Suka citra @ xiiinam? Terima kasih :D

20100930

Ini adalah entri penutup...

Pertama, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada anda, pengunjung La Tahzan XIIINAM yang ke...(sila rujuk ke kanan).....anda yang ke berapa?


...yang ke berapa-berapalah. Dulu kini dan selamanya selagi masih sudi ke laman xiiinam, semuanya saya hargai...

Juga kepada yang klik ke profil blog saya, meski tiada apa-apapun maklumat di situ....kerana operator kilang modal insan ini  memang tiada apa-apa untuk diperkenalkan.

Kepada yang sudi menjadi pengikut blog La Tahzan XIIINAM. Terima kasih!


Kepada yang sering memeriahkan rumah XIIINAM dengan teguran di kotak komen tanpa memilih apa-apa nada dan genre penulisan XIIINAM yang memang caca-marba! Entri yang kekadang suka, kekadang duka, kekadang entah apa-apa... Ramai yang membaca, tak semestinya ramai yang sudi komen, kan...tak kisahlah! Tak ada syarat atau akta untuk itu...kan! Dah sifat blog ini terbuka...sesiapa pun boleh baca...

Bagaimanapun, terima kasih atas kesudian meninggalkan komen yang membahagiakan, dan yang tak berapa nak bgi orang bahagia meski tuan rumah tidak pernah menawarkan apa-apa hadiah kepada para pengomen (memang tak mampu dan tak layak untuk membuat pertandingan bagai pun...maklumlah, blog ala-makcik-makcik yang tak seberapa ini....sungguh!!!) Sekadar blog cap ikan kembung.....

Kepada yang sering intai-intai XIIINAM...meski berat memberi salam kepada tuan tanah..
Rekod September...


Yang sering lalu-lalang  XIIINAM....meski ada yang tak berapa suka menegur tuan rumah di kotak komen.

Yang sering curi-curi masuk....meski tidak sudi memberi salam kepada tuan rumah.... (segan ke...marah ke..tak suka ke...tak apalah...terima kasihlah kerana masih sudi mengintai dan memantau) err...kalau tak suka, takkan intai-intai kan...kan...kan...jangan benci tapi rindu ya kat isteri ckZahan ni...


Meski anda cuba menyembunyikan jejak, penunggu rumah ini sentiasa taat mengesan aroma kelibat kehadiran anda di sini...




Terima kasih kepada yang masih tidak jemu dan tidak serik ke La Tahzan XIIINAM, tidak berkecil hati dengan saya meski saya sendiri kekadang tidak berkesempatan dan tidak mampu mahu melawat ke blog kalian...ya lah, bloger yang bukan lagi remaja , malah ibu kepada 4 remaja ini, pergerakannya memang lambat dan terhad di alam maya. Sungguh!


Makcik menaip guna dua jari, nak!!! Kecik-kecik dulu tak kenal papan kekunci komputer....dah tua baru jumpa!  Memang begitulah cara saya berblog. Menulis entri. Menyiarkannya. Menjawab komen, dan melawat blog lain melalui URL di kotak komen. Itu saja. Lebih dari itu, memang tidak ku daya.

...secara jujurnya, saya mungkin seorang blogger (pemblog) -jika layak digelar demikian-tapi saya bukan seorang blogwalker (perayau blog). Tak sempat pun.... Maafkan makcik saya.


Andai ada kehadiran saya atau komen-komen saya di kotak komen sesiapa selama ini yang kurang disenangi, maafkan saya.





Terima kasih kepada semua....termasuk yang sudah tak berapa sudi nak ke XIIINAM!





***Menonton rancangan Soal Jawab di TV3 tentang 'Penulis Blog-Beretika atau tidak- Mengenali hati dan minda bloggers...' malam tadi, terasa betapa kerdilnya diri di alam maya ini...



....dan ini adalah entri penutup bulan September. Itu pasti.





Oktober...belum tentu ada citra dan aura XIIINAM! Itu tak pasti.

20100928

Terapi sendiri.

Penat.

Letih.

Lesu.

Pegal.

Linu.

Tangan menggigil pegang stereng...
Berhenti sebentar.
Cas tenaga.
Terpaksa.
Pandang kanan.
Pandang kiri.
Nak masuk ke tak nak?
Masuk?
Tak nak?
Ahhh...peduli apa?
Lapar!!!



