Suka citra @ xiiinam? Terima kasih :D

20101230

Letupan hujung tahun!!!

Dalam perjalanan pulang dari pantai, XIIINAM tiba-tiba terpaksa dihentikan di tepi jalan.

Semua orang sibuk di belakang kereta....dan yang seorang itu, sibuk membentang tikar.
Ha? Nak sambung berkelah tepi jalan pula ke?
3 anak  masih berusaha mengeluarkan sesuatu, diperhatikan abah mereka dan yang seorang itu...tetap dengan gaya 'diva'nya...
Nabil cuba melakukan tindakan kecemasan...

"Alamak...adik jantanku nan seorang ni! Terkial-kial! Bak lah kakak buat!" Kata Dia, tak sabar. Nyampah dia tengok si bujang lambat buat kerja.
"Ooooooooooooooooooooooo, macam tuuuuu!" Kata Nabil dengan tak malunya.
'Hmmm, kakaaaak juga yang buat!'
Giliran abah pula terkial-kial....kerana kaki kirinya yang tak boleh dibengkokkan kerana ada tulang besi implan sepanjang 13 inci. 'Orang kuat' katakan...

"Abah...bak kakak cuba!" Lembut saja si Dia bersuara, tak seperti bercakap dengan adiknya tadi..

Lalu akhirnya....tugas 'mengejek' dan membuka skru tayar bergantung sepenuhnya kepada kekuatan dan kepejalan tangan anak dara sulung kami ini....
Sampailah sudah......

"Hmmmmm....tak sia-sia ada anak dara yang berat badannya se pikul!" Kata abah....
"'See the leg lah'....berat kakak berat ada harga tawwwww!" Kata wakil sekolah dan pemegang rekod lontar peluru tiga tahun berturut-turut, juara bowling serta pemegang tali pinggang hitam dan sijil kejurulatihan taekwondo ini...mempertahankan 'keberatannya'! Hahahaha...(ibunya ambil kesempatan menyohor anak)


Hah! Si bujang seorang ini....sibuk menunjukkan bukti dia pun buat kerja.
"Habis hitam tangan AI tawwwww!" Kata tukang pegang tayar cemerlang ini.



Lokasi kejadian...belum jauh dari pantai...
Diba dan Nabil...mengulas kejadian. :D

Semboyan telah berbunyi...menuju, medan bakti!!!

(Sekadar catatan biasa seorang cikgu biasa yang biasa-biasa...)

Siap-siaga!!!
Apabila naskah-naskah tangkal azimat berkulit 'maroon' itu telah diterima 3 hari lalu...


Maka bermulalah 'sesi ke 20' buat bahu seorang ckLah menggalas panggilan 'cikgu', lalu meneruskan perjuangan dalam dunia yang telah menjadi 'passion'nya sejak 20 tahun yang lalu...

Diari Jabatan Pendidikan Perak yang akan menjadi teman setiausaha peribadi yang rasmi...tag 'punch card' dan tanda nama....yang akan tersemat pada dada saya saban hari.

Buku Panduan Tugas Guru Edisi 2011 yang akan jadi kitab rujukan kerja utama...saya tahu, bukan mudah untuk menyusun naskah yang ini dengan mengorbankan masa cuti yang panjang, demi kepuasan dan kemudahan semua pihak, kerana saya pernah terlibat menjilidnya...dulu.

Segala tugas untuk saya yang tercatat dalam naskah di atas, adalah tugas-tugas biasa sebagai seorang guru biasa. Segalanya saya terima dengan terbuka, dan cuba sedaya upaya untuk melunaskan segala amanah seperti cikgu-cikgu biasa.

Cuma yang satu  ini...tugas mengetuai panitia Sejarah yang pernah saya lepaskan dua tahun lalu atas alasan kesihatan yang sering tidak memuaskan dan masa yang banyak dihabiskan di hospital, telah dikembalikan semula kepada saya atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan...dan menjadi tanggunjawab saya untuk menaikkan semula 'prestasi' Sejarah yang mengalami kejatuhan dalam PMR terbaru...

