Suka citra @ xiiinam? Terima kasih :D

20110331

Sendal....

Apa khabar semua pengakses @Laman Maya ckLah?

Penat ya, beberapa kali keluar masuk @Laman Maya ckLah tapi tiada apa-apa cerita ceria mampu saya suguhkan sejak beberapa hari, kan! Lebih-lebih lagi kepada mereka yang baru mengikuti atau mengenali @Laman Maya cklah. Maaf ya, kerana anda hadir di saat keterujaan berblog saya sedang menurun. Harap anda tak menyesal ya...

Saya sudah semak rekod keluar masuk @Laman ckLah sepanjang beberapa hari ini. Terima kasih kepada yang masih sudi menyapa di ruang komen meski ckLah sudah lama tidak mengunjungi laman kalian. Yang intai-intai sebelah mata dan sekadar mahu 'pantau' cerita cklah secara senyap, biarlah dia.

Kenal ckLah lagi tak ni?
Kalau dah tak kenal, ini ckLah letak gambar terkini....(Ceh...gombal lah ckLah ni!)

ckLah di sini, Alhamdulillah. Masih mampu bercanda dengan Sang Arjuna Hati di bawah rembang mentari. Saat kepenatan, boleh duduk sandar menyandar di perdu pohonan pinang raja, berkongsi sebungkus air jambu batu campur asam boi, dan berebut-rebut helaian tabloid percuma yang diedarkan di hadapan pintu masuk , sambil tangan gatal menguis-nguis rerumput yang menghijau (sesekali mencabutnya...hahaha)

***Aksi sementara menunggu anak-anak yang sedang mencari maklumat dari 'booth ke booth' di ruang pameran   Karninal Pengajian Tinggi Negara di Ipoh yang sesak bagai sardin, Ahad lepas)

______________________________________

***Untuk beliau yang bertanya kenapa ckLah lama tak menyapa dan bercitra ceria @Laman Maya. Boleh tak entri cerita kosong macam ni? :D

Entahlah, mutakhir ini,  ckLah rasa kurang bermaya untuk bermaya-maya @ Laman Maya ckLah ini lagi macam dulu. Tanda-tanda penuaan ni! Bukan merajuk, bukan marah, bukan membawa diri atau berkecil hati.

Ada sesuatu yang sedang mencucuk-cucuk. Bukan pasal kes cucuk-cucuk di luar blog seperti yang pernah diberitahu kepada saya itu. Yang itu saya tak ambil pusing. Sekarang bukan masanya untuk melayan hal-hal remeh. Ada cucuk-cucuk lain pada dada kiri sebelah atas sejak seminggu dua ini. Tapi tak apa, kerana masalah itu telah dirujukkan kepada yang pakar, dan kini dalam kawalan. InsyaAllah.

Saya terima rasa yang mencucuk-cucuk pada dada kiri sebelah atas yang seakin kerap menyapa mutakhir ini,  sebagai amaran dan peringatan dari Dia, Yang Maha Memiliki. Peringatan tentang banyak perkara dalam hidup saya yang belum selesai. untuk saya, untuk keluarga saya, untuk tugas saya dan paling utama untuk anak-anak saya.  Peringatan tentang indeks kesihatan saya yang memang tak selancar orang lain. Tak payahlah cerita secara terperinci ya! Kepada rakan-rakan di luar blog pun, saya tak cerita. Cerita tak seronok, tak payah kongsi...

Cucuk-cucuk lain, saya letak di tepi....terima kasih sajalah kepada yang terlibat! Kita memang tidak pernah mengenali di luar dunia maya...jadi, tak ada apa-apa yang perlu dimaafkan.

Cucuk-cucuk satey pun, saya letak tepi, kerana saya memang harus menjauhinya secara total!

Cucuk-cucuk yang ini, saya kena layan, kerana itu sudah dan akan menjadi rutin sepanjang hayat saya yang masih berbaki.