Kekok makan sendirian tanpa anak-anak dan abah mereka, tapi...ahhh...perut laparrr!
Peeeegilah kau 'malu'!
Ya...ini order untuk ckLah seorang.
Yang lain jangan kacau.
Geng Pak Ma'on di hujung sana, apa tengok-tengok?
Nak kena Taekwondo?



Lupakan sebentar amaran peti oren ini..
Alaaahhh...Ibarat 'set gobek sirih pinang' rutin selepas makan nasi.

Dah kenyang....sambung drift memacu XIIINAM!!!
Ipoh-Teluk Intan. 1 Jam 26 minit.
Tau ckZahan tentu kena pulas telinga
Harap-harap tak ada saman ekor!






Maaf...
Tuan blog sedang stres tahap dewa!


8:35 Isyakku.
Alhamdulillah. Rabb...!


9:00 Asmara. 
Segak budak ni.


10: 00 Simpang Tiga. 
Hek eleh...Abon!


10:30 Habil & Qabil.
Ahh...tak faham.


10:47 La Tahzan XIIINAM!
Terapi mindaku.



Hujan.
Dingin.
Kejur.


Ahhh...lalu seketul tanda stres pun segera  tubik...




Diikut rasa, diri binasa.
Nota: Al Quran, ubat jiwa paling mujarab.

Untuk adikku; "AHMAD SEMPURNA" :

(Adik beradik saya 10 orang. Tapi, yang seorang ini, setiap kali ulangtahunnya...saya akan terkenang sesuatu. Kerana saya terlibat dengan kelahirannya... Dan hari ini, harijadinya.....Ya, ini entri ulangan lalu berjudul "Bidan Kecil Itu".)

Masa itu saya darjah 5. Saya lihat bapak asyik termenung. Masa dulu, mana ada budak -budak berani tanyakan masaalah orang tua. Tapi saya berani.

“Mengapakah ayahanda bermuram durja?”

Bapak yang jarang sekali meluahkan masalahnya kepada anak-anak, pagi itu telah melanggar pinsipnya. Meluah rasa kepada anak perempuannya yang baru darjah lima.

Bapak risau. Serba salah. Susah hati. Seminggu lagi, dia akan ke Tanah Suci untuk menunaikan haji, bersama Embah (Aruah nenek sebelah emak). Bapak susah hati, kerana emak saya, masih tidak menunjukkan tanda-tanda mahu melahirkan. Sepatutnya, emak sudah bersalin. Bapak susah hati. Bagaimana kalau emak bersalin selepas ayah ke Mekah? Siapakah yang mahu diharapkan. Saudara mara bapak? Mereka semua di Johor. Sebelah mak? Semua di Selangor. Jiran-jiran? Memanglah banyak jiran. Tapi keadaan waktu itu…dengan jalan yang tidak beraspal, dengan klinik yang jauh sukar dicapai dek akal…

Siapa yang akan menolong emak? Saya? Saya , budak perempuan samseng yang baru darjah lima ini? Apa yang saya tahu? Masak air, cerek rentung. Rebus telur, telur meletup. Mandikan adik dalam kolam, adik tenggelam!!!!!Taunya ke hulu dan ke hilir, merata kampong, menindas kaum yang lemah dengan gelang getah penuh sampai ke siku, dan guli memberat di kedua kocek seluar pendeknya…..

Saya memang anak ke lima. Tapi, waktu itu saya anak sulung di rumah. Abang sulung saya di asrama Sek Men Sains Kluang, Johor nuuuuuun. Kakak dan abang ke tiga di asrama juga. Di Selangor. Abang ke empat saya di MRSM, Kulim Kedah…..merata-rata anak bapak saya…..dari utara sampai Selatan.
………………………………………….
Subuh itu. Bapak di masjid. Emak membangunkan saya.

“Lalah….pergi masak air!”
Alaaaahhh.......emak ni. Kenapa pulak saya yang kena masak air? Malasnya. Nak ambik air. Nak hidupkan api. Nak pasang pelita. Ahhhhhh. Ngantuk ni…..!!

“Lalah….emak sakit perut ni….adik nak keluar!!” Suara emak lirih sekali.

“Haahhh!!!” Sepantas kilat saya bangun dan terus meluru ke dapur.

Mak saya lihat, tenang meski mukanya nampak berkerut-kerut menahan sakit. Saya tak dapat bayangkan tahap mana darjah kesakitan mak (sekarang taulah!). Tapi saya lihat, mak masih boleh membentangkan tilam bayi yang telah lama disimpan, dan menyusun beberapa barang keperluan….seperti besen mandi bayi, kain lampin dan lain-lain di ruang tidurnya….untuk menyambut kelahiran bayinya sendiri….dan saya lihat…mak mengopak sekeping lantai biliknya. Brutal sungguh. Tak faham saya!!!.

