Suka citra @ xiiinam? Terima kasih :D

20110225

Antara bakal Seri Kandi dan bakal YB, dengan anak-anak sendiri......ada yang terdemam di tengah-tengah!!!





1) Kisah Bakal Seri Kandi...

Seminggu ini, memang saya habiskan petang saya bersama mereka. Ahli-ahli Kelab Taekwondo saya yang sedang berhempas pulas berlatih untuk mempertahankan gelaran Johan Daerah (wanita) sepanjang zaman....sejak mula pertandingan daerah diadakan dahulu  dan persediaan untuk persembahan jemputan di padang Majlis Perbandaran Teluk Intan awal bulan hadapan.
(sesi latihan)


Namun oleh kerana minggu ini saya juga terdesak dengan pasukan Bahas Ala Parlimen saya, saya lebih banyak serahkan latihan kepada yang pakar, iaitu jurulatih (Master)  mereka. Jurulatih bertauliah dari Kelab TKD Hilir Perak yang telah mengeluarkan produk lebih seribu pemegang Tali Pinggang Hitam itu, serta rakan penasihat sesi petang, Puan Aya, yang juga mempunyai gred tali pinggang lebih tinggi dari saya.



2) Kisah Bakal YB....

Jumaat lepas, baru mesyuarat penyelarasan Pertandingan Bahas Ala Parlimen (Bahasa Melayu)  ini. Dalam masa 7 hari termasuk Sabtu dan Ahad, kelam kabut (semua sekolah sama senarionya) mencari pembahas dan melatih. Semasa memandu pulang dari mesyuarat, nama-nama dan wajah-wajah  sudah ada dalam kepala, sayangnya sudah disunting dahulu oleh 2 rakan Guru Cemerlang Bahasa Inggeris kami untuk pertandingan serupa dalam bahasa Inggeris. Terpaksalah saya mengadakan pertandingan ad-hoc peringkat sekolah secara lebih kurang (jangkanya nak buat lepas sukan Mac ini elok-elok, tapi lain jadinya!), dan membimbing mereka yang terpilih saban petang....termasuk melalui facebook. Itulah guna facebook bagi kita ya murid-murid!!!Bukan untuk sembang kosong !
(sesi latihan)

Pertandingan sudah bermula semalam. Dan Alhamdulillah, pasukan saya yang menjadi satu-satunya Pasukan Satu Malaysia (sekolah lain semua Melayu) sudah melepasi pusingan kedua.....petang tadi.


Bahas Ala Parlimen berbeza dengan Pertandingan Bahas lama, yang lebih berbentuk menghafal hujah. Kekuatan pada seorang pembahas Ala Parlimen adalah kemampuan berhujah secara spontan, kemahiran mematahkan hujah lawan dan menjawab soalan pihak lawan, semuanya secara spontan, tetapi berisi. Dan bukan mudah mencari bakat seperti itu di kalangan anak-anak remaja kini (kalau di sekolah sayalah) kerana mereka lebih mahir berhujah dalam bahasa Inggeris. Bakat pembahas bahasa Melayu amat kurang. Murid Melayu yang petah memang ramai. Tapi, sekadar petah bercakap apabila guru belum masuk ke kelas, atau baru keluar dari kelas! Petah berbuat bising! Petah tin kosong!!! (Jangan marah cikgu, ya!)

Namun, menang atau kalah, saya cuba juga, sekurang-kurangnya mereka diberi pegalaman....dan selebihnya penambahan markah dalam ko-kurikulum. Itu elemen penting untuk kemasukan ke universiti nanti iaitu10% markah Ko-kurikulum. Untuk cikgunya, cukuplah sekadar tuntutan elaun perjalanan pertandingan peringkat daerah sebanyak RM0.20 per kilometer itu. Hahahaha, nak taip borang tuntutan pun...alahai, malaslah! Kira halal sajalah....(cuma, wang yuran penyertaan RM50 yang cikgunya dahulukan dengan duit sendiri kerana kerani kewangan tak sempat uruskan cek itu, kenalah tuntut balik. Tangki kereta cikgu, bukan boleh diisi dengan air. Hahaha)






