang. Di saat amukan H1N1 menjadi ancaman begini. Shah Jahannya perlu diperiksa. Manalah tahu. Kena demam denggi ke...atau demam yang itu ke. Na'uzubillah. Mumtaz terpaksa berfikir yang buruk-buruk. Bukan Mumtaz tak sayang Shah Jahan. Kerana sayanglah dia terfikir yang bukan-bukan.

Semasa bersahur, Shah Jahan tak mampu bangun. Keadaannya makin teruk.

Akhirnya, pagi itu Shah jahan berjaya dipujuk ke hospital. Mumtaz dengan sepenuh tenaga yang masih ada, memapah Shah Jahannya memasuki kereta.

"Pandu baik-baik" Dalam lemah itu....Shah Jahan sempat menasihati isterinya.

Sampai di ruang pakir hospital.....

Dengan lemah...Shah Jahan terpaksa berjalan sendiri ke Jabatan Pesakit Luar. Ambil nombor. Tunggu giliran. Shah Jahan terpaksa berjalan sendiri ke makmal patologi, menjalani saringan dan ujian darah. Shah Jahan juga terpaksa berjalan sendiri ke farmasi, menunggu nombor dan mengambil ubat. Mumtaznya mungkir janji. Janji Mumtaznya untuk susah bersama tak boleh pakai. Piiiirah!!!

Mumtaz: Maafkan dinda kanda. Bukan dinda tak sanggup susah bersama kanda. Bukan!Bukan! Tapi sampai di ruang pakir ini, dinda terpaksa berhenti. Sampai di ruang pakir ini sahaja dinda sanggup bersama......





.....dalam kelam kabut memapah kanda masuk kereta tadi, dinda bukan sahaja pakai baju terbalik...tetapi, dinda juga lupa pakai sepatu. Dinda terpaksa tunggu kanda dalam kereta saja.

...dua jam lebih saja kanda....tak lama. Nanti kita bersama semula.Hiksss!


كل عام وانتم بخيربشهررمضان ا لكريم
.

20090825

Tengahari rembang bulan Ramadhan...

Azan zohor sudah berkumandang. Sahut menyahut dari satu surau ke satu surau. Satu masjid ke satu masjid. Menghasilkan satu alunan indah, lebih harmoni daripada alunan acapela gabungan suara soprano, altos atau base dalam sebuah kumpulan koir.

Saya tandakan ayat terakhir yang saya baca. Balik dari pusat peperiksaan 12.15 tadi, 'berkhalwat' dalam kamar sebentar dan cuba menyambung bacaan. Dapat sedikit sahaja. Mushaf yang Khalik, dari perisian Quran Digital dalam nettop itu lalu saya tutup, dan 'simpan' baik-baik....

Ya Rabb, jadikan aku seorang abid yang sentiasa merindui ayat-ayat Mu. Amiin.
InsyaAllah sambung lagi sementara waktu berbuka nanti.

Isi rumah senyap. Apa anak-anak saya buat? Cuti-cuti sekolah begini? Tengah-tengah panas rembang bulan Ramadhan ini? Sudahkah mereka bersedia untuk bersolat? Lalu tanggungjawab ibulah, untuk memantau mereka. Mereka zuriat ibu. Siapa lagi? Takkan Achi Pusparani belakang rumah kot?? Yenna ma?

Seorang demi seorang anak saya jenguk.....

Yang bongsu.....sudah 'mengontrol remote control'. Amboooooi, kaki tu!!!! Tadi saya sengaja biarkan dia terkedang mengadap televisyen. Jenuh menjawab soalannya yang berulang-ulang. Masa saya berada di pusat peperiksaan tadi pun ada sms dan panggilan tak berjawab dari dia. Soalan yang sama jugalah tu!
"Bu, berapa jam lagi nak berbuka?"

"Bu, petang ni masak spaghetti ya.....ibu bubuh meat ball...lepas tu ibu buat dadih. Lepas tu ibu buat mushroom soup..Nuha nak makan dengan garlic bread...lepas tu kan.....lepas tu...". Haih! Kau ingat, ini restoren mamak?


"Nuha....cantik sangat Nuha letak kaki kat atas macam tu. Ibu suka!"
Perlahan-lahan kaki berselipar strawberry merah itu diturunkan.....
.
.
Anak kedua bongsu. Cermin mata pun dah tanggal.....

"Bill, jauh sangat muka Bill tu.....tampalkan teruslah muka Bill pada LCD tu. Lagi mengancam!"
"UPSR berapa hari lagi anak ibu ni?" ujar saya sambil mengurut-urut belakangnya.
"Ala bu....relax...relax...jangan tension tension. Tak baik untuk kesihatan ibu. Don't worry ...everything is under control!" Mulutnya menjawab tanpa menoleh.

"Apa yang kau kontrol....game runscape tu?" Urutan di belakang badannya telah bertukar menjadi cubitan-cubitan besar. Jeran sungguh melihat dia begitu asyik sampai terkemam-kemam bibir.

"Dah...dah...berhenti. Dah azan tu!!!Imamkan kakak dan adik, abah tak ada! " Cubitan-cubitan besar di belakangnya diubah menjadi cubitan-cubitan kecil penuh bisa......hinggalah dia berhenti, dan beransur ke bilik air... sambil menggosok-gosok belakangnya...
"Fuh....berdesing rasanya bu!" sempat k0mplen dia.
.
.
Anak ke dua. Orang datang ambil gambar pun tak sedar....
....dan Imau, kucing kesayangan dia tu, ikut saja apa tuannya buat. Saya masih berdendam dengan si Imau tu! Nanti dia!
"Anak ibu buat apa ni?"
"Ehhhhh...heh...heh...heh...!"
"Hah....download vedio tak sudah-sudah. Tadi kata nak buat buku skrap Sivik! Cerita apa tu?"
"Cerita Jepun!"

