Suka citra @ xiiinam? Terima kasih :D

20101031

Memorabel: Pada suatu hari, 18 tahun yang silam, yang tak berapa terasa akan silamnya...

Pada suatu hari di permulaan musim basah hujung Oktober, sanat 1992, di hujung desa...kelihatan seluruh isi kampung berduyun-duyun menuju sebuah rumah yang lamannya dipenuhi 'tenda biru'. Rumah siapakah itu?

Dan di ruang tengah rumah....

"Aku terima nikahnya seutas rantai tangan emas 916 seberat ***tuuuuuuut*** gram tunaiiiiiiii!" Kata ckZahan, dengan suara bergetar...


"Errr...ulang lagi ya! Udah nak nikah dengan rantai emas pulak ni!!!  Bertenang! Tarik nafas dulu. Baca selawat!" Kata Ustaz Zek, bakal bapa mertua ckZahan, cuba membuat lawak untuk meredakan ketegangan bakal menantunya, sambil mengejapkan jabatan tangan mereka berdua.

Akad diulang lagi.......


"Aku terima nikahnya........(pendekkan cerita...he...he...)......tunaaaaaaaai!!!!" kata pengantin lelaki.



"Sah?"

"Sah!" saksi satu.

"Sah!" saksi dua.


"Alhamdulillahhhhhhhhhhhhhh!" hadirin di ruang tengah rumah, di dapur, di beranda, di bawah rumah, di khemah memasak, khemah basuh pinggan dan di khemah penanggah yang sejak tadi terdiam mengikuti proses menentukan detik penting halalnya hubungan antara seorang lelaki dan seorang wanita dari dua keluarga menerusi pembesar suara....menarik nafas lega, lalu meneruskan kerja masing-masing.
:D






... dan di sebalik pintu kamar pengantin beraroma bunga rampai itu, ada yang sedang tertunduk malu-malu tapi mau  mendengar dengan getar juga!





(.......minta maaf lah kandaku. Meski Kanda telah memberi 'amaran' kepada dinda sebelum itu, bahawa kanda tak mau menggunakan mikrofon semasa akad nikah..........dinda tak boleh buat apa-apa. Di situ ada bapak, Pak Long, Pak De-pakde, Abang-abang...dan wali-wali AQRAB dinda yang lebih berkuasa.... dinda lupa, kanda memang fobia mikrofon, berbanding isterimu ...juruacara majlis tetap sekolah yang pantang jumpa mikrofon itu...)



....18 tahun sudah berlalu.



Getaran itu masih terasa!







...ckZahan.
...ckLah sentiasa  di sisimu...


...meneruskan perjalanan kita.
...mem'bawa' 4 amanah permata di belakang kita...


Ke 'sana'...


Arak-arak kelapa puan,
Tidak puan kelapa bali;
Harap hati kepada tuan,
Tidak tuan siapa lagi.









20101027

Buatlah cerita sendiri...

Hari ini saya malas bercerita.
Minta maaflah kepada pengintai-pengintai tegar senyap di La Tahzan Xiiinam.
Tak ada cerita...

Saya bagi 'home work' sajalah...Nak?
(Biarkan gambar bercerita...dan terpulang kepada daya 'penampakan' masing-masing...ha..ha..ha..)



Soalannya begini ya murid-murid;

'Berdasarkan objek-objek yang dapat anda kesan dalam imej di atas, buatlah satu cerita berdasarkan daya imaginasi anda sendiri. Panjang cerita hendaklah melebihi satu patah perkataan dan boleh dibuat dalam bentuk komen di kotak komen, komen di luar kotak komen, komen di dalam hati atau monolog dalaman.'

Contoh karangan di kotak komen:
'Pen merah itu nampak sedap!!! Terliurlah!'

Contoh karangan secara lisan:
'Apa niat cklah ni sebenarnya, hah?' diujarkan dengan gaya Nasir Bilal Khan.
Atau...
'Entri kosong tak ada mesej.....suuudahlah ckLah!' diujarkan dengan gaya Hussein Abu Hasan.