Sebenarnya, saya telah membuat kesilapan besar. Saya telah salah memberi usul perbahasan kepada pasukan saya. Tajuk yang saya beri adalah "Remaja Berkualiti Menjana Ekonomi Negara", sedangkan tajuk sebenar adalah ;"Remaja Berkualiti Modal Insan Negara". Dan kesilapan itu hanya disedari setelah Speaker Dewan memulakan perbahasan. Ya Allah.....tuhan saja yang tahu, sesalnya saya saya saat itu. Maafkanlah cikgu wahai semua!!!

Semasa undian dijalankan untuk menentukan siapakah pihak Kerajaan dan Pembangkang sebelum mereka dikuarantinkan selama satu jam, YB-YB muda saya begitu yakin apabila melihat kertas undi, bahawa mereka adalah 'Pembangkang'. Cikgu mereka yang risau, kerana tajuk memang lebih berpihak kepada 'Kerajaan'.

Mujur...bakal-bakal YB saya jenis remaja yang 'fleksibel'...tidak bergantung kepada skrip dan sangat spontan, dan pembangkang memenangi perbahasan ini  apabila Speaker Dewan mengisytiharkan bahawa usul perbahasan pada hari ini DITOLAK!  

Maksudnya...mereka menang!
Syabas anak-anakku!

(Dan-dan tu  ngaku anak!)


Kata ckZahan; "Salah tajuk tak apa, pembangkang memang boleh tukar tajuk, sebab dia membangkang!" Cheh...



Sayangnya, saya tak dapat menyaksikan mereka berbahas, walaupun saya datang sebagai guru pengiring pasukan.....kerana saya tiba-tiba dirayu oleh pihak penganjur untuk menggantikan tempat hakim yang tidak hadir dalam pertandingan dua sekolah lain. Jadi bidan terjun lah maknanya! (Hakim tanpa bayaran). Maka, saya tak dapat merakam gambar dan video mereka!!!


Pertarungan seterusnya Hari Isnin ini dengan usul "Kemasukan Filem Asing Perlu Disekat"....dan kenalah bersama mereka sebahagian Sabtu dan Ahad ini untuk bersedia kemungkinan menjadi Kerajaan atau pembangkang. Tak apa, sesekali berbakti untuk pertiwi.  Siapa ada idea. bolehlah hulurkan talian hayat. Doakan kami ya!



Dialog pendek:
"Cikgu, bolehkah kita  tumbuk meja masa berbahas nanti?"
"Kenapa perlu tumbuk meja?"
"Selalu tengok dalam TV...ahli parlimen ketuk meja...cakap kasar...baling kerusi? (Parlimen Korealah!!)

...ya, tabiat golongan dewasa yang bijak pandai dan sepatutnya menjadi suri teladan, sering mengelirukan anak-anak remaja.


Dan 3) Kisah anak sendiri...

Hari ini pulang ke rumah membawa penat yang teramat kerana tahap kekuatan sistem antibodi juga sudah sedikit tergugat. Selsema dan kepala semakin memberat. Peti sejuk pun sudah kosong kerana tak sempat ke pasar seminggu ini.  Minta maaflah anak-anak ibu. Seharian ini kalian tak merasa air tangan ibu langsung......sedih dan terkilan rasanya. Maafkan ibu, tidak sengaja melebihkan anak-anak orang lain...

Untuk anak-anak yang  bertiga itu saja.
Malam ini, ibu mahu menemani abah  pergi kenduri/majlis tahlil  di rumah  jiran....walaupun angin demam semakin terasa.

20110220

Dia pergi suda baaaah...