...dan angka 'kejatuhan' meski hanya beberapa titik perpuluhan, adalah menjadi tugas guru untuk memberi sebab musabab dan mangorak langkah membaikinya...dan sebarang alasan, tidak boleh sama-sekali menyalahkan pihak murid, sebaliknya guru tersebut perlu bertanggungjawab!!! Itu sudah lumrah bagi kami, dalam dunia pendidikan.

Saya terima semula tugas ini sebagai cabaran dengan saya sendiri diberi 2 kelas Sejarah Tingkatan 5 dan 2 kelas tingkatan 3, di samping 2 kelas BM Tingkatan 4 dan 5. Saya tiada sungutan langsung tentang itu, InsyaAllah. Semoga Allah mudahkan P&P saya, dan pastinya akan dilakukan dengan kerjasama semua guru Sejarah, dan kemahuan murid untuk belajar... Apatahlagi, untuk SPM 2013, Sejarah akan menjadi syarat lulus SPM....






Analisa kelas Sejarah saya 2010.
i)Tingkatan 3 Kelas Pangkal-35 orang, semua A. 
-Komen seseorang ;"Alah, dah memang budak kelas tu pandai-pandai!"


ii)Tingkatan 3 Kelas Hujung-29 orang, 5 gagal. 
-Komen seseorang; "Macam mana boleh gagal? Cikgu tak reti ajar ke?"

Hahahahahahahahaha...sudah 20 tahun, itu cerita biasa, buat seorang cikgu yang tak pernah kisah diberi kelas pangkal, pucuk, tunas, atau hujung...




Satu lagi subjek yang saya ajar, Bahasa Melayu. Alhamdulillah...meski ada penurunan kualiti...

Tahniah kepada rakan-rakan Guru Bahasa Melayu....yang mengekalkan angka 100 itu!
Ya...kerana akhiran plot ceritanya, yang 'mahu dilihat' oleh 'orang' dan orang-orangan adalah angka-angka itu....tak kira apa-apapun alasan, atau latar ceritanya!!!




'NUKAFIHU LIL-MAJDI!!!'







20101229

Memantau pelayaran 'Ejat The Sailor Man'.

Teringat dulu, sekitar 1979. Meski saya anak ke 5 dalam 10 beradik, tapi waktu itu sayalah anak sulung yang berada di rumah. 3 abang dan 1 kakak saya masing-masing sedang bersekolah di asrama merata-rata negara. Paling utara, abang saya di MRSM Kulim, dan paling selatan, abang sulung saya di Sekolah Menengah Sains, Kluang, Johor.


Sebagai anak sulung di rumah, saya sebenarnya pernah terserempak emak sedang menangis sembunyi-sembunyi....terutamanya sewaktu mandi di kolam. Bukan kolam renang, tapi perigi tempat kami mandi pada zaman itu, saat bekalan air dan elektrik belum kami nikmati. (Yang memang tinggal di bandar atau hidup senang, memang tak merasa pengalaman mandi di kolam macam kami ni.....penghuni kampung yang tipikal!!!)


Apabila saya tamat darjah 6, saya pun ke asrama. Sekolah saya cuma sebuah sekolah perempuan di Ipoh. Tak jauh sangat dari Teluk Intan. Namun zaman itu, saya hanya dapat balik bertemu emak pada waktu cuti penggal sahaja. Balik tidak dijemput dengan kereta menjalar....tapi, naik bas sendiri. Pandai-pandailah nak hidup!!!


Zaman dulu, ada 3 kali cuti penggal. Maka 3 kali itulah saya dapat balik. Sekadar cuti am atau hujung minggu, duduk sajalah di asrama. Pernah pada Hari Raya Haji, saya beraya berlima dengan kawan pelajar Sabah dan Sarawak di asrama. Berziarah ke rumah tukang kebun dan warden yang tak balik kampung. Nak harapkan ibu bapa melawat ke asrama seperti orang lain juga....adalah mustahil. Kami pun faham keadaan mak dan bapak waktu itu. Setiap minggu...renung sajalah ibu bapa murid lain datang berkelah bawah pokok di asrama. Sesekali rasa rindu memberat kepada emak, saya hanya mampu memekup muka dengan bantal, lalu menangis semahu-mahunya......


Saya tahu, emak di rumah juga begitu. Kalau rindu kami berutusan surat. Surat....paling cepat boleh sampai 3-4 hari......dan apabila dapat surat dari mak yang bertulis jawi, ahhhhhhh, berulangkali membacanya.