Bapak balik dari masjid.

Saya terus biarkan emak bersama bapak di bilik mereka. Budak-budak tak baik masuk campur.

Sesekali, terdengar erangan emak menahan sakit. Merinding bulu roma saya.
Terdengar suara bapak. Memujuk emak supaya bertahan. Besabar.

“Kuat lagi…kuat lagi…sikit lagi tu!” Itu suara bapak. Saya tak faham langsung!
(Harus diingat, dialog ini telah diterjemahkan dari bahasa Jawa! Ahaks)

Waktu sudah hampir siang. Saya perlu bersiap ke sekolah. Saya kejutkan dua adik lelaki saya untuk bersiap. Dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai anak sulung sementera, saya terfikir untuk membuat sarapan. Apa yang boleh saya buat. Ahhhh…paling senang buat lempeng. (Anak saya sekarang panggil OMLETE. Ceh!!)

Saya ambil mangkuk. Taruk tepung. Bubuh air. Kacau. Ambil garam sikit, alaaahh….macam yang mak selalu buat tu. Errr…tapi garam kasar!!! Macam mana ni….. Saya letak garam itu dalam cawan. Bubuh air. Goncang-goncang, lalu dengan cermat cuba menuangkannya ke dalam adunan….

“Uuwwweeeeekkkk….uuwweeeeekkkk….uwweeekkkkk”

Saya terkejut!!!!! Nyaringnya suara!!!

“Alhamdulillah…” Terdengar suara bapak.

Tak lama…..terdengar suara bapak lirih-lirih melaungkan azan!!!!

Saya meneruskan urusan lempeng saya. Sudah ada 2 keping. Cukup untuk saya dan Najib. Nak buat satu lagi untuk Hanif.

“Lalah….tengok adik-adik…bapak nak panggil mak bidan!” Bapak mencapai kunci motor.

Baru nak panggil mak bidan? Apa bapak ni!! Saya tak faham!!

Mak bidan sampai.

“Ustaz ni memang. Saja tak bagi peluang aku potong tali pusat anak dia!!!” Mak bidan mengusik. Aku, juga masih tak faham.

“Alah…dah ke 9, takkan tak pakar lagi!” tingkah bapak. Ada riak dalam ayatnya!!

Apa? Tali pusat? Bapak potong? Ngerinya! Susahnya nak jadi bapak!!!

……………………………………………
“Kak Lah….kenapa lempeng ni masin sangat…ptuih…ptuih.,” Adik lelaki ku si Najib….merungut… Bertuah punya adik!!!

“Errrrrr….garam tumpah!!” Jawab saya.

“Eiii…kakak dah nak kawen. Tak malu!!” Ini usikan ganas adikku Hanif, masa tu dia darjah satu. Adik yang itu, proses kelahirannya palig rumit. Emak kesakitan lebih 24 jam....ya, juga di rumah!!! Kini dia menjadi doktor pakar di Hospital Putrajaya dan menyambut kelahiran bayi adalah antara pekerjaan utamanya sedikit masa lalu!!!!! Padan muka kau, Pak Haji Hanif!!!! He…he…

………………………………….
“Apa nama nak bubuh kat adik Lah” Tanya bapak.
Waaaahhhh….bapak Tanya aku!!! Ini satu penghormatan!!! Bangganya…selama ni dia suka-suka je bubuh nama anak dia. Nama aku paling tak best. RAMLAH je dibaginya….Orang bubuhlah Umi Kalthum ke…Noor Kumalasari ke…

“Errrrr….Alexander Iskandar”, Tiba-tiba saya teringat temberang cikgu tawarikh saya yang mengatakan Alexander The Great itu adalah Iskandar Zulkarnain. Nanti….bolehlah saya panggil adik saya itu dengan panggilan manja “ALEX”. Kan keren tu!! Senonohlah sikit daripada panggilan budak-budak lelaki jawa kat kampong tu. Terutamanya musuh-musuh saya dalam permainan guli dan combat, si Nanang, si Endong, Utuh, Mat Letup, Cepet, Tole……tah apa-apa tah nama depa!!!! Malu  nak ambik dia orang jadi bopren!!!