Sekiranya tak berapa nampak lagi kelibat ckLah di dunia maya sementara ini, maafkan segala salah silap saya. Doakan kesihatan saya juga, meski kita tak pernah kenal di luar @Laman Maya ckLah.



***Ketika sedang menyemak ejaan dalam entri ini, mendengar berita di TV Dato' Malek Noor , antara ikon sihat saya, dikejarkan ke ICU Hospital Ipoh, setelah diserang sakit dada ketika menjadi penjaga gol sebuah perlawanan persahabatan di Ipoh petang tadi. Simptom yang sama....semoga beliau selamat.

(Kun Fa Ya Kun...kata Tuhan, meski kita sudah mengambil langkah-langkah sewajarnya dan kelihatan sihat dan gagah, tiada yang dapat mengatasi kuasaNya.)

20110326

Di sana dan di sini...

Label 1: Dunia Cikguku.
Sabtu. Pagi.
Mesyuarat PIBG. Alhamdulillah, tugas sebagai Pengacara berjalan lancar. Banyak juga usul dan cadangan yang dibincangkan. Tak kisahlah, memang inilah medannya.

Pengetua melaporkan dapatan dari lawatan Tuan Pengarah JPN serentak dengan pemantau dari Sektor Kemanusiaan JPN dan Pegawai-pegawai PPD, serentak pula dengan kemeriahan pengumuman keputusan SPM (semuanya dalam hari yang sama) 23 Mac lalu- bahawa sekolah kami berada dalam BAND 3 (Band Prestasi Sekolah antara Band 1-7) berdasarkan Skor Komposit yang diperolehi sebanyak 92% (Selepas beberapa SBT/SBP)  dalam Sektor Jaminan Kualiti. Satu kekuatan untuk sekolah harian yang sedang tercalon untuk SBT 2011 ini.

(Err...faham tak? Saya rasa, rakan-rakan guru di blog ini faham apa yang saya cuba ceritakan itu, kan? Saya sedang mengulas tentang NKRA sekolah saya. Kalau tak faham tak apalah, saya ucapkan tahniah kepada sekolah saya sendiri. Bukan mahu menunjuk-nunjuk tapi memang menunjukpun!!! Sebab tu diwarnakan ungu!!!Warna teruja @Laman Maya ckLah! Haha.



Lepas mesyuarat, sambung LADAP Pengurusan Aset Alih/Harta Modal sampai petang. Memantapkan pengetahuan tentang pengurusan aset kerajaan yang menjadi tanggungjawab guru di sekolah, borang-borang Kew.PA -1 hingga 19 dan seumpamanya. Kerja-kerja perkeranian yang juga sebenarnya menjadi tanggungjawab seorang cikgu. Bagus, bagus, bagus. Perancangan waktu yang sangat bagus untuk memenuhkan hari cuti Sabtu buat seorang cikgu, kan! Kan! Err, ikhlas ni. :D

Penat? Pening?
Eh, tak baik merungut pasal kerja. Nanti hilang semua pahala, kalau ada.
Jom kita balik ke rumah.



Label 2: Kisah Rumahtangga.
Mari kita bersenang-lenang.
Mari kita tenangkan fikiran.
Mari kita main masak-masak.

Hari ni, makcik nak masak Chiken Chop, ya puan-puan!

Mula-mula, kita buang tulang pada daging ayam. Seelok-eloknya pilih peha. Susah nak buat? Tak apa. jangan gusar.

Caranya mudah:
1. Kita panggil suami kita dengan panggilan yang paling manis.
2. Kita senyum-senyum. Angkat-angkat kening sikit..
3. Kita puji bahawa tangannya sangat kuat dan hebat. Jadi, tolong buangkan tulang ayam, boleh kan! Hehe!