"Dah ....cukup. Ambik wudhuk! Tunggu di ruang solat" Saya membuat keputusan seraya tangan memadamkan suiz pendingin udara.
.
.
.
Anak sulung yang bertuah. Pintu kunci.
"Tok...tok...tok....Dia!"
Senyap.
"Tok..tok...tok...ooooo Dia!"
Senyap.
"Dia......anak ibu tidur ke?"
Senyap. Geramnya. Mengejutkan Dia dari tidur memang kerja mencabar. Dail nombor telefon bimbit dia.
Tiada jawapan.
Dail lagi.
"Hmmmmmmmmmm...hallooo....ngape buuuu!" Aduhai, malasnya suara anak dara ku....

"Tidur la tu! Dah bangun...bangun...dah azan dah tu!"
"Hmmmm...yalah kejap lagi."
"Sekarang!"
Senyap.
"Dia?"
"Ya lahhh.... bangunlah ni!"

Dan saya tercegat di pintu itu, hingga Sang Puteri Galoh Cendera Kirana saya benar-benar keluar dari kamar beradu.
..............................................................

Masa saya budak dulu, tengahari rembang bulan Ramadhan begitu, saya mungkin sedang berbasikal merata kampung dengan getah gelang penuh ke siku, berseluar katok, dengan kedua kocek penuh dengan biji-biji guli.......kalau tidakpun, sedang berendam di dalam sungai, bersama geng-geng samseng kampung dusun saya, sambil menyelam minum air....
....dan emak saya, terpaksa pula berbasikal merata kampung mencari saya, untuk mengingatkan saya bahawa waktu zohor sudah masuk......walaupun saya juga memang mendengar azan dari masjid berdekatan....
.

...ampunkan ckLah mak.......selalu buat mak penat menurut ckLah merata kampung. Sekarang, anak-anak ckLah keluar rumah selangkah pun tak mau.....dan sungguh betul kata mak, lain zaman, lain pula cabarannya mendidik anak zaman sekarang!!! Dulu tak ada astro dan internet segala....

......tapi cklah tetap ingat pesan mak, "Selagi kita masih bersama mereka, apapun dia sedang buat, ingatkan dia untuk tunai solat, agar kelak apabila kita sudah tiada bersama mereka, ini akan terus jadi ingatan meraka! Ingat mereka zuriat kita!!!" Ya, mak. Dan kini, setelah ckLah tidak bersama emak lagi, ckLah sentiasa mengingatinya...InsyAlllah.

كل عام وانتم بخيربشهررمضان ا لكريم

20090822

Aura Mawar Nan Sekuntum...

4.15 petang, urusan ditangguhkan, tutup fail..........Dalam renyai petang Jumaat penghujung Sya'aban, yang seperti mengiringi perjalanan saya....kami tinggalkan bangunan biru kuning itu...
Selamat tinggal doktor dan misi. Tiba temujanjinya saya datang lagi!
*********************************************************************************
Suami terus drift xiiinam ke arah Teluk Intan. Terbayang-bayang muka Nuha yang masam kelat, kerana lewat menjemputnya. 6.05 petang, sampai di sekolahnya. Dia sudah hampir menangis, ditemani pengawal keselamatan sekolah wanita itu. Selepas menjemputnya, suami terus menuju ke Masjid Daerah. Temujanji dengan yang Khalik agak lewat petang ini demi keselamatan seorang anak. Ampun ya Rabb!!!

Sementara menunggu Nuha dan abahnya bersolat, berehat sebentar mengadap muka ke arah kipas angin di luar ruang solat wanita. Penat.

Sedang membantu Nuha melipat telekung, seorang remaja yang tadinya solat di sebelah Nuha menegur...
"Puan, maafkan saya puan. Boleh tak saya minta tolong?" Suaranya lemah lembut, dalam senyum ikhlas.

Jarang benar remaja seusia itu memanggil saya 'puan', kalau bukan murid sekolah saya. Dalam berkemeja-T hitam cap UNESCO dan seluar sukan kelabu asap cap sekolah, skaf hitam bersulam bunga kundang gaya ikatan makcik Peah, dan wajah pucat polos tanpa calitan gincu...dek bibir yang mengelupas akibat pengambilan antibiotik...adakah masih nampak imej 'kepuanan' saya...? Ha...ha....ha.....

"Emm...tolong apa tu?" Jawab saya.
"Tolong tumpangkan saya ke terminal bas, boleh tak puan? Saya takut nak ke sana sorang-sorang." Dia nampak begitu jujur.
"Oooo...bolehlah. Nak balik kampunglah ni?" Saya juga ikhlas.

Melihat pakaian rasmi asramanya, saya tahu dia pelajar MRSM daerah berhampiran. Saya lihat dia membawa satu beg pakaian beroda, satu beg galas cap Adidas dan satu beg kertas bergambar beruang panda. Orangnya kecil saja. Tingkatan satu.

Tak dapat bayangkan...dia mengheret semua itu, melintasi jalan raya yang sibuk dari Masjid ke Terminal bas sejauh lebih kurang 900 meter. Serta merta..................terbayang keadaan saya sewaktu tinggal di asrama dulu.

Begitulah......kami tak sebertuah orang lain yang sentiasa diambil dan dihantar bapa....menaiki kereta besar menjalar. Sebaliknya, kena naik bas, turun bas. Dengan segala titik bengik Kena kacau jantan jongos, usah kiralah.......

"Kampung kamu di mana?" Saya mulakan perbualan dalam kereta. Masih menunggu suami di dalam masjid. Lama pula dia beriktikaf.....
"Muar puan!"
"Ooooo, jauhnya. Ayah tak dapat ambil lah ya!"
"Ayah saya dah tak ada puan. Mak saya kerja, nurse!"
Entah kenapa, serta merta hati saya sebak.
"Tiket pukul berapa?" Saya alihkan perbualan.
"10 malam puan!"

Hah? Sekarang baru pukul 6.30. Nak duduk di terminal bas itu sampai 10 malam. Budak perempuan kecil itu? Sendirian? Serta merta terbayang anak-anak perempuan saya.