Contoh karangan monolog dalaman:
'Sewel ke apa makcik ni?'
'Isk...apa punya entri macam ni? Buat penat saja klik!!!'
Atau....
'Hek....eleh! Baik merayau ke blog lain!!!'

Selamat mengarang....
"Ha..ha...ha...!" Saya sedang menangis tersedu-sedu ketawa.


Nota: Skrip jawapan yang tertera di atas adalah kepunyaan tuan punya cerita 'BUDAK GUNDAM' dalam entri harapkan pagar tempohari. Tulisan cikgunya dah jadi buruk kerana penat membetulkan ejaan setiap jawapannya....

20101026

Travelog Kelahiran Si Puteri Y2K...

Maghrib itu, saya bersolat lewat sedikit, kerana menahan sakit  yang sekejap kuat sekejap lemah. Solat Maghrib pertama saya ter'batal', apabila saya tersebut perkataan "ADUHHH!", lalu tangan terus mencari tiang katil untuk berpaut..... kerana kesakitan yang datang mengejut-ngejut.

Ke bilik air, untuk memastikan air wudhu' saya tidak terbatal. Memang tidak. Namun saya tetap mengambil wudhu' lagi, kerana selama ini itulah cara saya mengurangkan kesakitan atau keresahan. Secara psikologinya, memang dapat membantu.....

Setelah lega sedikit...saya cuba lagi untuk solat, apabila gesaan sakit mengurang....

'Usolli ...................
Allaaaaaaaahu akbar!'

Saat saya sedang membaca do'a Iftitah, tiba-tiba sejadah tempat saya berdiri disimbahi air yang banyak. Terkejut saya!  Memang dari petang saya sudah merasa perut saya seperti memulas-mulas. Tetapi saya tidak segera ke klinik, kerana tiada tanda darah. Lagi pun, saya dijangka bersalin 2 minggu lagi!!! Sebelum ini, semua anak lahir tepat pada tarikh dijangka....


Meski saya telah melahirkan 3 anak sebelum ini, saya tidak pernah mengalami bagaimana 'ketuban' pecah sendiri. Semuanya, doktor yang pecahkan beberapa minit sebelum bayi keluar . Selalunya saya hanya sakit perut, disertai sedikit tompok darah....Ini pengalaman pertama pecah ketuban sendiri, walaupun sudah 3 kali melahirkan sebelumnya........oooo, macam tu rasanya pecah ketuban sendiri!


Suami yang baru tiba dari surau, segera membawa saya ke klinik. Klinik yang dekat dirasakan jauh. Kesakitan saya semakin tidak tertahan. Sesekali suami melepaskan stereng, lalu menggengggam tangan saya, untuk membantu saya menahan kesakitan...

Sampai klinik, saya sudah tidak mampu berdiri. Tanpa menyalin pakaian klinik, tanpa sempat 'diperiksa apa-apa' seperti selalunya, tanpa sempat bersalam dan memeluk suami dan meminta maaf serta doa, seperti biasanya...saya dibaringkan....dan terus ditolak menuju dewan bersalin.


Sebelum sempat sampai ke dewan bersalin, belum sempat doktor mencapai gunting untuk membuka lorong ................................ puteri bongsu saya sudah keluar sendiri, di luar dewan bersalin, serentak dengan Azan Isyak yang dilaungkan di Masjid berdekatan!


8:24 malam.
Hari ini tahun 2000...
Satu-satunya anak abad ke 21 saya.
Puteri Y2K!!!
Inilah dia.
Nuha Eiman kami namakan.

Terima kasih anakanda...kerana tidak membiarkan ibu berlama-lama menanggung kesakitan...

Terima kasih juga suamiku, kerana doa dan redha kamu ke atas isterimu ini...sentiasa meringankan derita isterimu, setiap kali melahirkan anakmu Tapi....kau yang  muntah-muntah, dan hampir pitam setiap kali melihat kelahiran...Nasiblahhhhhh.....hi..hi...hi...



Sekarang dah 10 tahun.



Sangat aktif orangnya...
Dah boleh jaga keselematan ibu....
"Jangan berani-berani kacau ibu Nuha! Haip!" Merah tu!!!