"Pakai sarung tangan ya bang! Nanti takut tangan abang yang hebat itu tercalar"

Ayam tu kita buat macam biasalah. Perap, megikut citarasa. Perlakukan seperti biasa.  Lepas tu, saya salut dengan oat, kerana serbuk roti sudah habis. Yang ini, terpulang mau buat sendiri, atau suruh suami lagi. Agak-agaklah....:D

Antara bahan-bahannya...ikut suka hati. Manipulasikan apa-apa yang tinggal dalam peti sejuk dan stok makanan kering yang ada.

Dipendekkan cerita ya puan-puan. Siap...
Bahan hiasan hanyalah cadangan, bergantung kepada stok yang tinggal. Hahaha...

Itu set untuk diambil gambar di rumah. Anak di rumah dah makan kenyang-kenyang, anak di asrama terkenang-kenang pula. Hati seorang ibu, beginilah. Jadi, kami bungkus dan bawa ke asrama Bin, berkelah di sana. :D
Bin sedang meneliti slip SPM kakaknya, yang baru sampai kepadanya.
Ini dikira jamuan meraikan kakak jugalah...

2 Label: Dunia Cikguku dan Kisah Rumahtangga.
Ahad ini, mahu meninjau-ninjau di sini...





20110325

'GOLONGAN YANG SAMA' (Nak kata sikuel pun boleh)

....kerana 'golongan yang sama' itu fitrahnya memang begitu.


Pengajaran demi pengajaran, dalam perjalanan hidup buat seorang ckLah.

Kadang-kadang, kerana terlalu berbaik sangka, tidak sedar rupanya ada yang menunggu kita alpa.

Kadang-kadang juga, meski sudah meletakkan seseorang itu di suatu sudut di dalam hati sebagai seorang sahabat, namun rupanya dalam diam, apabila ada ruang dan peluang untuk seorang yang menganggap sahabat itu dihentam atau dijatuhkan, yang dianggap sahabat itu tidak akan melepaskan peluang itu. Ya, peluang untuk menghentam dan menjatuhkan orang yang menganggapnya sebagai sahabat itu.

Kadang-kadang ya! Ya, saya kata, kadang-kadang!

Ya ckLah, kerana 'golongan yang sama' itu memang fitrah ketururunannya begitu.
Simpang-siur.
Putar-belit.
Kawan makan kawan.
Memang begitulah.
Identiti sinonim mereka!

Kalau tidak, masakan ada simpulan bahasa kaf lam ya nga karam.
Kalau tidak, masakan ada simpulan bahasa pusing kaf lam ya nga.

Ya! 'Golongan yang sama', itu.

Ya! 'Golongan yang sama', itu.

Fitrahnya memang begitu!

Saya ulang lagi frasa itu...
Ya! 'Golongan yang sama', itu.




"Hmmm, ape ke heinye mike melabon ni Yong? Idok teman paham. Mike maghoh siape ni?"


"Tak paham udoh!!! Pi main jauh-jauh!"


....kalau baca entri saya yang ini, mungkin boleh faham sikit-sikit kot. Tak faham pun tak apa, kerana saya memang tak mahu 'semua' orang faham, kecuali orang-orang yang mengikuti perkembangan polemik tentang kekecohan yang dibikin oleh 'golongan yang sama' itu. Yang fitrahnya memang gemar 'bikin kecoh!, meski di kasta kelas mana ia diletakkan...yang berblog sekadar mahu berhu ha hu ha, memang tak akan faham, dan tak ingin faham pun!!!

Ya, saya sedang terlalu marah dan kecewa dengan sikap seorang yang saya anggap sahabat dari 'golongan yang sama' itu!!!

...maka kuletakkan kembali doa bertulisan tanganku ini. Mungkin aku alpa dan kurang khusyuk saat memanjatkan kepadaNya.
...jauhkan aku dari penindasan orang, Rabb!

Sekadar meluah isi yang berbuku, selepas 'disedihkan' oleh 'golongan yang sama', yang kukira adalah sahabatku yang ikhlas selama ini. Inilah harga yang perlu kubayar, kerana terlalu berbaik sangka....


20110324

"Rasa nak menyorok!" Kata Dia.