Anak pertama mak yang keluar negara adalah abang saya, Prof Madya RZ. Beliau dihantar ke Exceter Collage di United Kindom, sebelum ke University Of Leeds, semuda usia 17 tahun, sebelum keputusan SPMnya diumumkan lagi. Selepas abang terbang, saya lihat, emak kekadang termenung teringatkan abang. Zaman itu, kalau mengirim surat ke luar negara, kadang-kadang sebulan baru sampai. Harga stem juga, terlalu mahal buat kami waktu itu. Kalau rindu...hanya doa mampu dikirim di angin lalu....


Selingan iklan. Hehe..
Ini sebahagian adik beradik saya zaman dulu. Saya darjah 2 waktu itu, dan ada adik saya yang belum lahir lagi...
ckLah? Yang pakai lencana Barisan Nasional di dada itu. Waktu ni saya memang garang dan gila kuasa. Kalau ambil gambar, mesti mahu duduk tengah di hadapan sekali. Tak kira...



Itu zaman dululah. Zaman di kampung saya, telefon pun belum dikecapi lagi....jerih payahnya mak yang terpaksa merindui anak-anaknya yang terpaksa dilepaskan ke asrama demi menuntut ilmu berusaha ke arah mobiliti sosial kehidupan.


Kini,  mak  tidak perlu sakit-sakit menanggung rindu kerana teknologi yang masih ketinggalan seperti dulu. Mak tak perlu susah hati macam dulu. Ada rezeki dan kekuatan, dia pergi sendiri menjejaki anak cucunya di luar negara...bersama suaminya dunia akhirat...




Sekarang anak-anak mak masih bertaburan di merata alam. Dan anak-anak mak telah mengembangkan zuriat mak, kepada berpuluh cucu. Cucu-cucu mak juga sudah mulai merantau ke merata alam juga.


Salah seorangnya jejaka ini...kiranya, cucu mak yang ke 4, berpeluang keluar dari sempadan negara dalam proses menuntut ilmu...




Siapa ni ckLah?
Saya pernah cerita tentang dia Mike @ Ejat, dalam entri ini sewaktu melawatnya di PLKN dulu.


Si bujang ini, setelah tamat tingkatan 5 di sebuah Sekolah Integrasi sebenarnya mendapat tawaran belajar dalam bidang pendidikan di sebuah institusi di Sabah. Tapi, akhirnya dia memilih Matrikulasi di Melaka. Namun, oleh kerana minatnya yang begitu mendalam dalam dunia 'marine' beliau berhenti dari Matrikulasi lalu menyertai Akademi Laut Malaysia (ALAM). Ibu dan bapa yang mahukan beliau menjadi 'cikgu'. macam mereka, akhirnya mengalah, demi menuruti minat si anak, dan merestunya...




Kini Ejat sedang mengikuti pelayaran pertamanya sejak lepas Syawal tempohari. Pengalaman dan peristiwa emak saya terpaksa melepaskan anak-anak kini dialami pula oleh anak-anak mak. Dua kakak Ejat sudah melepasi pengajian di IPTA. Kerinduan kepada anak-anak yang dialami mak dulu, kini mula berpusing dan tiba kepada anak-anak.


Bezanya, di zaman dunia tanpa sempadan ini, mak Ejat tidak perlu lagi menyorok-nyorok menangis menahan rindu....atau menunggu sehingga sebulan dua untuk ketibaan surat dari anak...seperti yang berlaku kepada mak dulu....




Ejat sentiasa melaporkan perkembangannya kepada maknya, melalui e-mail atau facebook...






Bukan setakat mak Ejat, keluarga lain seperti mak saudaranya ini juga boleh mengesan kedudukan kapal si bujang melalui internet...

Bunga Melati Satu- Kapal Ejat dalam misi membawa bahan kimia...

Antara kebaikan teknologi, jika betul cara penggunaannya...
(Kedudukan kapal Ejat, dari satelit)






....kalaulah di zaman saya dulu ada semua ni, tentu saya juga sanggup belajar jauh-jauh dari mak. Tapi, hati saya terlalu rapuh andai berjauhan dengan mak (Eleh...memang tak layak ckLah tu!) . Sekarang, sudah bekerja dan berkeluarga...namun masih memilih untuk bertugas di kampung sendiri, dan menjadi anak yang paling dekat rumahnya dengan rumah mak. Seminggu tak jumpa mak, rasa sasau semuanya.