Bapak hanya senyum mendengar cadangan nama yang hebat itu. Pasti dia suka.
…………………………………………………………………….
Esoknya.
“Lah….nah. Ni surat beranak adik. Tolong simpankan……he..he…Dah 9 dah koleksi surat beranak anak bapak……he…he…he…” Wajah bangga seorang lelaki begelar bapak!! (Untuk makluman, anak bapak aku ada 10. 7 lelaki 3 perempuan. Tapi menantu dia ada 11. macam mana tu?)

Ku ambil surat beranak itu. Aku baca!

“Bapaaaaaaaaaaaaaaak!!” Aku menghentak-hentak kaki. "Alaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa!!Bapak niiiii. "
Aku menumbuk-numbuk belakang bapak! Macam si Tenggang!!

“Nama ni tak sedaaaaap. Kenapa tak bubuh Alexander Iskandar???”

Ahmad Kamil…sedap lah tu. Kamil maknanya sempurna…..dah sempurna dah semua urusan mak…..senang hati bapak nak pergi Mekah esok!!!

...dan sepanjang ketiadaan bapak..akulah yang menjaga emak dalam pantang, jaga adik-adik aku nak ke sekolah. Bila malam, ada jiran mak, seorang ibu tunggal bermalam di rumah kami. Aku selalu rindukan bapak. Saat Pak Ramli jiran sebelah hendak ke masjid, aku akan menutup telinga kerana bunyi enjin motorsikalnya sebiji macam bunyi motor bapak!!!!Setiap kali ada kapal terbang melintasi ruang udara rumah kami, aku akan berlari ke belakang rumah, memanjat pokok manggis lalu menangis kuat-kuat sambil menutup mulut...jangan sampai emak dengar. Aku tak mahu emak sedih...aku tahu jerihnya emak menjaga kami 5 anak yang masih kecil....kerana aku selalu terlihat emak menangis senyap-senyap di balik reban ayam....rindukan suaminya!!!
………………………………………………..................

Sekarang Ahmad Kamil saya sudah menjadi seorang IT Exec di Sebuah Kementerian di Putrajaya.  Ini aksinya ketika lawatan kerja ke Pusat Satelit Radio di South Korea, curi dari facebooknya....

Dia masih suka makan lempeng….(orang Putrajaya panggil omlete kot! Ha..ha.. )


Dugaan yang besar buat Kamil, apabila putera sulungnya Naqib lahir dengan keadaan jantung yang tidak sihat, dan terpaksa menjalani pembedahan ketika bayi 'masih merah'....namun Alhamdulillah, berkat ketabahan dan doa tidak putus-putus dari insan keliling, Naqib kini membesar dengan ceria...
Anak sulung Kamil sedang menjalani rawatan susulan di IJN, Ramadhan lalu....(gambar diambil dari web Naqib)
Naqib pun baru sambut hari jadi ke 6 nya 22 September lalu. Jadi, selamat ulang tahun untuk bapa dan anak ini.





20100927

Sekadar cerita biasa seorang suri rumah sepenuh hujung minggu...

Sabtu, sekolah lagi. Separuh hari saya di sekolah. Ada majlis, yang saya cerita dalam entri sebelum ini. Sudah 2 Sabtu berturut-turut bersekolah di bulan Syawal ini. Nak memanjakan diri pun tak sempat.

Sampai rumah  memang penat sungguh. Perut pula kenyang lepas jamuan.  Lepas mandi dan solat zohor,  mula-mula mengadap netbook dan membuat entri baru, lepas tu.......termimpi ...zzzzzzzzz...

Sedar-sedar loceng pagar berbunyi.

Waduh, ada tetamu dari Kuala Kangsar!
 Pakwe Teman lama masa di universiti dulu bersama keluarganya. Gelabah juga dibuatnya. Bukan gelabah kerana itu pakwe lama, tapi rumah tunggang langgang sejak balik dari sekolah tadi. Datang senyap-senyap....kelam kabut sorokkan apa-apa yang patut di ruang tamu, termasuk sebakul kain dari jemuran. Kalau orang datang nak meminang, mesti tak jadi!!!

"Sila...sila...sila.....jemputlah jamah kuih raya ckLah ini!" Kata ckLah setelah kembali tenang sambil menuang air oren ke dalam gelas.

Ini saja lah baki kuih raya yang ada semalam.
Cuma tinggal 3 jenis kerepek ubi, popiah mini, kuih cincin pemberian orang Sabah, dan rempeyek mini buatan mak yang gurih dan rangup!