"Ada kawan tak?"
"Tak ada puan! Ada kakak sekolej tu orang Bakri, ayah dia ambil" jawabnya.
Hati saya lagi sebak. Bakri-Muar. Jauhkah? Apa salahnya dibawa sekali anak yatim kecil itu....


"Okey, macam ni. Jangan panggil puan. Panggil makcik. Boleh tak kamu ikut makcik balik rumah dulu. Malam nanti makcik hantar kamu ke sana?"
Dia merenung saya.
"Jangan risau....makcik ni cikgu. (Baca: Makcik ni orang baik-baik...ahaks). Ni pukul 6.35 makcik nak ambik anak makcik seorang lagi kat sekolah makcik. Dia perempuan juga. Form one macam kamu juga. Boleh buat kawan kamu nanti. Boleh ya?"

Pendekkan cerita.

Suami yang baru tiba dari dewan solat, saya maklumkan....

Pendekkan cerita.

Malam itu kami hantar dia selepas bersolat terawikh. Semasa saya bersama suami dan anak-anak melepaskan dia menaiki bas ekspress ke Johor Bahru, saya merasakan sesuatu perasaan yang lain telah terjalin antara kami. Suami dan anak-anak turut melambai......sehinggalah bas itu ditelan kegelapan malam...

Budak itu memang unik. Nampak bijak. Bersopan santun. Pemalu...tapi pandai membawa diri. Walaupun mula-mula dia agak curiga mengikut saya, tetapi dia tidak kekok semasa berada di rumah saya. Dapat juga dia berehat, mandi, berterawikh sekeluarga dan makan malam bersama kami di sebuah restoren pizza, berdekatan Terminal Bas Teluk Intan.

Pendek kata, saya berkenan dengan pembawaannya! Saya jarang ambil peduli mana-mana remaja yang saya temui di perjalanan begitu. Yang beratus-ratus saya temui di sekolah pun, tak ada yang berjaya memikat hati seperti itu. Yang menyendal hati banyak...Yang ini saya jumpa di masjid. Berkenan sungguh!!! Bertuah ibunya....punya anak sebaik itu!

.
.
.
.
Semasa kami baru selesai menikmati sahur pertama tadi.....telefon saya berbunyi.

"Assalamualaikum makcik...ni saya Mawar. Saya dah sampai rumah. Ni mak saya nak cakap dengan makcik..........."

Lalu.......di subuh pertama Ramadhan ini...sebuah ikatan persaudaraan pun terjalinlah....antara dua keluarga yang belum pernah bertemu....

Kita pasti berjumpa lagi Anakanda Mawar....

....dan semoga anak-anak ibu juga, Dhiya, Diba, Emir dan Nuha akan sentiasa dikasihi dan dikasihani oleh-Nya serta orang-orang di sekeliling.....di mana-mana jua kamu berada.....


Ahlan Ya Ramadhan.....
Selamat berpuasa hari pertama untuk semua...
Seandainya selama ini ada tulisan saya yang berbekas di hati....saya hulurkan tangan kanan saya.....memohon ampun dan maaf.......dan saya juga akan memaafkan orang lain (jika ada terasa bersalah atau tak rasa langsung pun dengan saya) sempena bulan mubarak ini....
.

كل عام وانتم بخيربشهررمضان ا لكريم

20090818

Catatan seorang makcik yang mungkir janji(untuk budak dagu lekuk berseluar merah yang telah berjubah merah)

10 Ogos 1991. Di bawah rimbunan bambu, Varsity Green, Semasa konvokesyen Ijazah Pertama saya di Universiti Malaya. Lama dulu. Zaman cermin mata besar itu...
Sila abaikan imej yang lain, kerana fokus cerita saya adalah budak dalam dukungan itu, budak kecil berseluar merah berdagu lekuk itu (klik) Anak saudara sulung saya, yang turut hadir meraikan ckLahnya....

Dan saya berjanji pada dia, semasa budak berdagu lekuk itu dalam dukungan saya....
"Kalau Tiqah konvo nanti, ckLah mesti datang!"

....................................................................................................................
Semalam. 17 Ogos 2009. Semasa konvokesyen dia di UTM. Skudai.
Budak kecil berseluar merah itu , kini berjubah merah......sudah lulus Ijazah Pertamanya (TESL).Diapit adik-adiknya.....Dan ckLah tak dapat tunaikan janji...kerana pada tarikh 17.8. 2009 itu ckLah masih sedang berperang dengan doktor dan misi...berperang dengan diri...dengan rasa...dengan antibiotik...dengan hormon yang tak seimbang..........dengan nanar....dengan perih....dan dinasihatkan supaya tidak berinteraksi dengan sesiapa....kerana akan buruk padahnya!!!

Maafkan ckLah ya Tiqah. ckLah harap kamu gembira semalam.....dengan kiriman salam ckLah...Dia Nurul Atiqah Mohamad Nasir...Anak saudara sulung kesayangan saya...
Tuan punya blog http://atiqahnasir.blogspot.com/ , yang kerana dialah lahirnya blog Laa Tahzan xiiinam ini......

(gambar dari e-mail bonda Tiqah)

Tahniah Tiqah....

ckLah ingat soalan Tiqah masa kecil dulu....
"CikLah....orang Jawa boleh tak jadi cikgu Inggeris?"
Nah, sekarang kau dah jadi.

Teacher Jawa.....
Ojo lali ngomong boso loh!
Nek cettok bocah sing orak patek mateng koyo emboh, ojo diuncalke njero kolah yo!!!

(Terjemahan: Semoga jadi cikgu cemerlang...ahaks!)