Minggu terakhir Pengetua di sekolah ini, diakhiri dengan kesibukan sekolah mengadakan beberapa majlis penting. Jadi, cikgu kecil berbadan besar ini juga turut sibuk-sibuk sama. Segan mahu mengaku sibuk.  Apalah yang disibukkan sangat buat seorang ckLah...cikgu biasa-biasa yang cuma mengajar 7 kelas tingkatan 3, 4, dan 5 ini...sampai melawat ke blog rakan pun tidak sempat??? Elehhh, alasan!

Sabtu 12 Februari.Dimulai dengan Merentas Desa pada hari Sabtu lepas, diikuti Pelancaran Kempen Ponteng Sifar, Majlis Bacaan Yaasin (Maulidur Rasul), Majlis Perasmian Surau, Perhimpunan Khas Persaraan Pengetua, Majlis Budi diSanjung Bakti di Junjung...dan Mesyuarat Penyelarasan Bahas Ala Parlimen peringkat daerah pada petangnya, dan di akhiri dengan Sekolah Ganti serta gotong royong hari Sabtu ini. Sabtu ke Sabtu. Tak tercerita kalau mahu cerita semua perkara dalam blog!



Hari majlis rasmi persaraannya...18.2.2011. Seperti biasa saya sampai ke sekolah jam 6:50 pagi, tapi kali ini terus ke dewan, bersama semua guru lain memantau apa-apa yang patut mengikut tugas masing-masing...saat pagi masih gelap!

Acara di dalam dewan.
Sekadar memilih beberapa rakaman gambar. Syukur semuanya berjalan lancar.......
Antara penyampai hadiah...paling istimewa pastinya hadiah dan ucapan suami yang romantis tersayang, Haji Adam Leong Abdullah, sempena hari jadi dan persaraannya...membuatkan orang yang merakam gambar ini tersenyum-senyum syok sendiri menyaksikannya...tiba-tiba teringat ckZahan...hehe
Acara di luar dewan...
Perjalanan keluar beliau diiringi lagu 'Auld Lang Syne' oleh Pancaragam Sekolah, dan beberapa lagu lain...seperti No Body, Hey Macarena dan sebagainya.


Antara detik akhir...berbeca di laluan sekolah.
"Pengantin lama!" Kata Haji Adam.
Lepas beca, berkereta antik pula...
Lambaian terakhir....antara pengetua-pengetua, mantan pengetua dan pegawai-pegawai pelajaran yang hadir.


Tinggallah semua 80 staf (Yob nampak sikit saja..:D)

Rakaman wajah terakhir, dari telefon cap ayam cklah...





Apa kerja ckLah dalam majlis tadi?


...apa lagi?
Jawatan tetap dan berpencen di setiap majlis berprestij rasmi sekolah, sejak 20 tahun yang silam. Jadi 'pelaung', kata aruah embah saya. Inilah kerja saya setiap kali ada majlis rasmi di sekolah (dan sesekali di luar sekolah...kalau ada permintaan...hehe)


.....Alhamdulillah, dengan kerjasama semua staf di bahagian masing-masing, acara berjalan mengikut waktu yang ditetapkan.





Malamnya...
Bersama 10 orang  rakan rapat, mengadakan majlis peribadi kecil-kecilan, meraikan persaraan harijadi beliau yang ke 56, di sebuah 'Warong Kek Resepi Rahsia!' di sini....sebelum beliau pulang mengikut suaminya yang bertugas sebagai Pengarah LHDN di sebuah negeri di selatan tanah air esoknya...
Inilah antara teman rapat saya....
Mulai malam ini, beliau tidak mahu dipanggil 'PUAN'.
"Kak Nab aje!" Katanya.

Tak kisahlah...siapa yang bakal menggantikan beliau nanti, tapi, adakah kemesraan dan keakraban begini bisa dipupuk nanti....wallahu'alam.

Segalanya...


Tinggal kenangan....
Sabtu terakhir kami minggu lepas, setelah beliau mengalahkan saya dalam acara Merentas Desa
(entri ini)






...dan mulai Sabtu  ini...dia tiada lagi di sini.