...dan mujur, anak lelaki tunggal saya, dapat SBP yang hampir dengan rumah. 40 minit memandu dah sampai. Buat masa inilah.....kalau tak, mau meraung juga (ibunya!)
:D


















**Ini antara entri terakhir tahun ini.
Maafkan saya ...
...kerana sering menyuguhkan cerita-cerita yang panjang berjela..
...dan membosankan  
di laman ini sepanjang 2010...


Jumpa lagi tahun depan, kalau masih mahu...!

20101226

Pecutan akhir cuti...

Setelah 20 hari bertapa kerana tugasan rasmi yang berakhir Jumaat kelmarin, hari ini, cuti terakhir saya, kerana sepanjang minggu hadapan sudah mula dipanggil ke sekolah untuk pelbagai mesyuarat. Kami korbankan minggu akhir cuti untuk mesyuarat-mesyuarat awal tahun, supaya sesi pembelajaran minggu pertama tidak terjejas. Itu sudah menjadi budaya di sini sejak dulu. Tak kisah...

Cuti diakhiri dengan memenuhi undangan saudara seMuslim. Ada 2 rumah.

Cenderamata dari tuan rumah, sebagai tanda ukhuwah...

Meski ramai orang telah bertukar kepada gula-gula, Sumi, makanan ringan dan macam-macam lagi termasuk senduk, sudu, cawan, mentol (Maya Karin) dan lain-lain, tuan rumah ini masih mengekalkan tradisi pemberian 'telur pengantin', diletakkan di dalam kotak daripada songket dan baldu. 6 kotak untuk ibu, abah, dan 4 anak mereka. Terima kasih.


Seterusnya...
Banyak modal kalau nak bagi kami sekeluarga ni, kan! Maklumlah, ramai anak...Kesiannnn tuan rumah. Sungguh! Tak sampai hati....tapi ambik jugak!


Katanya, ini untuk tetamu istimewa. Istimewakah kami? Hahahaha...
Satu telur lagi untuk abah....satu mangkuk kristal berisi manisan untuk ibu yang manis...


4 uncang cokelat...untuk 4 anak.



"Berapa ibu bayar untuk semua ni?" Tanya Nuha yang belum faham konsep. Dia nampak ibunya sibuk-sibuk mencari sampul duit raya terpakai untuk bersalam keruk dengan  tuan rumah, dia ingat, itu bayaran untuk 'makan kenduri'.
:D


Setelah habis sesi kenduri dari rumah ke rumah (2 saja pun) kami meneruskan perjalanan ke Ipoh. Dalam perjalanan, banyak bunga manggar di hadapan rumah orang, tapi tak boleh singgah. Lalu, kami menukar baju...
Ini baju Diba. Kira latihan persendirian untuknya sebagai persediaan kejohanan antara sekolah-sekolah tahun depan jugalah ini.



Dan terus ke....


(Aksi anak-anak...)


Lepas main, makan...
(Nuha, Diba dan Bill)



Dah kenyang, balik....


Masa lalu depan sekolah ini, rasa nak belok...menziarahi menantu angkat saya yang bertugas di sini....tapi, takut dia tak ada...   (>..<)


Maaf ya anakanda Tengku Shah***....tak dapat singgah kali ini...Terpaksa cepat kerana ada yang mengejar waktu Magrib dan mengejar ini....
Lepas solat Maghrib, singgah makan sambil menonton Piala Suzuki di 'Restoren Mai Singgah', Langkap, tapi, dek kerana tiada satu gol pun terjaring, kami cepat-cepat balik.


Sampai rumah, terkejut melihat permainan dihentikan kerana mata pemain  terkena pancaran laser. Tapi tak lama, kerana lepas tu kepulangan kami disambut jaringan 3 gol berturut-turut! 

Syabas Malaysia!

20101224

Mabrouk!

Semalam, melihat di laman blog dan facebook rakan-rakan. Ramai ibu dan bapa yang gembira dengan kejayaan anak-anak dalam PMR. Saya tumpang gembira dengan kejayaan anak-anak kalian. Tahniah! Mabrouk!