Itu.
Kegembiraan pertama 17 Ogos (anak saudara sulung)
....................................................................................................
Kegembiraan ke dua 17 Ogos(anak saudara bongsu)

Tepat Jam 17:17- 17 Ogos, anak saudara bongsu saya telah dilahirkan, seorang putera seberat 3.51 kg di Hospital Putrajaya. Tahniah kepada adik saya Kamil http://www.kamilz.com/ dan isteri, Noraini, serta dua anakanda,Naqib dan Naqia. Apa pula nama yang ke tiga ni ya? Peristiwa kekalutan saya menyambut kelahiran Kamil telah saya ceritakan dalam entri saya http://xiiinam751.blogspot.com/2009/03/bidan-kecil-itu.html


(p/s: 'Bongsu' setakat inilah (cucu mak ke39)....kerana beberapa lagi sedang menunggu giliran.)

20090816

Terima kasih ...

Terima kasih kepada saudara saudari yang meninggalkan pesan dan doa buat saya dalam entri 9 pagi 13 Ogos.....

....saya sudah membacanya semasa di wad melalui LCD NokiaE90 saya...tapi ketika itu...usahkan mahu merespon segera...mahu tersenyum pun payah......

Izinkan saya membalasnya di sini, hari ini.
Kepada......



  1. Insyirah



  2. Hariza



  3. Abang Long



  4. kakTiny



  5. pB



  6. OneZaba



  7. Yunus Badawi



  8. waterlily



  9. kakEzza



  10. umie



  11. Julietchun



  12. MsLilies



  13. kakNgah



  14. AmirahAimi



  15. syahshah



  16. zino



  17. Intan



  18. KuIna



  19. kucingorengemok



  20. theconcused



  21. mugiwara



  22. Lukmanw



  23. nafastari



  24. chentatiku



  25. naqeeblukhman



  26. shifu



  27. Bestari



  28. Nizam.Arif



  29. MunsyiRagbar



  30. Zulkifli Mohamed



  31. kakPah



  32. Eyna's



  33. cikgumath



  34. TcherSally



  35. addyaholix



  36. Guru_cikgu



  37. KTS



  38. yginsaf4



  39. DUN Behrang



  40. Tasek Merah



  41. Sonata



  42. Nizam.Arif (lagi)



  43. Insyirah (lagi)



  44. Lynn (CSE...yes dear, let's us keep it a secret!)



  45. Azani
...dan yang menyapa saya di ruang 'shoutmix' (maaf, saya memang jarang menjawab teguran di jendela itu, kerana saya hanya menjawab sapaan di ruang komen) 'Shoutmix' saya sediakan untuk murid-murid saya sahaja sebenarnya...

....terima kasih mendoakan kebaikan buat saya, meski hanya rakan maya yang tidak pernah ketemu wajah. (err....kecuali seorang saudara macho di atas)

...masa-masa lalok,debar, perih,pedih,ngeri,nyeri, dan mengigau terkejut-terkejut dalam tidur........sudah berlalu. Kini saya sedang berehat ....bersiap siaga untuk menyambut ketibaan Ramadhan al mubarak....

...hanya ini pemandangan yang ada dari tempat saya bersantai menghabiskan hadiah percutian paksa dengan penginapan berbayar beberapa hari beberapa malam ...dirakam melalui telefon saya, yang akhirnya diserahkan semula ke tangan saya oleh 'body guard' saya (setelah dirayu).
.
.
Inilah....langit saya... dan ruang yang saya ada. Maaf, terlihat pula hujung kaki saya di sebalik selimut itu.

.....rakaman pegun imej terbaru saya. Maaf juga, hanya tangan dan kepala lutut yang berjaya dirakam sendiri dalam pembaringan itu.

Dan ini...jiran saya...... Terpaksa ambil curi-curi.......kerana dia sangat garang dan tak mesra jiran!
..........payah menaip guna tangan kiri pada kekunci telefon saya, sebab tangan kanan sedang dipasung oleh jarum penyalur bantuan hayat.
Dah malam. Sambung esok. Nak tidur dulu.
(sambung)
Malam tadi saya tidur nyenyak...tidak mengigau-ngigau lagi seperti sebelumnya. (trauma melihat lampu bilik pembedahan, doktor dan pasukannya yang berjubah dan bertopeng yang melapah isi perut saya...dan aroma bilik operasi yang...ahhh....)
......mohon berhenti dulu sebelum citra tamat..... 'body guard' saya sudah menjeling sambil mengurut-urut misainya....
...lebih-lebih nanti dia rampas semula nettop yang dibawakannya untuk saya ni pula
Kepada yang bertanya saya sakit apa.....
Susah mahu bercerita dari babak mana. Bimbang dianggap meraih simpati. Operasi ini hanya untuk 'membetulkan kesilapan'. Bukan menyembuhkan......kerana peluru-peluru bantuan hayat itu masih perlu ku jamah mengikut tertib, selagi jasad belum dikandung tanah...wallahua'lam.

20090813

Operasi 9 pagi 13 Ogos (Maaf jika ku tak sempurna)

Sehari dua ini, dalam keupayaan yang semakin mengurang, saya tidak fikirkan perkara lain, kecuali menyelesaikan tugas sesempat boleh...tugas-tugas seorang hamba...isteri...ibu...dan guru....
...saya terpaksa mengejar masa......sebelum 9 pagi 13 Ogos....

Kenapa ckLah?
Kenapa 9 pagi 13 Ogos?

Ini peluru untuk sebulan. Setiap bulan beginilah. Dan beginilah setiap bulan. Ini pula untuk seminggu. Setiap minggu beginilah. Dan beginilah setiap minggu.

Sejak dua tahun lalu.

Pernah seorang 'afiat' terpandang stok 'penyambung hayat' saya secara tidak sengaja...
Dan ini reaksinya......

"Apaaaaaaaaalah kau ni? Muda-muda dah telan ubat sebanyak tu? Jangan lah dimanjakan badan tu sangat....tengok macam aku. 'Clear'. Penyakit apa pun tak dak. Sebab aku amalkan gaya hidup sihat!"