Dia yang berjiwa besar...meski tubuhnya lebih kecil dari saya!










**Minta maaf kerana cerita agak panjang!Mungkin tiada cerita baru dan aktiviti melawat kawasan blog beberapa hari ke hadapan, kerana tuan rumah sedang dalam misi melatih dan mengasah  bakat bakal-bakal Ahli Parlimen. 
Doakan semoga misi berjaya!!!                                            
                                                        

20110215

Bonggol Unta Vs Cone Heads...

1Sementara menunggu nombor giliran kami tiba di klinik itu, Nuha di sebelah asyik mengulit teman 'booklet' kesayangannya. Teman setia kala sihat dan kala demamnya...

Seorang wanita muda manis, datang dan duduk di sebelah saya. Dia senyum, dan saya menganggukkan kepala.

"Sakit apa?" Dia beramah.
"Owh, anak saya ni...demam sikit!" Jawab saya.

Tiba-tiba Nuha merapatkan kepalanya ke sisi saya. Seperti biasa, begitulah gaya dia, meleseh.
"Ibu....orang sebelah ibu tu, mesti kepala dia macam cone heads!"

Tak sangka sungguh dia akan berkata itu, dengan nada suara separuh berbisik.

Saya hanya menjegilkan mata dan menunjuk isyarat jari telunjuk di bibir.

"Why? I wonder....." Belum sempat dia habiskan ayat, jari telunjuk saya sudah sampai ke bibirnya, kerana nada suaranya bukan lagi separuh berbisik...bimbang pula orang di sebelah saya terguris hati dengan kata kanak-kanak yang belum baligh itu...kata-kata budak demam!.


Hmmm, entahlah Nuha. Macam cone heads kot...

Ibu tak tau....sebab terlindung di sebalik tudung fesyen terkini...





Bak kata Nyonya Lee, jiran belakang rumah kita...

"Itu ata selupa JPJ punya kun, kasi taluk sana atas kapla maaaaa!"



MONOLOG:
......haiya nyonya, saya sangat segan dengar nyonya punya perumpamaan! 


Susah mau cakap horrr! Saya faham kenapa nyonya jadi tak faham dengan mereka yang sepatutnya lebih faham dari nyonya tapi macam tak faham itu.




Memang ada dijual secara 'online' rupanya sarung busut ni...tapi tak maulah nyatakan sumbernya.
Takut nanti hangpa semua pakat pi beli pulak!
:D




Lampiran tambahan:
Diriwayatkan oleh Imam At-Tabari dalam Al-Mu’jamus Saghir dengan sanad soheh bahawa Rasulullah bersabda yang maksudnya; akan datang suatu masa dalam umatku segolongan wanita berpakaian tapi sebenarnya mereka bagai bertelanjang tanpa pakaian.Sanggul mereka ditinggikan bagai goh unta(bonggol).Kutuklah mereka,sesungguhnya mereka itu terkutuk (dikutuk oleh Allah)

Untuk dia yang digantung.....

Sebagai guru, dan sebagai ibu kepada 4 remaja yang masih di bangku sekolah, apabila mendapat berita satu demi satu murid (tak kira dari sekolah yang mana) yang 'layu sebelum berkembang', air mata saya akan merembes..........dan serta merta kebimbangan menguasai diri. Saat itu, terasa ingin terus memeluk anak-anak saya dan terus berpesan, berpesan, dan berpesan......perkara yang sering dipesan.


Ya, saya sering bercerita tentang dunia 'passion' saya itu.

Kekadang, saya menulis tentang kejayaan mereka, yang juga kegembiraan dan kebanggaan seorang bergelar 'cikgu'.

Kekadang, saya menulis tentang kelucuan dan kenakalan mereka, yang juga sumber hiburan bagi seorang yang dipanggil 'cikgu'.