Malamnya Diba ada bikin puding karamel, belum sempat makan. Simpan dalam peti ais. Memang rezeki tetamu kamilah ni...
Diba yang buat, kerana dia yang suka makan juadah manis ini.



Hari Ahad. Cuti. Raya masih ada. Kemungkinan untuk tetamu datang itu memang ada. Saya memang tak buat 'open house'. Sesiapa yang sudi datang ke rumah saya, saya sentiasa sedia membuka pintu. Bagi saya, setiap tetamu yang datang itu adalah rezeki bagi tuan rumah. Apatah lagi kalau tetamu tu bawa jajan bersolat di rumah kita. Kalau rumah kita tak didatangi tetamu berziarah....sedihkan?

Kalau datang masa saya tengah makan nasi, kita makanlah sama-sama.
Kalau datang masa saya tengah tidur, kita tidurlah sama-sama.
Kalau datang masa saya tak ada di rumah, err....balik ajelah ya! :D

Oleh kerana  hari Ahad, dan cuti, dan raya ada lagi, dan kemungkinan tetamu datang berziarah itu ada dan kuih raya tinggal sikit, maka saya buatlah sedikit persediaan. Bukan persediaan apa-apa pun, masak seperti biasa, cuma dilebihkan sedikit. Kalau ada tetamu datang, kita makan sama-sama. Kalau tak ada, kami makanlah sendiri. :D

(Amaran: Jangan tiru ayat yeng menggunakan kata hubung 'dan' berulang kali dalam ayat di atas!  -pesan khidmat masyarakat cikgu BM)

Sampai lewat malam semalamnya saya menunggu kuali besar ini. Merendang ayam kampung yang liat dan ambil masa berjam-jam. Tambah air. Kering. Tambah air. Kering. Tambah lagi. Barulah dia  nak lembutkan diri!
Tengok peha ayam yang langsing kurus tu....ayam kampung memang macam tu!
Ayam daging tak sedap dibuat rendang.....rasa 'hampeh'.


Sambil merendang saya rebus ketupat segera. Paginya saya buat lodeh. Lalu jadilah lontong.
Lontong versi kami.


Saya katakan lontong versi kami, kerana anak-anak saya suka lodeh yang berkuah putih dan mewah dengan tauhu kering, dan mereka tidak makan bersama kuah kacang atau sambal tumis, tapi makan dengan tempe sambal goreng. Anak Jawa, kan!
Hari tu ada orang kata nak datang rumah ckLah ambil sambal tempe! Mana? Mana? Mana?


Ramai ke tetamu datang ckLah?
Err...err....nanti saya periksa catatan diari:
Pukul 8:20 siap bersarapan.
Pukul 9:12 siap menyapu, membersih dan berkemas.
Pukul 9:33 siap sedia berpakaian kemas.
Pukul 9:34 mula tunggu tetamu.
Pukul 9:40, setelah meunggu tetamu selama 6 minit, tiada sesiapa datang, kami tapau semua juadah.
Pukul....cheh...memang nak kena pukul lah kau ni ckLah. Tunggu tetamu 6 minit saja. Macam tak ikhlas!!

Mari kita ke ladang...


Kami membawa juadah itu ke suatu lokasi yang dirahsiakan. (bimbang terserempak suku-sakat YELE yang memang ramai kat sini) Tengok, berhabuk kereta memasuki kawasan berpasir di pinggir ladang kelapa sawit ini .



....kami bentang tikar lalu menjamu selera seisi keluarga dengan aman dan bahagia. Errrrgggh....Alhamdulillah.




Sampai rumah hampir Maghrib. Bersiap untuk ke sekolah esoknya. Letih. Bapak segala letih.Kalaulah ada tetamu malam tu, suguhkan kerepak ubi sajalah.:D
Puding paling cincai di dunia...petang ni kena buat  lagi untuk berbuka puasa, walaupun saya langsung tak gemar. Tak dibenarkan makan pun.... Apa nak buat, suami dan anak-anak suka, kenalah layan. Takkan suruh isteri orang sebelah rumah buat :D.








"Ek eleh ckLah tu...masakan kampungan macam tu pun nak menyohor"

20100924

Ya...saya memang cemburu! Sangat cemburu!


Kes remaja semakin liar, kian menjadi-jadi. Budaya hedonisme, semakin beraja di kalangan masyarakat. Lebih dari itu, kes-kes begini, kini sering pula berakhir dengan keganasan yang terlampau. Di kota atau desa, sama saja. Kekadang terfikir, di manakah tempat yang selamat untuk anak-anak kita?