Ah......sabar...jangan terguris! Kalaulah saya boleh memilih untuk tidak dipilih hidup cara ini.... Tapi, saya telah terpilih. Dia telah memilih saya. Apalah daya saya. Saya kena berusaha untuk teruskan hidup macam orang lain. Itulah pilihan yang saya ada.

Sudah dua tahun.
Saya kena memilih untuk menjaga segala-galanya.
Tidak boleh itu. Tidak boleh ini.
Tidak boleh begitu. Tidak boleh begini.
Tidak boleh buat itu. Tidak boleh buat ini.
Tidak boleh dibuat begitu. Tidak boleh dibuat begini.
Itulah pilihan yang saya ada.
Dan saya memang jarang bercerita...itu juga pilihan saya.

Kerana kalau bercerita pun....ahhhhhh...siapalah yang mahu berkongsi susah.....
Berblog...?
Antara pilihan saya untuk melupakan perih...
Tapi kekadang...
Dalam keseronokan berblog.....muncul juga virus lain
Virus berkepala hitam...
Yang sering menyendal hati....
Ah...tak mengapa..
kerana mereka tak kenal saya sebetul-betulnya....

Saya hanya manusia biasa.
Dalam berkecindan.. Dalam bercitra...Dalam berlelucon...
Dalam menjaga itu dan ini....
Kesilapan berlaku juga......
Dan pukul 9 pagi 13 Ogos...saya perlu jalani proses 'membetulkan kesilapan' itu...

Kenapa ckLah?
Apa ada pada 9 pagi 13 Ogos?rr....ckLah tak boleh cakap banyak lagi..lut ckLah dah kena tut


Gambar terakhir...12 ogos 9 pagi (24 jam sebelum 9 pagi 13 ogos).

Bukan kerana H1N1!!!
.

.

.
Saya memohon ampun dan maaf...
kiranya selama ini dilihat tak sempurna....

9 pagi 13 Ogos...
Tubuh saya akan dibius....
Daya saya akan dihilangkan...
Ingatan saya juga....akan direhatkan beberapa jam....
Dan saya serahkan jasad ini kepada doktor pakar itu, Dr Tan serta pasukannya...
"Errr......err.....saya sudah bersedia doktor!!!" kataku dalam debar....
Dan saya akan menyerahkan diri.....buatlah apa yang patut.....


Dan lebih dari itu....saya serahkan segalanya kepada Dia....Yang Khalik....yang memiliki saya...yang lebih berhak ke atas saya..............................Yang Memilih...dan Menentukan.


Plat xiiinam akan ditanggalkan dan digantung dahulu....
ku Mohon maghfirat...
.
.
Ini Entri Berjadual.
Yang akan disiarkan menjelang...
9 pagi 13 ogos.

kerana tepat 9 pagi 13 Ogos...Saya sudah berada di
b
ilik operasi . Di sebuah pusat pakar perubatan swasta....

maaf...jika cklah tak sempurna...

maaf...kita tak sempat bersalaman.....

mahupun berpeluk cium...


Saya tinggalkan sebuah 'melankolik' untuk santapan telinga...


jangan rindu saya!!!

zzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzz

20090809

'Banyak kotor punya Law lah cegooo!!!'

Tempat Kejadian : Tingkatan 3 H (H= Harap lulus.....ahaks!)
Masa : 11.10 - 11.50

Sukatan Sejarah Tingkatan 3 sudah lama habis. PMR makin mendekat. Saya gunakan waktu P& P untuk membuat revisi pelajaran tingkatan 1 dan 2, bab demi bab. Maklumlah, bukan saya yang mengajar mereka sebelum tingkatan 3. Banyak yang mereka sudah lupa.

Semalamnya, saya tinggalkan soalan,"Apakah faktor-faktor penentangan pemimpin tempatan terhadap British (pelajaran tingkatan dua). Saya minta mereka cari jawapan di rumah.

Esoknya.

Renu: Cegoo, saya suda tau apasal 'dorang' bunuh itu Birch.

Cikgu: Oh ya? Sebab apa tu?

Renu: Dia banyak gatal cegoo. Dia ada cabul haram sama hamba. Lagi, dia buat undang-undang baru baaaaanyak mencarut cegoooo. Haiyyuuuuoooo. Kelepuk!!!(sambil menepuk dahinya sendiri!)

Cikgu: Mana kamu tau?

Renu: Saya ada baca form two teks book la cegooo.

Cikgu: Betul ke kamu baca......?

Renu: Haiyyuoooo cegoo! Cegoo tada baca kaaa?? (eh...aku pulak yang kena pelekeh!)
Saya ada pinjam buku form two punya budak cegoo. Mari saya tunjuk kasi cegoo baca!


Renu: See!!!!See!!! See!!!. 'Ittu pon' dorang mahu cukai ka cegooo? Banyak kottttuor la cegoo..(dia menunjal-nunjal jari telunjuknanya ke fakta (d), pada buku yang ditunjukkan....seolah-olah sayalah yang bersalah...dan sayalah yang membuat undang-undang itu) . Lihat fakta (b). Itulah yang dia kata 'cabul haram sama hamba' !!!

Cikgu : (Emmmmm...alahhhhhhh...Renu...my dear!!!!)


Dan untuk Renu dan rakan sekelasnya yang sama masak dan secukup rasa macam dia, hari itu saya segera terangkan maksud frasa 'mencabuli adat resam' dan 'cukai kelamin', agar tiada lagi yang terpesong arah..... agar mereka faham....dan tidak ke laut lagi...

.
Tapi....ada lagi yang menyampuk....
.
Fiq: Ooooooooooooooooooooo...Baru saya faham cikgu. Saya ingatkan orang lelaki je kena bayar cukai benda ni!

Cikgu: Kenapa pulak?

Fiq: Yalah...sebab orang lelaki je ada alat kelamin tu....