Dan kekadang, saya menulis tentang kepayahan dan kesedihan mereka, yang juga kedukaan dan lara seorang  yang mengaku 'cikgu'.

....meski apa-apapun yang saya kongsikan tentang mereka, tidak sesekali berniat untuk menunjuk-nunjuk bangga, atau memalukan sesiapa. Segalanya, saya cuba ceritakan dalam ruang yang terkawal. Itulah dunia saya. Sebahagian hidup dan mati saya.....


Sungguh. Hari ini, saya diruntun sedih, dan merasa gagal sebagai seorang cikgu, meski baru mengenalinya hanya sebulan lebih, sejak sesi persekolahan dibuka.

Terlalu mengaibkan untuk saya ceritakan. Cukuplah sekadar saya mengambil kata-kata selamba seorang ibu, yang hadir ke sekolah bersama-sama anak gadis berusia 17nya, untuk menandatangani dokumen 'HUKUMAN GANTUNG SEKOLAH' yang dikenakan ke atas anaknya.

"Alahhhhhhhhh, biasalah cikgu!!! Budak-budak sekarang, memanglah macam tu!!!! Kita dulu pun, sama jugaaak!!!"


Dan dialog antara 'cikgu yang menyiasat' dengan 'murid yang digantung':

"Siapa rakam video tu semua?" Tanya cikgu yang menyiasat.
"Adik lelaki saya." Jawab yang digantung.
"Berapa umur adik awak?" Siasatan diteruskan.
"Tingkatan 2!" Selamba.

Astaghfirullahal'adzim.
Astatagfirullah...ampunkan hambaMu ini ya Rabb!

Dan sungguh....cikgu menyiasat bukan kerana 'meyibuk', tapi ini adalah sesuatu yang tergalas di bahu-bahu kami.

Ahhhh.....

Apabila murid berjaya dengan cemerlang, semua ibu bapa akan gembira. Memang mereka berhak gembira, kerana dikurniai anak yang memang pandai-pandai!

Apabila murid gagal dalam peperiksaan, cikgu akan sedih, kerana dituduh 'tak reti mengajar'. Memang salah cikgu. Ya, salah cikgu!

Tapi, andai ada anak-anak kita yang 'kecundang' kerana jebak perangkap masalah SO........SIAL (sosial), siapakah yang bersalah?

Ironinya...
Apabila terjadi sesuatu yang tak diingini, sikap salah menyalahkan sering terjadi.
Siapa bersalah?
Kata bangau, salah ikan yang tak mahu timbul.
Kata ikan, kerana rumput yang panjang sangat.
Kata rumput, kerbau yang salah kerana tak makan dia.
Kata kerbau......ahhh, akhirnya, masalah tidak juga selesai.

Entahlah. Terlalu sukar untuk saya menceritakan perkara sebenar yang terjadi, tidak mahu saya dianggap cuba mengaibkan mana-mana pihak. Saya juga punya anak-anak, keluarga dan saudara mara . Mohon Tuhan pelihara mereka dari perkara begini. Na'uzubillah.

Sementelah ruang blog saya memang terdedah dengan pemburu senyap yang sentiasa membaca entri-entri saya, tetapi hanya mencatat sesuatu di kotak komen seandainya ada sesuatu dari tulisan saya yang perlu dihentam sahaja (tanpa memahami persoalan sebenar entri saya-kerana tidak membaca habis). Bosan sudah saya melayan pengikut blog yang begitu....



Untuk kamu yang digantung, cikgu bekalkan ini, kerana cikgu tidak dapat mendidik kamu di kelas seperti selalu, sepanjang tempoh penggantungan.


Terkedu saya mendengar komen seseorang;
"Huh....memalukan keturunan Syed dan Syarifah saja...."

Astaghfirullah....