Saya akui, saya seorang ibu yang sangat cemburu kepada anak-anak saya.  Dan kerana kecemburuan itu, setakat ini saya tidak pernah tergamak mengizinkan anak-anak saya keluar dari rumah untuk bersosial bersama rakan sebaya sesuka hati mereka.

Setakat ini, saya masih sanggup menghantar dan mengambil mereka, sekiranya mereka mahu ke mana-mana. Dan, Alhamdulillah, anak-anak saya nampaknya tidak pernah merungut tentang itu. Mereka faham, kenapa saya begitu mengawal pergerakan mereka. Itu lebih penting, bagi saya. Nampaknya, mereka masih suka untuk ke  mana-mana ditemani ibu atau abah mereka. Terima kasih anak-anak bonda.

Saya ditegur oleh seorang ibu baru-baru ini.
Pada cuti hari raya lalu, sekumpulan remaja dalam usia 14-17 tahun kawasan komuniti saya telah berkunjung ke rumah saya. Ada 12 orang. Bermotosikal. Lelaki dan perempuan. Sebagai tuan rumah, saya layan mereka sebagai tetamu saya, sementelah ada di antara mereka adalah murid-murid sekolah saya, dan rakan sekolah anak-anak saya.

Mereka mempelawa anak-anak saya menyertai mereka. Bermotorsikal beramai-ramai, berhari raya ke rumah rakan-rakan dan cikgu sekolah. Saya tidak terus melarang atau membenarkan. Saya tanya anak saya. Serta merta anak saya mengatakan tak mahu. Jadi, saya katakan kepada anak-anak itu, anak saya tak boleh ikut kerana mereka tidak ada lesen motorsikal. Tunggang motorsikal pun tak tau.

Saya ditegur seorang antara ibu anak-anak itu.
"Alah, biarlah budak-budak nak berkawan. Budak sekarang, bukan boleh dikongkong sangat! Nanti depa memberontak!" Kata ibu itu.

Budak sekarang.
Budak dulu.
Ada bezakah?
Soalan itu, rumit jawapannya. Bagi sayalah. Seorang ibu yang punya tanggungjawab bukan sekadar membesarkan tetapi membentuk 4 orang anak, lelaki dan perempuan, yang kini sudah mencapai usia remaja.

Budak dulu.
Budak sekarang.
Bezanya apa?
Soalan itu pun, jawapannya tidak sama antara situasi yang tak sama. Zaman kanak-kanak saya, saya boleh meneroka setiap sudut, segala lorong, kebun dan parit di kampung saya. Saya juga bebas berbasikal sendiri ke sekolah. Tetapi, tidak ada sebarang kejadian yang tidak diingini atau membuatkan mak dan bapak memarahi atau memukul saya. Buatlah sesuatu yang dianggap nakal atau serong, maka akan adalah orang-orag kampung yang akan mengadu kepada mak dan bapak saya. Kalau saya terjatuh, sakit atau basikal saya rosak di tengah jalan, akan adalah pakcik atau makcik kampung yang menolong saya atau menghantar saya balik. Ya, kerana bagi orang-orang kampun yang tulus pada masa itu, anak orang seperti anak sendiri, anak sendiri pun sama seperti anak orang.

Dulu dan sekarang, memanglah tak sama. Semua orang akan bercakap begitu.
Dan apabila saya mempunyai anak, saya tidak membenarkan anak saya keluar dari pagar rumah pun, kiranya tanpa saya. Saya menjadi begitu curiga. Saya menjadi ibu yang begitu cemburu. Saya tahu dan faham, segala sesuatu kejadian itu adalah ujian dan dugaan dari Tuhan. Tapi, demi tuhan, saya tidak sanggup kalau ujian dan dugaan itu didatangkan melalui kejadian yang tidak diingini ke atas anak-anak saya. Nauzubillahi minzalik!

....dan situasi anak orang seperti anak kita, anak kita seperti anak orang dulu, tidak berlaku lagi kini. Kekadang, kita dengan niat ikhlas menegur anak orang yang berkelakuan sumbang, akhirnya ibu bapa anak itu menyerang kita semula. Lalu jadinya: Anak aku anak aku. Anak kau, anak kau!




"Anak, janganlah dikongkong sangat. Satu hari nanti, kita kena lepaskan juga!" Kata ibu itu.

Ya, tiba masanya nanti, saya akan lepaskan anak-anak saya juga menjalani hidup tanpa saya. Tapi, sekarang belum tiba masanya.