Izzy: Hoi Fiq....apalahhhh..... ko tak ada alat kel....kel....kelam....err......errr.....errr....sorry cikgu....ngeeeeeeeeee (ayatnya terencat sebaik memandang renungan maut saya yang sedang bercekak pinggang di hadapan) .
Cikgu: (Astaghfirullahal'adziiiiiiiiiiiiim. Mau mati kering cikgu kat kelas kamu ni 3H oiii!)

..........tak takut langsung pada cikgu yang gagah perkasa ni...
Inilah sebahagian buah hati saya di 3H. Nasib baik dah pakai topeng. Tak payahlah susah-susah saya 'water mark' kan gambar mereka... Lihat hiasan dinding kotak-kotak kuning hijau terang di kelas mereka itu....tiap kali saya masuk, rasa pening lalat...

"Cegoo ta da kasi tayang kamu punya face...Jangan saman sama cegoo aaaaaaa Renu!!! Haiyyyuoooooooooooooooo!!!"Mulut sudah kasi tutup pun cakap baaaaaaaaanyak juga!!!

Nota: Buku yang ditunjukkan oleh Renu bukan buku teks, tapi buku rujukan terbitan swasta.

Moral: Kepada penerbit buku rujukan, tolong jangan buat ayat yang mengelirukan murid-murid Hijau saya...kerana mereka memang sangat HIJAU!!!! Kalau merujuk buku teks, ayatnya lebih mudah difahami.
Glosari: Cukai Kelamin = Cukai Keluarga.

.

20090808

Benci kamu! Benci kamu! Ewahhh.....senangnya........


Cerita dalam kereta...

Di rumah kami tak pernah mendengar radio. Dengar radio, hanya dalam kereta. Anak-anak mendengar muzik di rumah bukan melalui radio. Cara budak-budak remaja sekarang.....mp3 atau komputer. Ikut selera mereka.....masing-masing ada minat sendiri. Si sulung Dhiya yang menggemari Arashi, Utada Hikaru, Yui Horie dan Tegomass dari Jepun serta Lee Jun Ki dari Korea meski tak pernah berpeluang mencemar duli ke negara itu macam orang lain. Adiknya Diba menyukai Hannah Montana dan Hillary Duff, meski hanya kenal melalui tv. Nabil meminati lagu Gaza Tonight nyanyian Michael Heart juga Hijaz, Raihan dan Rabbani serta nasyid kontemporari sementara Nuha masih belum meminati lagu semasa.... dia masih menyanyi lagu Burney And Friends;
"I love you...you love me...we 're happy famili..la..la..la..". jiwanya masih kanak-kanak....

(Bukanlah saya berbangga apabila menulis tentang kegemaran anak saya. Langsung tidak. Errr...tapi, bukan juga salah ibu mengandung anak-anak saya tak suka lagu Melayu kontemporari walaupun mak mereka cinta akan Bahasa Melayu (cinta akan Bahasa Melayu, bukan lagu Melayu semasa). Kalau lagu-lagu P Ramlee, dan beberapa lagu klasik patriotik, mereka suka. Berapa kerat pun lagu Melayu kontemporari yang mengangkat Bahasa Melayu dalam ertikata sebenarnya... tatabahasanya... simantiknya... sintaksisnya.... morfologinya..........maaf cakaplah, kepada penggemar artis melayu dan keluarga mereka.... Ahh.... tanpa melalui lagu-lagu semasa pun masih banyak medium lain untuk menyemai rasa cinta kepada bahasa Melayu. Tanpa melalui lagu pun mereka masih fasih berbahasa Melayu. Dan...bukan juga saya mengatakan yang datang dari luar itu baik belaka....Syukur tiada anak saya yang menyukai RAP......satu genre muzik yang saya sendiri tak boleh terima....setakat ini, insyaAllah saya masih boleh mengawal anak-anak saya)
.
.
.
Balik dari sekolah lewat petang itu. Saya memandu. Nabil Emir dan adiknya Nuha Eiman di belakang.

Senyap. Penat agaknya.

Saya tekan butang radio.

"I like to move it move it
i like to move it move it
i like to move it move it
i like to move it move it

i like to move it move it..."

Dari mula sampai akhir.....itulah senikata lagu yang dimainkan DJ radio itu. Haih....
"Siapa nyanyi lagu ni?" kata saya. Merungut sebenarnya.Tak tau di mana indahnya lagu itu.
"Alaaah...ini bukan lagu lah bu. Ini film theme!" kata Nabil.
"Ha...ah lah bu....Ini muzik untuk menari je! Sebab tu tak sedap langsung!" sampuk Nuha.
Eh....Tahu pulak dia.
.
Iklan.
.
DJ berceloteh sebentar. Entah apa yang diomelkan pun, tak fahamlah.....
.
DJ pasang lagu lain. Lagu Faizal Tahir katanya. Tajuknya " Bencinta".
BENCINTA?
Dalam kamus DBP atau Oxford atau Fajar Bakti memang sah tak ada perkataan itu.
Pandai dia mencipta perkataan baru. .....
.
Dia terus menyanyi...
.
"Aku benci pada mu...
cinta padamu...
benci padamu...
cinta padamu...
benci padamu...
cinta padamu..."


Tiba-tiba Nuha bersuara...

"Senangnya orang ni cipta lirik......benci kamu cinta kamu benci kamu cinta kamu benci kamu cinta kamu....."

"Memanglah.......tak lama lagi dapat Datuk lah tu....." Jawab abangnya malas.

"Ha..ah kan bang. Jadi artis senang nak dapat datuk kan? Kalau jadi cikgu......jangan haraplahhhhhh!"
.
.
Iskk..isk..melampau kenyataan Nuha ni...... perli aku ke apa ni?

.
.
.
Nak sampuk...
Tak nak sampuk...
Nak sampuk...
Tak nak sampuk...
Sampuklah..
Eh...Tak..
Sampuk..

Isk....biarlah mereka berbual berdua.....

.

.

.

.......enaknya jagung bakar.............



2 imej babak dalam kereta di atas.....adalah waktu yang berlainan.....sekadar gambar hiasan. Hikkkss...