Ibu sudah lupa dah macam mana nikmatnya sakit bersalin....


Selamat ulang tahun anakanda...jadilah nirmala yang membahagiakan ibumu, dunia dan akhirat!.






***ckLah ada cerita pasal kepanikan sebelum kelahiran di atas, janganlah pula ada yang menulis nasihat  tips bersalin atau teknik-teknik meneran  untuk cklah di ruang komen ya! Tak mau pakai ilmu tu dahhhh! Tender dah tutup walaupun projek ada lagi! 
:D
:D






20101025

Harapkan pagar, pagar makan tuan.....

Murid : Cikgu arrr! Kenapa salah? Logik apa saya punya answer! (nada agak tinggi)

Cikgu :  Memang logik sayang! Tapi, ini ujian Sejarah. Jawapan kamu kena berdasarkan fakta. Bukan logik semata-mata. (nada lembut untuk merendahkan suhu murid)


Murid : Haiyaa..


Cikgu lagi : Macam kawan kamu punya ni! Fakta yang tepat, bukan? Semua macam yang cikgu dah ajar sebelum ni...


Murid: Haiyaaaa....cikgu banyak kejam lorrr. Kedekut markah! Sudah logik lah saya punya answer!

Cikgu : Tak lah kejam sangat.....cikgu tak sekejam pemilik ladang berpagar elektrik di Estet Gadong tu. Cikgu sangat berbudi bicara...tengok ni, cikgu terima juga! Siap betulkan lagi ejaannya!

Murid : Haiyaaaa...tak adil. Kenapa cikgu terima? (nada cemburu!)

Cikgu : Ada beza antara 'tidak sengaja' dan 'tidak tahu', sayang! (sambil mengusap-usap bahunya)

Murid : Haiyaaa...




Diam.




Murid:  Cikgu arrr! Saya mahu tanya? (nada tak puas hati)

Cikgu : Hmmmmm... Tanya apa?






Murid : Kenapa rumah cikgu ada pagar meh? (nada dengki)




Cikgu: Haiyaaa!!! (nada.....err....err......)

20101024

Kek Volcano Kacip Fatimah.......

"Kakak nak buat apa tu?" Tanya saya apabila melihat Dia memunggah-munggah di dapur.

"Kek!" Jawabnya sepatah. Dia memang jenis tak cakap banyak.

Kek? Dia?
Memang pelik.
Tak pernah-pernah. Lagipun, dia memang tak suka makan kek. Lainlah kalau adiknya, Diba yang di tingkatan 2 tu. Sekadar membuat kek ringkas, puding atau lauk-pauk ringkas, dia memang cekap.

Ahhh...biarlah. Sejak SPM semakin hampir ini, Dia memang begitu. Mengemas rumah, mop lantai, mengemas peti sejuk....dia akan buat utuk melepaskan 'tension'nya....

"Bu! Nescafe tak ada ke bu?" Tiba-tiba Dia menjenguk saya yang sedang berada di ampaian kain belakang rumah.

"Eh...tak adalah. Ibu tak pernah beli nescafe!" Jawab saya.

"Alaaa.....kakak nak buat kek kopi!"

"Taruk lah koko! Koko ada sikit lagi!" Cadang saya.

"Koko kakak tak suka. Tak apalah...kakak cari apa-apa yang boleh!" Jawabnya terus masuk ke dalam.


Beberapa minit kemudian, satu aroma 'harum' memenuhi ruang rumah.
"Hmmmm....kek Dia dah nak masak...lagi 3 minit!" Kata saya sambil mengambil gambar dengan telefon.




Saya meneruskan kerja....menyental bilik air pula.



"IBUUUUU!!!! Tengok ni!!! Apa pasal kek kakak jadi macam ni?" Terdengar suara Nuha.

"SIBUKLAH!!!!" Terdengar pula suara kakaknya. Serta merta hidung tercium bau hangit.

"Laaaaaaaaaaa....macam volcano!" Terdengar pula suara Diba, yang dari tadi tidak masuk campur dan duduk mengadap PCnya pun sibuk-sibuk datang melihat.