"Biarlah anak-anak nak berkawan. Nak beraya dengan kawan-kawan. Takkan asyik berkepit dengan mak bapak aje!" Kata ibu itu lagi.

Saya faham itu.....
Tetapi, kejadian terkini ini menyebabkan cemburu saya semakin kuat....
3 remaja perempuan 14 tahun itu, tidak kembali ke rumah setelah keluar beraya dengan rakan-rakan sejak hari raya ke dua. Ditemui di Pulau Pinang bersama 2 remaja lelaki.

Dan penghujung cerita, anak-anak mentah itu mengaku, secara sukarela mengadakan hubungan seks.  Dan kerana mereka di bawah umur, penjaga anak-anak itu melaporkan kejadian itu sebagai kes rogol. Dan akhirnya, pasangan lelaki 'berseronok bersama' remaja perempuan itu digari dan disumbat ke lokap. Jadi...tiada beza cabaran mempunyai anak lelaki dan perempuan...

Sebagai ibu, saya menjadi seram sejuk, loya, mual, marah, sedih....dan pelbagai perasaan lagi. Alangkah rumitnya ujian itu buat seorang wnita bernama ibu. Dan di hujung-hujung, ibu juga yang akan menerima tohmahan...

"Macam mana dia jaga anak?".
Apabila ada yang menulis tentang berita ini dalam web peribadi, saya lihat komen-komen semuanya menyalahkan ibu.


Ya....bukan mudah menjadi ibu. Semoga Allah sentiasa melindungi, membimbing dan melorongkan kami ke jalan yang benar.

Berat, kan?
Nauzubillahimin zalik!!! Ya Allah, peliharalah anak-anak ku, zuriatku dan keturunanku dari hasutan syaitan dan iblis. Amin...amin ya Allah.
3 gadis...yang secara beraninya mengaku...mereka bukan gadis lagi. Astaghfirullahal Adziiim....



.......betul, kisah kemaluan remaja perempuan terkoyak, rabak dan berulat, sudah macam cerita basi sekarang. Nasiblah, sesiapa yang dapat isteri atau menantu sedemikian.
Ironinya....kalau zaman dulu ibu bapa desa cemburu lepaskan anak dadis keluar bekerja kilang di kota, zaman kini, mahu lepaskan anak-anak ke universiti yang jauh dari keluarga pun, perlu ada cemburu!!!!
....dan apabila ada kejadian memalukan berlaku, sama ada di kalangan kenalan kita, jiran kita, murid kita, anak rakan kita ...atau sesiapa saja yang kita tidak kenal, janganlah pula kita menjadi terlalu teruja dan mengata serta menuduh itu dan ini. Ingat....kita juga punya keturunan, zuriat, dan waris. 

Ambillah sebagai iktibar, dan marilah kita kuatkan segala-gala tembok iman dan taqwa kita, untuk memelihara anak-anak kita.
Jagalah diri kamu, dan ahli keluarga kamu dari api neraka.
Surah At Tahrim Ayat 6.

Selama 19 tahun menjadi guru, bukan tidak pernah saya menghadapi kes-kes anak remaja yang 'meletup' dengan kisah-kisah yang memalukan seluruh keturunan seperti ini. Dan jiwa saya seperti diruntun,  apabila melihat reaksi  ibu-ibu mereka menerima dugaan ini......meski bagaimana cara mereka mendidik anak-anak mereka.

Ya.....sebagai ibu, saya memang sangat cemburu, selagi mereka masih belum dewasa!!! Dan saya akan terus cemburu, sehinggalah mereka benar-benar matang untuk hidup sendiri.



***sekadar luahan seorang ibu. Tak suka, tak payah baca. Tak payah komen.

20100923

ckLah tak buat entri raya?

Err...belum buat ke?
Iya ke?
Rasa macam dah buat. He..he..


Alah...cerita raya ckLah sama saja setiap tahun. Raya cara orang kampung. Cerita raya sebuah keluarga besar yang terdiri dari 63 orang ahli. Tahun lepas saya cerita panjang, bagaimana cara keluarga saya menyambut raya. Saya tulis dalam entri Erti Raya Cara Saya. Bolehlah klik ke situ.

Tahun ini, lebih kurang begitu juga. Cumanya, tahun ini, kebanyakan adik-beradik saya mendapat giliran beraya di rumah mertua. Memang begitu selang setahun. Tahun lepas meriah di raya pertama. Tahun ni, kurang. Yang tetap ada semasa raya pertama setiap tahun adalah saya, seorang abang saya dan adik perempuan saya....yang masing-masing merupakan menantu yatim piatu.