Untuk ibu-ibu (termasuk diri saya sendiri), kasihanilah anak-anak kita. Periksalah beg sekolah mereka........mana tahu mereka menyimpan pil perancang atau alat pengesan kehamilan. Kalau pernah memberikan gajet atau telefon yang canggih kepada anak-anak kita kerana 'kasihan' dengan rayuan mereka atau tidak mahu dianggap ketinggalan zaman, atau kerana mahu menunjukkan tanda kebanggaan kita yang mampu  memberi itu dan ini, selalulah periksa, apakah kandungan 'kad memori' dalam gajet mereka? Mereka tidak boleh dibiarkan.....kerana dugaan datang dari atas, bawah, tepi, hadapan dan belakang!


Zaman kita (saya ) remaja dulu lain. Ibu bapa boleh mengawal 'pengganggu' anak-anak dengan membuka surat cinta 'pecah kaca pecah gelas, sudah baca harap balas' lalu mengoyakkan surat itu, dan terus 'merotan' si anak! Zaman kini, 'gangguan' datang dari pelbagai sudut.......

Jagalah juga tingkah laku kita sebagai ibu dan bapa di ruang sosial siber, andai kita sudah punya anak-anak......yang semuanya celik IT. Apatah lagi kalau kita mengaku, bahawa kita seorang guru. Semua murid kini, adakalanya jauh lebih celik IT dari kita.......yang hanya sekadar tahu sedikit.

Maafkan cikgu! Maafkan cikgu jika sesekali cikgu membuat 'sport check' dan merampas telefon bimbit anak-anak ...bukan kerana cikgu menyibuk, bukan juga cemburu kerana cikgu tidak punya!!!!. Segalanya demi kebaikan anak-anak remaja kita, meski cikgu terpaksa menghadapi risiko serangan ibu-bapa yang tidak boleh menerima, maki hamun....malah ada yang menunjukkan 'kurang ajar' dengan membawa 'anjing' ke sekolah!!! Ahhhhh....siapalah cikgu, dibandingkan dengan ibu-bapa kamu yang  'profesional' belaka!

....apabila seorang murid sudah digantung sekolah, dia dilarang sama sekali memasuki kawaan sekolah. Denda sebanyak RM10 000 dikenakan jika ingkar....(sekadar info)

Maafkan saya...maafkan saya...maafkan saya, peringatan ini untuk diri saya, seorang yang tidak malu mengaku dan mendedahkan identitinya di blog bahawa dia seorang  guru. Dan seorang ibu kepada 4 remaja......serta seorang isteri kepada suaminya, pelorong jalan ke syurganya.


***
Dan antara pesanan terakhir Rasulullah kepada umat baginda......jagalah solat kita, kerana solat itu pencegah kemungkaran. Selamat menyambut hari keputeraan baginda...kita basahi lidah, bibir dan ruang rindu kita dengan.....



20110214

Kerana sebuah sajak di atas meja yang dicuri intai...

Lepas habis Merentas Desa Sabtu lepas, kami adakan 'port luck' untuk meraikan beberapa orang termasuk meraikan kehadiran satu-satunya cikgu lelaki di sekolah ini, yang sebelum ini kami panggil Yob.

Hari itu adalah hari ketiga kedatangan Yob di sekolah itu. Selama 2 hari sebelumnya, saya hanya tahu namanya Ayob, dan tak pernah memandang wajahnya dari hadapan, kerana saya memang sentiasa menundukkan pandangan di hadapan lelaki meski dah curi-curi menyebutnya dalam tiga entri berturut-turut sebelum ini.


Sebelum jamuan, saya ke bilik guru untuk mengambil buku. Semasa melalui meja Yob, saya tertarik dengan sajak yang ditampal atas mejanya. Saya baca...bagus gaya bahasanya!
Guru Cemerlang Bahasa Inggeris berkelulusan University Of Leeds ini, berbakat menulis sajak Bahasa Melayu rupanya. Sebagai guru Bahasa Melayu lulusan universiti dalam negara, saya terharu :D

:D


Demi melihat nama panjang sebenarnya yang memang panjang, saya teringat sesuatu. Saya turun ke dewan....