"Astaghfirullah...cepat keluarkan. Cepat!" Rasanya, jiran belakang rumah pun sudah tercium aroma kehangusannya....

Hah...ini dia...membusung!

Pemandangan dari sudut sebelah sana....


"Berapa skala richter punya gempa bumi ni! Keh...keh...keh...!" Kata Diba, menyakitkan hati.

"Lain kali, masa tekan heater tu, jangan masuk adunan dulu. Nanti dia kata add food baru masukkkkkk. Faham tak??? Apalaaaah! Tak tau tak mau tanya!!! " Diba meleteri kakaknya, apabila dia tahu punca kesilapan yang sebenar....

Rupanya, apabila mendapati bahagian dalam keknya belum masak, Dia tambahkan masa membakar. Keknya menjadi tidak betul kerana dia masukkan adunan semasa memanaskan oven.


"Alaaaaaaa.....rentung atas aje, tak apa. Kita buang yang rentung. Kita kasi terbalik sama dia...kita potong ya puan-puan. Haa...nah...makan...makan!" Tenang saja Dia menghadapi cabaran. :D

"Hmmmmmm...rasa boleh tahan. Ada perisa nescafe ni!" Kata abah setelah menghabiskan sepotong.


"Err.....mana kakak dapat nescafe?" Tanya saya.

"Kakak tak bubuh nescafe. Kakak taruk kopi pearl kacip fatimah ibu tu hah. Itu je yang ada. Puas kakak cari! Kakak dah desperate sangat dah....." Jawabnya selamba.




ckZahan memandang saya.....
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
Sambil menggosok-gosok perutnya!
.
.
.
.
.

"Err...abang lapar lagi ya bang? Abang makan sandwich ni aje bang ya! Sedap ni...ada telur. Ada tuna...timun..tomato...mentega.. .elok unttuk kesihatan tau ni!"
Hi..hi...



20101023

Cikgu mahu kamu ingat, meski kelak kamu sudah menjadi 'seseorang'!

Dia bijak. Dia cemerlang. SPM dia 13A. Cuma kadang-kadang, pada pandangan sesetengah orang, dia nampak sedikit ‘kurang ajar’ kerana pembawaannya yang agak sedikit lepas laku. 


Bagi saya, bagaimanapun dia, maka tanggungjawab sayalah untuk menjadikan dia ‘cukup ajar’!!! Saya rasa, dia tidak boleh dibiarkan begitu. Dia masih boleh dibentuk….kerana latar belakangnya memang cemerlang!!! Walaupun dia bukan bangsa saya……Semasa mengajar dan mendidik, saya tidak pernah prejudis….Mereka adalah benih-benih Bangsa Malaysia yang sepatutnya dibentuk hingga menjadi modal insan yang berguna kepada Negara….oleh tangan saya. Juga tangan sahabat-sahabat ‘cikgu’ yang lain…
Hari ini dia datang. Mengunjungi saya.

“Cikgu, saya dapat belajar di UITM. Engineering. Kursus persediaan sebelum saya ke United Kingdom. Biasiswa JPA” Katanya.

“Tahniah. Cikgu dah kata, kamu mesti dapat tempat belajar yang baik….” Jawab saya.

“Errrr…
saya minta maaf cikgu!” Suaranya rendah.
“Eh, kenapa pula?”
“Saya akan belajar di UITM!” Suaranya seperti tertahan-tahan. Kelopak matanya juga saya lihat berkaca.

“Habis tu…kenapa minta maaf?” Saya .

“Cikgu tak ingat ke?” Dia menyoal saya.

“Pasal apa?”

“Pasal MARA” Jawapannya mengingatkan saya kepada satu peristiwa, tahun lalu….di kelasnya.

“Cikgu tak ingat ke?” Dia bertanya lagi, apabila melihat saya terdiam.


Gambar selangan.

…………………………………………………………..
Sesungguhnya cikgu ingat. 
Cikgu sangat ingat….sampai bila-bila:-







Tahun: 2008.
Tempat: Tingkatan 5 Gemilang.
Mata Pelajaran : Sejarah
Tajuk : Pembinaan Negara Dan Bangsa Malaysia.

