(Terima kasih kepada semua rakan-rakan yang telah memberi ucapan takziah melalui blog ini, facebook dan sms.. Terima kasih kerana mendoakan kebaikan buat ayahanda mertua saya yang telah kembali ke rahmatullah malam Ahad lepas. )
Dalam usia 99 tahun (pada kad pengenalan-usia sebenar mungkin lebih), apak tidak mengidp apa-apa penyakit. Cuma, kerana usianya yang terlalu tua, beliau mengalami keuzuran sebagai seorang tua.
Petang itu, apak sedikit demam. Hari itu, menantu perempuan apak diminta menjaga apak, kerana tuan rumah, anak lelaki apak iaitu Alang suami isteri bersama anak perempuan apak yang tinggal berhadapan rumah,iaitu Nyah dan suaminya ke Kuala Lumpur kerana ada urusan keluarga.
Menantu perempuan apak yang dipangil Mak Anjang, menjaga apak bersama seorang cucu lelaki apak yang masih remaja. Seperti biasa. Mencukur wajah apak yang telah lama tidak bercukur. Memotong kuku jari kaki apak yang kelihatan panjang. Mengelap tubuh apak....dan menyalinkan lampin apak. Semuanya dilakukan berdua bersama Ijam, cucu apak itu.
Apak disuapi nasi yang dikisar bersama lauk dan sayur. Diberi ubat dan diberi minum. Apak menerima semuanya dengan baik.
Selepas solat Isyak, Mak Anjang perasan, nafas apak kelihatan sedikit lain. Dada apak, sesekali berombak besar, dan nafas apak juga agak jarang. Mak Anjang juga pasti, telinga apak sedikit jatuh. Dan ada tanda-tanda lain yang Mak Anjang pernah dengar dari ceramah Ustaz dalam rancangan Al Kuliyyah di TV3, dan melalui bacaan, tanda-tanda orang yang sedang menghadapi sakratul maut. Mak Anjang mencapai surah Yasin. Mak Anjang membaca Yaasin, sambil tangannya sesekalu mengusap dada apak.
Dua kali Mak Anjang membaca Yaasin, apak tiba-tiba menghela nafas yang kuat dan panjang. Mak Anjang mendekatkan mulut ke telinga apak. Mak Anjang mengucapkan dua kalimah syahadah. Beberapa kali..
Apak tiba-tiba meletakkan kedua tangan diperutnya. Sendiri...
Apak menarik nafas panjang....
Mengucapkan dua kalimah sahadah dengan sempurna....
Apak menghembuskan nafasnya yang panjang...
Dan itulah yang terakhir.
Wajah apak seperti tersenyum....manis.
Mak Anjang mendapatkan pergelangan tangan apak. Tiada gerakan nadi
Dada apak, tidak berombak lagi.
Dahi apak, sejuk.
Dagu apak, Mak Anjang lihat , sedikit jatuh dari kebiasaan.
"Inalillahiwainnailaihi rojiun". Mak Anjang mengucapkan perlahan, sambil tangannya meraih selimut apak, lalu menutupi seluruh tubuh apak.
Apa yang perlu dilakukan selepas itu. Tuan rumah, Abang Alang dan Mak Alang tiada di rumah. Jiran terdekat, Kak Nyah dan Che' Nyah juga tiada di rumah. Jiran-jiran lain yang beragama ISlam, semuanya menghadiri majlis tahlil di rumah seorang ahli kariah Masjid yang agak jauh. Mak Anjang berusaha untuk tidak panik. Sering Mak Anjang lihat babak-babak drama di TV yang melibatkan adegan kematian begitu. Yang mana satu mahu diikut. Menangis meraung di sisi jenazahkah? Atau apa? Ini bukan babak drama......tapi realiti!!!.
Mak Anjang menghubungi Pak Anjang, yang baru keluar untuk menjemput doktor keluarga, untuk memeriksa apak yang suhu badannya agak panas di rumah. Maklumlah, mahu membawa apak ke klinik memang agak sukar kerana segala pergerakan apak memang memerlukan bantuan.
Menghubungi hospital, dan tidak lama selepas itu ambulan datang bersama beberapa orang kaki tangan membawa peralatan mereka untuk mengesahkan kematian.
"Ya puan, ayah puan disahkan telah meninggal dunia jam 9:10 malam tadi"
Bermula dengan kalimah itu, semua adik beradik, saudara mara dan jiran-jiran dihubungi....
Anak pertama sampai, Pak Andak serta isterinya Mak Andak, dan 3 anak perempuannya.
Jiran pertama sampai, Tuan Haji Yunus Kapi, mantan Pegawai Pelajaran Daerah Hilir Perak.
Kemudian, Ateh, anak tuan rumah dan suaminya, serta beberapa kenalan lain. Merekalah yang membantu mengosongkan ruang tamu, dan membawa jenazah apak keluar dari biliknya, untuk memudahkan orang ramai menziarahi jenazah nanti. Menjelang tengah malam, tuan rumah tiba, diikuti seluruh adik beradik dan keluarga....
Alhamdulillah....proses pengurusan jenazah berjalan lancar.
Terima kasih kepada semua ahli keluarga, jiran-jiran, sahabat handai dan kenalan yang telah hadir menghulur bantuan dari awal sehinggalah mengiringi jenazah meninggalkan rumah ini..
Terima kasih kepada jemaah Masjid Al Naim, Taman Seri Setia yang telah melakukan solat jenazah buat apak...
Terima kasih kepada semua yang mengiringi hingga ke permakaman apak...
Bersemadilah apak.....semoga rohmu aman di sana....
"Aku nak puasa dengan mak kamu!" Kata apak beberapa hari dulu.
Dan pusara bernombor 986 di sebelah itu adalahh pusara aruah mak yang meninggal 14 Syawal tahun lepas, yang saya kunjungi beberapa hari lepas, dalam
entri ini..
Bagai diatur-atur, meski sistem di permakaman ini menggunakan sistem nombor, namun akhirnya, pusara mereka berdekatan juga...
 |
Bancuhan teh susu terakhir untuk apak dalam koleh kesayangannya...
yang tidak sempat dihirupnya... |
Kerana memang begitulah...
"Apabila Dia mengatakan jadi...
Maka Jadilah...."
.....dan kita tidak tahu bila, serta bagaimana cara pemergian kita nanti!!!
انّا للہ و انّا الیہ راجعون
Al Fatihah.