Nota: Berbahasalah dengan betul.... Siapa lagi yang wajar mendaulatkan bahasa kita....kalau bukan kita....

Saya: Peminat Julio Iglesias...... I'm sorry Mawi...

20090805

Menanti Nur Ramadhan

Alhamdulillah...
Malam nisfu Sya'aban sedang dilalui penuh fadilat dan berkat...
Penuh nikmat dan lazat....
.

Moga amalan kami diterima Yang Khalik...
Moga hajat kami didengar dan diperkenan....
.

Yaasin satu...
Panjangkan umur kami kerana ibadat kepadaMu
Amiiiin...
.

Yaasin dua...
Kurniakan kami rezeki yang halal dan banyak untuk bekal ibadat kepadaMu
Amiiiin...
.

Yaasin tiga...
Tetapkanlah iman kami Rabbi
Amiiiin...
.
Ramadhan al Mubarak
Rinduku semakin sarat....
Moga sempat menghirup berkahmu.....
.

Selamat menyambut nisfu Sya'aban dan Ramadhan yang kian mendekat....

20090802

Jangan buka pembalut luka itu...

Seorang pemimpin parti pembangkang berbangsa Melayu mengatakan, dia mahukan Chin Peng dibenarkan pulang atas alasan kemanusiaan dan kemaafan.

Saya bukan mahu menulis tentang isu politik semasa tanah air. Saya ingin menulis tentang sejarah. Sejarah adalah antara ‘passion’ saya.

Dalam sukatan Sejarah tingkatan 3, selama 3 minggu saya menghabiskan satu bab tentang ‘Komunis’. Tapi, bak kata guru saya semasa di UM, Profesor Emiritus Dato’ Dr Khoo Kay Kim;

Sejarah adalah disiplin paling penting, walaupun tidak akan membantu seorang menjadi orang kaya. Buku teks bukan cara yang ideal untuk mempelajari kisah sejarah kerana skopnya terlalu terhad. Penyelidikan adalah jawapannya, yang kemudian disampaikan kepada umum melalui bacaan popular

Ya, sekadar membaca satu bab dalam buku teks tingkatan 3, ditambah hambatan perasaan ingin lulus dalam peperiksaan semata-mata……sejauh manalah ‘kebencian’ terhadap komunis dapat ditanam dalam jiwa remaja sekolah berusia 15 tahun ini? Sedang pada masa yang sama, si dewasa dan tua bangka di sekeliling murid itu bukan saja tidak membantu, malah hanya menambah kecelaruan fikiran dengan perkara-perkara yang membelakangi sejarah.

Tanggungjawab siapa pula? Peranan guru Sejarahlah…..siapa lagi. Kalau guru juga sekadar menyampaikan yang tertulis dalam buku teks, tanpa rasa tanggungjawab untuk menyemai elemen patriotisme kepada murid…jawabnya, sejarah itu akan berlalu begitu jugalah… tidak hairanlah kenapa Sejarah menjadi subjek kritikal yang seolah-olah tiada nilai komersil. Jarang ibu bapa mahu menghantar anak ke kelas 'tuisyen' Sejarah kan? Hantarlah kepada guru sepakar apa pun, kalau murid itu sendiri tidak membaca, dia tak akan menguasai topik-topik dalam buku teks Sejarah...

Saya dapati, negara kini dilanda fenomena baru. Fenomena ungkit mengungkit, satu elemen subersif generasi yang tidak harus dipandang sepi oleh mereka yang berada di tampuk tertentu…lebih malang, isu-isu yang diungkit, tanpa sempat diperhalusi, telah dimanipulasikan pula oleh permainan politik yang semakin menyebalkan.

Satu isu yang sengaja mencari penyakit adalah isu ‘membawa pulang Chin Peng’. Pulang? Chin Peng mahu dibawa pulang ke mana? Bilakah Chin Peng menjadi rakyat Malaysia? Chin Peng tak pernah memohon menjadi rakyat Malaysia pun. Semasa dia lari meninggalkan Negara ini, dia adalahrakyat Negeri-negeri Selat’.

Jika Chin Peng dibenarkan ke Negara ini, dia harus menjalani perbicaraan jenayah perang, dan hukumannya adalah MATI!!!


Dalam buku teks tingkatan 3 hanya dicatat, komunis merusuh, membunuh, membakar rumah, menculik, merosakkan kemudahan, merampas harta……..Aduh. Setakat penerangan begitu, mesej mahu menyampaikan ‘perikeganasan’ komunis itu memang tidak sampai langsung….. sekadar beberapa gambar dan ilustrasi yang statik...memang langsung tidak menarik. Ya. Tidak sampai langsung. Saya terpaksa bawa murid-murid saya menyaksikan beberapa sedutan filem Paloh dan Bukit Kepong (bukan filem 'box office' yang popularlah...), sambil memberi penerangan secara lisan.....sekurang-kurangnya mereka dapat merasai pengalaman secara visual...Berapa keratkah generasi sekarang yang sampai kepadanya cerita-cerita tentang kekejaman komunis, sejak Jepun keluar meninggalkan Tanah Melayu, sampailah British datang semula dengan British Millitery Administrasion, era Malayan Union, sampailah beberapa tahun selepas merdeka, masih ada beberapa kawasan yang masih dikategori sebagai kawasan hitam? Ramai yang tidak tahu, saban hari, setiap beberapa detik, ada mayat ditemui di mana-mana ceruk, angkara komunis. Setiap beberapa detik, ada anggota keluarga yang hilang angkara komunis.

Cerita-cerita begini tiada dalam buku teks. Kalau ada cerita tentang pembunuhan yang disebut dengan agak jelas adalah dalam bab 3 “tiga orang pengurus ladang berbangsa Eropah” dan Pesuruh Jaya Tinggi British, Sir Henry Gurney di bunuh komunis dalam perjalanan ke Bukit Templer..…………….