....dan di sebalik juadah ulam-ulaman kampung, sambal tempoyak, sambal kelapa, ikan bakar, sayur lemak nenas berikan masin, sambal udang, satey dan lain-lain itu barulah saya curi pandang Yob dari hadapan.......



Sah...memang dia!!!

Owh, kecilnya dunia!
Hahahahaha...



Maka kami pun bersoreh....dan berlabon!


"Ater...saya idakle peghasan ckLah 2 hari ni!" kata anak jati Kampung Gajah itu.
"Mana nak peghasan...cikgu tunduuuuuuuk aje kat bilik guru nu!" Kata ckLah pula.
"Mane mbuatnye ...saya maluuuu! Sensorang je jantannye...!"


Ambooooooooi, mesra nampak????
Apa hubungan Yob ni dengan ckLah?

Ah ...malaslah nak cerita!!!
Biar gambar di bawah menerangkan.

Ya Allah...apa ni cklah? Pening...macam keluarga 69!

Okey..
Okey..
Okey...
Kita kurangkan jumlah watak dalam gambar...
Boleh faham?
Hahaha.
Kalau tak boleh faham, tengok gambar di bawah....


Ya...ya...ya...bapak ckLah dan bapak Yob berbesan....




"Apalah kau ckLah? Sedara sendiri pun tak kenal?" Kutuk kawan- kawanku.


Elllllehhhhhhhh, kau tu, ingatke semua adik -beradik kepada kakak-kakak dan abang-abang ipar kau? ckLah ada 10 adik beradik tau! Yob pulak 13 beradik!!!  Mana nak hafal semua...Hehehe!



(Ini pun dikira akrab juga, kerana saya memang mesra dengan adik beradik perempuan kakak ipar saya itu (adik-adik perempuan Yob). Dua orang  pernah satu sekolah dengan saya  dulu, seorang  pernah satu Universiti dengan saya dulu, malah kakak ipar saya itu pun senior saya masa di Sekolah Raja Perempuan Taayah Ipoh dulu. Yob pula, pernah satu universiti dengan abang saya yang lain, di Leeds, England dulu...cuma, yang lelaki saya tak berapa cam! Kalau tak silap, isteri Yob atau adik Yob satu maktab dengan kakak saya di UPSI dulu!)

Betul kata Chor; 'Kecilnya dunia!'
;D




...dan mulai peristiwa itu, saya memanggil Yob dengan panggilan Chor, panggilannya dalam keluarga, dan...tingkah laku di sekolah kena lebih dijaga-jaga!!! Nak mengamuk depan murid sesekali pun kena fikir 15 kali. Segan kat Chor! Hahaha..







Mesej cerita:
Walaupun saya peramah dalam blog, tapi, di luar blog saya memang pemalu, dan jarang menyapa orang lelaki...kerana saya pemalu dan introvet orangnya....jadi, kalau saya tak cam, jangan marah!!!!


(Sila percaya...hihihihi! Alasan dah tua dan memori dah kendur)

20110213

Kejor Yob Kejor....eh, silap, Kejor Yong Kejor!

Sabtu. Kami buat program Merentas Desa.
Dimulakan dengan  poco-poco untuk memanaskan badan.

Kategori guru-guru dan staf lari dulu, kerana mereka harus bertugas pula untuk larian murid. Saya pun, ikut berlari....sebelum tercungap-cungap bertugas sebagai pencatat. Nasib baik tak diserang hypeglecemia macam selalu.....


Hadiah....sekolah perempuan, macam nilah....


Untuk kategori tingkatan 5, Johannya adalah Ketua Kelas 5 Bestari, kelas saya , dari rumah Rafflesia....rumah saya juga. Hahahaha. (Gelak riak!) Tengoklah...riaknya mereka menjulang ketua kelas, seriak cikgu kelas mereka menulis entri ni...