Sewaktu pengumuman diumumkan semalam, saya berada di sebuah SBP di sini, kerana masih berhempas pulas berjuang melawan talian LPM yang amat 'tenat', berusaha menyelesaikan sentuhan akhir tugasan rasmi bersama  seorang lagi Guru Cemerlang, rakan saya di sekolah itu. Tak dapatlah saya bersama murid-murid saya...

...nampaknya SBP itu mengalami kemerosotan yang teruk tahun ini, menyebabkan kami dapat mendekatkan jarak, meski 'tahap warna' murid kami tak sama...



Selama 20 tahun menjadi guru...saat begini memang saat paling manis buat seorang bergelar cikgu....
Terutama apabila menerima ucapan dari bekas-bekas murid yang telah lama meninggalkan saya...

Dari bekas anak murid saya, merangkap anak angkat (mentor) saya sepanjang sekolah dulu, yang sepanjang berada di Matrikulasi markahnya sentiasa '4.0'....



Dan sungguh mengharukan....ucapan dari bekas guru kelas saya masa darjah 6...yang telah berpisah dengan saya 30 tahun yang lalu....beliau kini 'orang kuat' di PPD Kinta Selatan, dan aktif dalam sukan basikal.
Dan.....

Dan....

Dan...yang paling istimewa...dari insan yang menjadi tulang belakang saya...dunia dan akhirat...

Sungguh...kejayaan itu bukan kerana mana-mana pihak secara individu, tetapi adalah hasil usaha bersepadu terutama murid-murid itu sendiri dan ibu-bapa murid itu. Guru hanya menyuntik sedikit-sedikit...dan guru juga tidak berusaha secara solo, namun berkolaborasi dengan semua guru lain....semua wajar berbangga...dan bersyukur. Alhamdulillah.

Tahniah untuk semua...


Nukafihu lil majdi....

20101223

Tahu sama tahu sudahlah...... :D

"Cikgu, boleh ke cikgu ajar tusen anak kak Bedah. Nanti kak Bedah bayarlah?" Jiran bertanya.

"Minta maaflah kak Bedah. Saya ni, memang tak pernah buat kelas tuisyen berbayar ni. Saya buat kelas tambahan kat sekolah saya saja. Tapi, kalau anak kak Bedah nak belajar, cuti-cuti ni bolehlah datang rumah saya. Boleh belajar sekali dengan anak-anak saya" Jawab saya.

Sebagai pengenalan, saya berikan soalan mudah...perkataan-perkataan asas...untuk seorang remaja Melayu berusia 16 tahun...yang ketika masuk ke ruang rumah saya, aroma rokok turut semerbak dari tubuhnya.






...dan antara jawapannya...


....ada juga yang nak kena sumbat dengan tauhu ni!!!




***
Bukan tak nak tolong. Bukan sombong. Bukan juga malas. Tapi, sepanjang bergelar guru selama 20 tahun, saya memang 'tak berkenan' dengan konsep tuisyen mutakhir ini. Tak pernah buka kelas tuisyen pun. Apabila melihat anak-anak yang hadir ke hadapan guru tuisyen mereka 'tanpa roh dan jiwa'...sedang ibu-bapa yang bersungguh-sungguh mahu menghantar ke kelas itu, kelas ini, sedang anak, mahunya ke lain...


Biarlah cikgu-cikgu yang gigih cari duit saja membuka kelas tuisyen berbayar. Saya? Cukuplah dengan 'ko-business' saya...iaitu murid-murid saya sendiri, kerana itu 'amanah utama' yang akan dipersoalkan di 'alam sana' nanti (walaupun tak kaya.) Kalau saya mahu berhabis tenaga dan wang ringgit pun...biarlah untuk mereka!!! "PASSION" saya!


Anak saya sendiri...seorang pun tidak ada yang ke kelas tuisyen. Apa yang cikgu anak-anak saya beri di kelas itu sudah cukup......kerana saya kenal semua cikgu anak-anak saya. Sangat kenal dengan kegigihan dan ketelusan mereka. Kalau tak dapat juga....itu memang salah anak saya.




Ini hanya pendapat seorang ckLah. Tiada niat provokasi. Bukan juga rungutan, sekadar mahu  berkongsi dengan yang terbuka...