Ahhh, peduli apa kita dengan kematian orang-orang putih itu. Mana ada cerita tentang Pak Seman kena siksa, pak Abu kena sembelih, atau pak Mail hilang diculik Jepun dalam buku teks. Tak ada!!!

Kena dengar cerita, kena melalui kajian, atau bacaan. Bukan buku ilmiah semata-mata, melalui novel –novel bermotif sejarah juga mesej itu cuba disampaikan, contohnya novel karya Ahadiat Akasah setebal 916 halaman . Saya telah 3 kali khatam membacanya……..Bila Lagi Mentari Melimpah Sinar berharga RM34.90 ini bukan cerita picisan tentang percintaan murahan di kalangan korporat Melayu yang sering menjadi tema popular dalam novel dan drama Melayu sekarang…..tetapi sebuah karya penuh tanggungjawab…… sampai lunyai saya dan anak saya baca berulangkali.... Saya mengikuti citra Profesor Dr Ahmad Juhari Moain, bekas Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, antara ilmuan yang saya kagumi, tentang peristiwa hitam yang membunuh bapanya Almarhum Moain Saridin, dan pakciknya Almarhum Hassan Akasah. Hasan Akasah? Ada kaitankah dengan Ahadiat Akasah? Tak taulah….

Bapa prof adalah SEJARAH BERDARAH. Bapanya seorang ketua kampong berhampiran rumah datuk saya, (juga jiran ayah saya masa kecil) di Kampung Sungai Dulang, Rengit. Johor. Bapa dan saudara maranya telah diikat beramai-ramai dan dibunuh dengan kejam. Mayat bapanya telah dikerat lapan bahagian sebelum rangkanya dijumpai oleh keluarga prof, setelah hilang beberapa hari.

Bapa saya yang 'sekampung' dengan prof bercerita, ada jirannya, yang disiksa habis-habisan, dikelar-kelar seluruh tubuh sebelum garam kasar dicurah ke atas luka-luka yang masih merah berdarah….sebelum dibiarkan mati sendiri. Ahhh….terlalu banyak kekejaman dan penyiksaan yang dilakukan komunis…..

Jadi……mengulas kata Anwar Ibrahim, “Chin Peng harus dibenarkan pulang atas alasan kemanusiaan dan kemaafan”……..di manakah sudut yang harus kita maafkan? Di manakah kemanusiaan bekas Setiausaha Parti Komunis Malaya yang telah menyebabkan rakyat dipaksa mematuhi Undang-undang Darurat selama bertahun-tahun itu? Apakah pada Anwar, menjaga perasaan Chin Peng yang ‘kepalanya pernah ditawarkan pada harga 250 000 dollar bagi sesiapa yang berjaya membunuhnya itu lebih penting daripada pandangan majoriti rakyat, terutamanya keluarga magsa kekejaman dan bekas perajurit kita???Ya, kita memang berada dalam keadaan selesa kerana kita tidak terlibat…..tapi, mangsa, dan keluarga mangsa, bagaimana? Mereka memendam sejarah berdarah yang tidak harus cuba dibuka pembalut lukanya dengan sengaja!!!

Atau, mungkin Anwar ingin melantik Chin peng menjadi penasihat PKR…..oh maaf, saya tak berminat untuk menulis tentang Parti Politik itu….mungkin ada penyokong Anwar yang marah dengan tulisan saya. Saya bukan menulis kerana dia Anwar….tetapi isu saya adalah “kenapa isu Chin Peng” ini sengaja dimanipulasikan? Sehingga ada yang cuba mengangkatnya sebagai tokoh sejarawan Negara sebaris dengan Marhum Tunku Abdul Rahman? Hey, ini Chin Penglah. Bekas Setiausaha Parti Komunis Malaya!!! Makhluk yang pernah cuba mengubah landskap negara kita menjadi Republik Komunis Malaya dengan cara kejam, buas dan penuh perikebinatangan!!! . Tiada beza dengan Adolft Hitler (Penyatuan Jerman) dan Otto Von Bismark (Penyatuan Italy)Tolonglahhhhhhhhhh!!!

Bak kata Awang Selamat, ‘Menyokong Chin Peng adalah gelagat kedurjanaan’.

“Jangan biarkan penderhaka berada dalam kubu kita!!!”


Kenapa mata pelajaran Sejarah tidak diminati atau dipandang penting kebanyakan orang? Kerana kita sudah selesa. Bagi Amerika, sejarah negaranya amat penting dan suci. Rakyat asing yang mahu belajar atau bermastautin di negara besar itu pun wajib mempelajari dan mengambil peperiksaan sejarah negara itu!!!

Dan kenyataan Tan Sri Alimudin Mohamad Dom, bekas pengetua Sekolah Menengah Sains Teluk Intan yang kini menjadi Ketua Pengarah Pelajaran bahawa Kementerian Pelajaran akan menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib bagi semua sekolah rendah bermula Tahun Satu tidak lama lagi amat saya sokong. Dan saya bersedia untuk ditukarkan ke mana-mana sekolah rendah bagi mengajar mata pelajaran itu kepada anak-anak kecil……Sungguh!!!
Saya pernah berbual dengan seorang pelajar dari Bosnia dalam sebuah majlis di UIA. Katanya:
"Bosnia jadi begitu kerana kami tidak diajar tentang sejarah kami"

Selepas bulan Julai (Bulan Bahasa)...Kita tempuh pula bulan Ogos (Bulan Patriotisme).

Citra ini saya catatkan pada 31 Julai...sempena

Selamat Menyambut Hari Pahlawan.......



(Tak mengapa jika kamu tidak berminat membaca citra saya kali ini. Maaf, jangan tinggalkan komen kalau kamu tidak membacanya betul-betul kerana saya tidak mahukan ulasan yang berbaur provokasi, kerana niat saya menulis bukan begitu.......)
SUNGGUH!!!
.
.

Kaki blog seorang kaki blog...

Kaki blog seorang kaki blog...