Petang puasa terakhir....daripada 11 menantu, hanya 3 menantu yatim piatu saja yang ada. Mujur adik saya tiba dari Sabah lewat petang itu.....dia menyewa kereta Perdana putih itu dari KLIA.
Pemandangan di pagi raya pertama. Raya ke dua dan ketiga, tak ada ruang untuk parkir lagi. Terpaksa letak tepi jalan.Yang kuning di hujung tu kereta antik bapak.

Tak kisahlah ...yang penting saya dapat bertemu dengan semua ahli keluarga saya dari yang tua sampai bayi, meski mereka tidak balik serentak, dan sempat berkonvoi dengan mereka ke rumah saudara mara yang lebih tua. Cuma seorang yang saya belum jumpa sampai sekarang, iaitu abang ke 3 saya yang masih berada di Amman Jordan kerana urusan perniagaan. Sampai sekarang belum jumpa, hanya ber e-mail. Tapi, isteri-isteri , anak-anak dan menantunya semua saya jumpa kerana mereka berkunjung ke rumah saya.

Isteri-isteri? Bukan Is two atau Is three? Ya...isteri-isteri. Abang saya ini,bukan sekadar sibuk menguruskan cawangan perniagaan di Amman(restoren) dan Tana'im, Makkah (hotel).......tapi di sini pun dia ada 2 cawangan. Kak Ipar Tua uruskan Cafe di Wisma Putera Putrajaya. Kak Ipar Muda pula dengan kedai dobi di Rompin. He..he...Apa-apapun, saya sayang kedua-dua kakak ipar saya itu seperti yang lain. (Eh....saya pula yang cuba berlaku adil...hi..hi..)


Oooops, cerita rumah tangga orang pulak. Tadi nak cerita pasal raya kan?
He..he..
Banyak sangat kisah yang membahagiakan di hari raya (setiap orang).

Malam raya...dalam sibuk-sibuk itu, embah, bapak-bapak dan ibu-ibu tetap cuba untuk menggembirakan kanak-kanak.

Errr....bapak-bapak sajalah yang tolong mainkan. Demi keselamatan.

ckZahan (kanan sekali) sedang memerhati mertua, biras, ipar dan anak-anak buahnya dengan tenang...he..he..
Ha..ha... Yang sedang 'memacu' bunga api di atas itu...abang saya, Prof. Madya Dr.Hj Ramlan. Kecik-kecik dulu, dialah mantan jaguh handalan pereka cipta meriam kat kampung ni.......mujur tak meletup kat tangan! Sekarang jadi 'cikgu jurutera'. Asyik diaaaaaaaaaaa saja yang main malam tu. Anak dia pegang pun tak boleh. He..he..

Tapi bagi saya, kemuncak segala kebahagiaan itu adalah saat bersalam-salaman dan bermaaf-maafan....itulah klimaks raya saya.

Anak-anak saya dengan embah lanang  mereka...
Bahasa Jawa mempunyai totokromo (protokol) khusus untuk sesi ini. Ucapannya dalam bahasa Jawa halus dan agak panjang....Nabil sedang menghafal!

Saya dengan mak.....cuba untuk relaks saja. Menahan sebak yang dalam. Jejaka berbaju hijau tu, 'boypren' saya!





Saya dengan bapak........
Tengok...tengok...tengok....bapak yang mulakan hujan dulu...saya pun, apa lagi....empangan yang dah penuh, terus melimpah....
Habis dah......








Eh ckLah?
Mana gambar ckLah bersalam dengan ckZahan?






Aisey.....
Gambar semua tak jadi....
Terkena tulah limpahan......



...................air mata ckZahan...
Tahun pertama ckZahan beraya tanpa ibunya yang meninggal selepas raya tahun lepas, dan bapanya meninggal 3 hari sebelum Ramadhan ini. Dia sebak ketika mendengar tazkirah dari bapak kepada kami sekeluarga pagi itu...katanyalah. Tazkirah pagi raya Ustaz Zek setiap tahun, memang boleh meruntun hati anak menantu...

Ahhh...tak sanggup nak tulis lagi dah.....apabila mengenang saat pagi itu.
 Biarlah kupendam semuanya...ahaks!
PakZahan yang sentiasa tenang....tangan dalam poket sentiasa.

Kaki blog seorang kaki blog...

Kaki blog seorang kaki blog...