20101216

'Laksana Bangla Kehilangan Kerja' : Ini bukan peribahasa, tau!

SPM Dia tamat hari ini. Balik dari dewan peperiksaan, Dia terus ke dapur. Macam mahu membalas dendam! Sup ayam yang ibu masak, tak dihiraunya, lalu terus menyelongkar.


Berkolaborasi dengan adiknya Diba. Perkongsian idea, tenaga, persefahaman  dan jiwa kedua-duanya menghasilkan Spaghetti kegemaran mereka. Memang Dia dah cakap awal-awal, habis saja kertas terakhir, dia mahu masak spaghetti. 


 Tak taulah rasanya bagaimana, ibu berpuasa hari ini, InsyaAllah.




Dia dah makan.
Dah kenyang.
Dah solat zohor.
Dah kemas bilik yang bagai tongkang pecah!




"Ibu, Dia nak buat apa lagi ni bu?"

Entah berapa kali, soalan itu diajukan anak sulung saya Dia, seusai kertas SPM terakhirnya, Sains Sukan, tengahari ini.

"Alah, rehat-rehatlah dulu! Tengok TV ke, akses internet ke, baca novel ke!" Ibunya yang sedang berada di puncak ketegangan 'misinya yang belum berakhir', menjawab acuh tak acuh.

(Mana tidaknya, sudah tiba giliran untuk membaca berpuluh-puluh 'cerita' yang hancur....dan merapu tahap dewa!!! Tapi kena baca juga, dan nilai seadil-adilnya, demi masa depan mereka.....


Entahlah, dah sekolah 11 tahun, Bahasa Melayunya macam Siam.  Bahasa Melayu bukan, bahasa Inggeris pun bukan. Tinggal di Malaysia!!! Kesian betul! Apalah nasib bahasaku!!! Kalau murid saya, tentu saya titik jarinya!!! Yang elok-elok dan cemerlang sudah habis dinilai!)



"Dia rasa pelik tak buat apa-apa. Sebelum SPM dulu asyik nak tidur, sekarang, tidur pun tak boleh!" Rungutnya.

"Jin tidur dah tinggalkan Dia agaknya!" Jawapan longgar, lompang, dan tak bertanggungjawab dari seorang ibu.




"Ibu, Dia nak buat apa ni bu?" Tanyanya lagi.




"Terpinga-pinga bagai Bangla kehilangan kerja!!! Orang nak sangat PLKN, tak dapatlah pulak!!!" Dia menyambung lagi, apabila ibunya gagal memberi reaksi.


"Sabarlah, minggu depan masuk kelas memandu. Ibu dah daftar!" Ibu.

"Alaaa, minggu depan lambat lagi! Hari ni, nak buat apa?" Dia. Ibu bungkam, sambil meneruskan tugas.




"Dia nak cari kerja di luar boleh?" Dia mengacau lagi.

"JANGAN, masih di bawah umur!" Jawab ibu.




"Nak tolong ibu menyemak, boleh tak? Upah kira harga anak beranaklah, kita bagi dua! " Dia mula mengarut!

"JANGAN! SULIT! INTAI PUN TAK BOLEH!!!"  Jawab ibu, sambil cuba menutup kerjanya tapak tangan.






"Kalau dah tak ada kerja sangat, cuba asingkan halba dalam campuran bijirin dalam dulang tu. Banyak sangat. Kalau sempat, Ibu nak buat bubur Asyura .  Adik-adik tak suka rasa halba! Pak Ma'on kedai runcit tu dah campur siap-siap masa ibu beli!!!"

"Hmmm...kena kawin dengan musang berjanggutlah pulak kalau macam ni!" Rungutnya, sambil jari-jemari gebunya mengais-ngais campuran bijirin.
.
.
.
.
.
.
.

Tak apalah, musang berjanggut tu putera raja! Jangan kawin dengan Pak Ma'on tu sudah! Lain yang orang cakap, lain yang difahamnya! Rasa nak saja boikot Kedai Pak Ma'on tu! - Ibu bermonolog dalaman. Tak baik kalau didengar dek anak dara tu...

Kaki blog seorang kaki blog...

Kaki blog seorang kaki blog...