“Kenapa banyak sangat keistimewaan kepada orang Melayu, cikgu?” Dia cuba membuat provokasi. Itulah selalu, sikapnya di kelas saya.

“Banyak? Contohnya” Saya cuba menguji.

“Ya laaaa. Budak bukan Melayu, dapat 9A pun tak dapat IPTA. Dapat form six saja. Budak Melayu, dapat sederhana pun boleh masuk UITM!!!Kenapa UITM hanya untuk orang Melayuuuuuuuuu saja cikgu???????” 


Itu pendapat dialah.
Sesungguhnya saya terpukul. Tetapi saya tidak boleh 'escape' begitu sahaja.

“Apa maksud UITM?” Tanya saya.

Universiti Teknologi Mara cikgu!” Jawab dia.

“Apa maksud MARA?” Tanya saya lagi.

“Majlis Amanah Rakyat” Setakat soalan mudah begini, dia tidak pernah gagal menjawab.

“Bilakah MARA ditubuhkan?” Soalan saya berbau Sejarah.

“Errrrr….1966 cikgu. Menggantikan RIDA!” Jawapannya memudahkan saya memancing, dengan soalan seterusnya.

“Bilakah RIDA ditubuhkan?” Saya mengatur strategi.

“1951 cikgu!” Dia memang kuat mengingat.

“Bagus. Apakah tujuan penubuhan RIDA?” Soal saya.

“Errrrrrr…..” dia mula tergagap. Saya yakin dia tahu jawapannya. Saya rasa inilah masanya saya mematahkan dia.

“Kamu ingat tak, hasil kompromi UMNO-CLC 1949? Cuba sebutkan…” Kata saya.

“Errr…pertama,kelonggaran syarat kerakyatan.

Kedua….bantuan ekonomi dan pelajaran kepada orang Melayu….”

“ Ya….di situlah RIDA muncul” Saya cepat-cepat memintasnya, sebelum dia menyenaraikan fakta lebih panjang. Dia pasti ingat semuanya. Berbanding bangsa saya sendiri...................






Kenangan cikgu dan muridnya...


“Dan ingat muridku….sampai bila-bila pun, di mana-mana pun kamu, jadi apa-apa pun kamu suatu hari nanti, cikgu mahu kamu sebagai murid sejarah cikgu….faham dan ingat…akan KONTRAK SOSIAL antara Raja-raja Melayu dengan British, yang cikgu selalu sebut itu.

KONTRAK SOSIAL muridku…….Bukan Kontrak So……….SIAL!!!!!!”




Ya murid-murid bangsaku....ini bukan perkara remeh yang boleh dijadikan lawak slapstik.....sila jangan jadi Melayu yang sengal!!!!!








........................................





20101019

Jegil dan periksa...

Buka cermin mata sudah...
Lap cermin mata sudah...
Tenyeh biji mata sudah...
Pejamkan mata sudah...
Sepetkan mata sudah...
Jegilkan mata juga sudah...

Hmmmm...alah!
Kalau iya pun mau bagi skema pemarkahan Peperiksaan Akhir Tahun, kasilah yang bertulisan besar sedikit....Mata pena lebih besar daripada aksara...
........tersiksa mata tuaku ini!




"Nuha, tolong scan kertas ibu ni! Set kasi besar sikit ya!" Kata ibu.

"No problem. Kalau di kedai fotostat sekolah Nuha,sekeping sekupang. Errr....ini dengan anak-beranak...kira harga sedaralah. 5 kupang sekeping pun okey. Boleh bu?"




Senyap.





"Yalah...yalah....Nuha olok-olok aje...Tak payahlah jegil-jegil kat Nuha!" 






***Citra Sampingan.

Pemeriksaan berkala di hospital tadi. Keseluruhan keputusan memuaskan. Alhamdulillah.
Cuma.....dua di antara 5 jenis dadah ubat wajib saya setiap bulan telah diubah dosnya...
Dan sebulan lagi kena jalani salah satu prosedur ujian di jabatan patologi....
Biasa-biasa saja tu...