Kalau ikut kategori kelas yang paling banyak mendapat hadiah (no 1-20) kelas saya lah yang paling banyak...(err....ini termasuk katgori entri mintak dipuji ke ni?)



Meraikan kejayaan bersama Guru Kelas mereka...hahahahaha (ketawa bongkak!!!)


Errrrr....errrr....guru kelas mereka pun dapat juga menerima hadiah daripada pengetua....kerana dia juga ikut berlari merentas desa dan melewati 2 kawasan perkuburan Islam dan Kristian...


...dapat no 15 daripada 80 orang guru......pujilah..pujilah...hahahahahaha (ketawa sombong) walaupun tak semua cikgu lari. (Eleh...Mana aci.....berlumba dengan cikgu-cikgu muda dan adik-adik praktikum sekali......kitakan warga platinum. Hahahah) Dan Pengetua yang akan bersara Jumaat depan ini mendapat nombor 5.......walaupun badan ckLah lebih besar dari dia....



Melepas lelah bersama anak-anak murid ...wajah tanpa mekap kekurangan oksigen selepas berlari!!!




***
Tajuk Kejor Yob Kejor tu, tukar kepada Kejor Yong Kejor, kerana kami semua perempuan.

Saya segan nak cerita pasal Yob lagi....
Kenapa? Dah insaf?
Kerana saya tak boleh panggil dia Yob lagi....


Setelah hari ketiga beliau di sini, barulah saya tahu nama panjangnya dan memandang wajahnya dari hadapan.


ALAMAK!!!!!
Jejak kasih betullllll!!!

....segala-galanya kerana sebuah sajak!!!


Kenapa ckLah.?



Rupanya-rupanya...
YOB adalah.....





(Bersambung esok. Petanglah ya! Saya tak berblog waktu sekolah....:D)










20110211

Tenaga jantan diperlukan....

~SATU~

Seperti biasa, petang Jumaat saya akan dihabiskan bersama ahli-ahli Kelab Taekwondo saya. Akhir-akhir ini agak keletihan mereka kerana latihan 'kasar' harus dijalankan sebagai persediaan kerana kami dijemput membuat persembahan dalam sebuah majlis di Padang Majlis Perbandaran TI awal bulan hadapan.

Murid-murid ini juga harus berlatih untuk mempertahankan rekod dan gelaran Johan Daerah yang kami dapat 11 tahun berturut-turut ini. Tahun lepas, hanya 2 orang yang memenangi pingat di Peringkat Kebangsaan. Harap tahun ni lebih lagi.

Siapa yang melatih mereka ?

CkLah kah?

Hahahaha.....ckLah tu, boleh harap ke? Ceh...tengoklah jari-jemarinya!!! Ajar TKD ke makyong tu????


Oleh kerana guru penasihat di atas sejak akhir-akhir ini sering diserang 'hypeglecemia', dia memang tak boleh diharap lagi....Dia perlukan tenaga jantan! Syukurlah, mereka mendapat khidmat Jurulatih Bertauliah dari Persatuan TKD Hilir Perak yang hebat ini....(Errrrr.....gambar sengaja dikaburkan...atas sebab-sebab keselamatan....hahahah)
(Jangan keliru...ini bukan Mike Tyson!)

Semoga maju jaya anak-anak TKD cikgu......




~DUA~


Esok ada program Merentas Desa di sekolah.


Dan buat pertama kalinya, ckLah mendapat tugas-tugas wanita.....
Menggunting kain untuk dijadikan 'tag' di baju peserta. Dan mujur, ada buah hati yang ringan membantu....
Anak panah....adalah gambar 'idola' mereka...suka hati kamulah!

Hek eleh......buat kerja ringan macam tuuuuuu aje?????




Ya lah....



Sebab kita dah ada Yob!



Errrr...siapa Yob ckLah?

Hehehe...malas lah ulang cerita. Nak tahu rujuk entri semalam.


Kaki blog seorang kaki blog...

Kaki blog seorang kaki blog...