Membaca isi skrip jawapan murid di atas...
...dan semasa sedang dikaunseling oleh 'dietician' tadi, ingatan saya terkenang sahabat blog saya, Pie Wahid. Kami pernah diarahkan mengambil beberapa jenis ubat yang sama, kerana ada sedikit persamaan diagnosis.....tapi, nampaknya komplkasi yang beliau alami semakin berat. Ujian yang beliau alami jauhhhh lebih sukar dari saya yang tidak seberapa. 

Semoga tabah, sahabatku....



Buat rakan bloger yang lain....maafkan saya.
 'Lelah' minda dan raga mutakhir ini...

20101017

Cerita melepaskan rindu di bawah pokok...

(Errr...minta maaf kepada yang cuma suka baca tajuk, dan pencari cerita 'bukan-bukan'! Ini kisah anak-beranak tau...kerana ini blog makcik-makcik!!! :D )



Hujung minggu ini melawat anakanda di asrama lagi. Oleh kerana tengahari tadi ada jemputan kenduri kahwin, ibu tak masak, makanya ibu tak bawa juadah macam selalu, (pentingkan diri sendiri punya ibu!) Jadi, kami bawa dia keluar, ronda-ronda menikmati bangunan pencakar langit di pekan Cowboy ini.

Sudah lama tak makan satey dan minum cendol di bawah pokok ini...orang Jawa yang berjualan!
Kakak dan adik ini, dari mula jumpa tadi asyik berbisik...ketawa...berbisik...ketawa.
Entah apa rahsia mereka...banyak pula temberang si adik sekarang ni, yang buat orang ketawa.
Hmmm...suka hatilah....asal rukun, damai, sepakat, dan makmur...
Itu sudah cukup membahagiakan ibu!
Dah habis 50 cucuk satey, nasi lemak kukus dan ayam goreng berempah pula jadi santapan.
Makan dengan tangan, sangat lazat! Budak asrama ini habis dua bungkus. Yang perempuan kongsi sebungkus dua orang. Abah langsung tak nak makan....(abah memang susah sikit makan makanan luar)

5:40 petang.
Dah agak-agak masing-masing sudah melepaskan rindu secukup rasa, kita hantar balik dia ke asrama...

Pusingan pertama...bekalan baju bersih dan dah siap gosok untuk dua minggu, angkut naik ke dorm dulu! Berpoluh ibu dan abah  menggosok eh!!! Err...abah yang gosok banyak sebonar eh! Ibu 'hangerkan' saja! :D


Tinggal dulu anakku....esok Peperiksaan Akhir Tahun .
Jawab betul-betul! Ujian  Ogos dulu dapat 8A. Kali ini cuba 10 A! Ingat entri Belum Mahir Hidup tu...Doa ibu, sentiasa mengiringi kamu!

Dahhhh....Ta taaa....Ti tiiiii....Tu tuuuuu.....
Assalaaaamualaikum!

Jam 17:58. 
Sebelum pintu pagar asrama ditutup pada jam 18:00 
:D




20101016

"I Tak kisah....I boleh bayar, bayar je lahhh!!!"

Sedang asyik menikmati sarapan, tiba-tiba seorang peserta kursus yang tadinya berbual di telefon di luar ruang makan, memecah sunyi.

"Alamak....my husband tak dapat renew my road tax!  Ada 5 saman belum bayar!" dia merungut dengan gaya kecoh.

"Hah? 5 saman?. Biar betul! tak padan dengan perempuan lah kau ni!" Ada reaksi begitu.

"Isk...baik aku cek aku punya. Eh, macam mana nak cek hah?" Ada juga reaksi begitu.

"Kau taip 'saman polis, jarak, nombor kenderaan' dan hantar ke 32728!" Reaksi yang lain.


Senyap.
Bunyi sudu dan garpu juga berhenti.
Masing-masing mengeluarkan telefon bimbit.


"Alamak, ada satu saman!" Refleksi 1.
"Innalillah....ada satu saman juga!" Refleksi 2.
"Mak Aih! Aku ada 3 saman!" Refleksi 3.
"Adooooooi...dapat satu saman!" Refleksi 4.

"Kau? Senyap saja!"

"Alhamdulillah, saya tak ada!" Reaksi akhir.


"3 saman kau! Macam mana nak buat ni?" Tanya seorang yang tak kena saman, dengan nada yang naif!
"Isk...bayar ajelah....RM900 je, apa kisah!" Jawab yang kena 3 saman dengan nada bangga.


Ya lah. Duit adakan! Saman boleh dibayar.
Tapi, bagi saya yang sangat berkira ini, RM900 saya sudah ada yang 'lebih berhak' menunggu setiap bulan. Alangkah berdosanya saya, andai terpaksa mengetepikan  hak kepada yang berhak itu, semata-mata membayar harga kecuaian saya...yang sebenarnya boleh dielakkan.

Siapa yang berhak itu ckLah?
Ahhh, ramai....
Anak-anak, ibu bapa...dan...............

8 ASNAF penerima zakat.

Itu kalau sayalah........


Hmmmmm......dapat wang sagu hati RM500 kau bising berdegar-degar mengutuk itu dan ini!
Apalah sangat RM500 tu kan! Kan! Kan! Saman kau lagi mahal!

Apa lagi.....bayarlah!!!




***Lampiran.

***
Tempelan.
SAYYYANGG XIIINAM!!!



20101015

Lelaki-lelaki dalam facebook saya... (Ini kisah miang kah?)

Dari entri 'sporting tahap tinggi' sebelum ini, ramai rakan blog memberi komen menjurus kepada facebook. Saya tak cerita pasal facebook pun, tapi mesej saya kepada ibu bapa (suami isteri) adalah :

"Jadilah suri teladan kepada anak-anak, kerana cabaran anak-anak kini amat konflik!"
Baca ke tak ni? Baca tak? Baca tak? Haip!!!

Tak apalah. Orang beri pendapat, saya alu-alukan. Terima kasih, kerana dari komen-komen itu saya dapat merumuskan 'sesuatu' tentang pengunjung-pengunjung blog saya...terima kasih.

...dan kali ini, saya mahu tulis pasal facebook.

Tidak! Tidak! Tidak!
Saya bukan menulis tentang facebook orang lain!
Tidak!!!
Saya tulis pasal facebook saya! Dan apabila saya menulis apa-apa di blog ini, saya tidak ciplak sana dan ciplak sini, kalau tidak menyatakan sumbernya. Maknanya, semua yang tertulis di sini adalah dari 'pemikiran' saya sendiri....yang pasti tak sama dengan setiap orang!

Ya! Ya! Ya! Saya tahu semua orang ada prinsip. Saya tahu prinsip saya tak semestinya sama dengan prinsip orang. Kalau anda rasa tak sesuai, abaikan saja. Saya menulis kerana anda rajin ke La Tahzan XIIINAM. Anda rajin ke LA TAhzan XIIINAM, sebab nak baca citra saya, kan! Saya pasti, anda klik ke La Tahzan XIIINAM bukan untuk mengenali siapa saya....(yang memang bukan siapa-siapa untuk dikenali di luar blog!)
Kan?

Sebelum saya teruskan, saya beri satu amaran pendapat:

"Hatta sebilah pisau pun andai digunakan dengan betul, maka baiklah kesannya. Tapi, kalau disalahgunakan.....boleh dapat hukuman gantung mandatori!!!"

Jadi...facebook pun begitu!



Nak ikuti cerita di atas???
Nak???


Bagi yang suka masuk blog orang hanya untuk membaca tajuk...atau hati tak berapa ikhlas saat masuk ke La Tahzan XIIINAM......cukuplah berhenti di sini.


Tapi, bagi yang serasi dengan cara penulisan saya dan mahu mengambil iktibar, bolehlah klik di sini untuk mengetahui cerita kisah miang yang dimaksudkan.

Kalau mahu ulas....ulas di sana.
Terima kasih.
Maafkan saya!



Kaki blog seorang kaki blog...

Kaki blog seorang kaki blog...