...maka tibalah waktunya pintu dewan dibuka. Pemilik-pemilik jiwa pelbagai rasa yang berkumpul-kumpul di luar dewan seawal jam 9:00 pagi berpusu-pusu masuk mendapatkan bekas guru tingkatan masing-masing. Jerit, sorak, ketawa, sedih. Berbaur-baur di dalam sana.

Jam sudah 10:15 pagi. Ku intai-intai susana hingar bingar di dewan, yang aku sendiri rasa tidak 'tergamak' mendekatinya. Ditambah, pada waktu itu, di Bilik Suluh Bestari (Bilik Gerakan), Tuan Pengarah JPN, Ketua Sektor Kemanusiaan, beberapa pegawai dari JPN dan Tuan PPD sendiri sedang menyemak fail-fail Ko-kurikulum dan Hal Ehwal Murid kami, dan meronda seluruh bangunan sekolah sesuka hati. Dan disebabkan ramai guru terpaksa menjalani tugas rasmi di luar sekolah hari ini, semua staf yang ada termasuk pembantu makmal dan kerani terpaksa dikerah untuk mengawasi murid di bilik-bilik peperiksaan. Nak berfoya-foya bersama murid-murid SPM di dewan pun tak dapat...Awwhhh!!!

Ku lihat, ramai sudah memenuhi ruang di dewan. Rakan-rakan setugas yang lain juga sudah bersedia di dewan, untuk turut merasai saat-saat paling mendebarkan itu. Namun, kelibat Dia masih belum kelihatan juga.


Ahhhhhhh, menunggu keputusan murid-murid saban tahun sejak 20 tahun lalu memang saat paling menyeramkan. Seram sebagai guru dua mata pelajaran, dan bimbang dengan prestasi panitia di bawah saya. Ditambah pula tahun ini......satu di antara 156 orang  yang akan menerima keputusan itu adalah anakku sendiri yang juga bekas muridku juga. Cabaran apabila anak sendiri sesekolah dengan ibunya!!!

Ku kirim SMS kepada Dia...

Dia menjawab....hampir satu jam kemudian!
Dia mulai merepek apabila fikirannya tidak tenang...

Eimou?
Siapa Eimou?
Ini dia...


Kucing tua kesayangannya, teman karibnya. Yang selama tempoh menunggu keputusan SPM lalu, bagai lagu dengan irama, tak boleh dipisahkan.


Katanya, sudah dua kali dia dan ayahnya lalu di hadapan sekolah, tapi, takut nak singgah...(Ibu dah tahu...tapi, sengaja suruh dia ambil sendiri, nikmati sendiri perasaan debar kencang itu! Seperti murid-murid lain, yang tak ada ibunya di sekolah itu!!!)



"Ibu, nanti jangan tunjuk dalam blog macam orang lain ya! Bukan 12A+ pun!" Amarannya , penuh mesej.

"Yalah anakanda...dah ambik sembilan subjek saja, macam mana nak dapat 12A+!" Jawab ibu, untuk menenangkannya.

Yalah anakanda, ibu tak akan tunjuk-tunjuk lagi hal-hal begini macam mula-mula berblog dulu. Insaf sangat! Tak apa. 12A+ bukan segala-galanya nak. Meski ibu mungkin terlebih teruja di hadapan kamu apabila menunjukkan rasa bangga dengan kawan-kawan kamu yang mendapat 12A+, meski ibu mungkin kelihatan terlebih teruja di hadapan mata kamu saat membuat analisis pencapaian murid-murid ibu,  ibu tetap bangga dengan kamu. Ibu tahu kemampuan kamu. Syukurlah dengan yang anakanda perolehi, kerana setakat itu lah rezeki anakanda. Ibu tetap bersyukur. Mabrouk!


Pelajar terbaik sekolah saya yang sedang mengambil slip di bawah ini, tersenarai sebagai Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan. (Diperhatikan oleh Dia, dan abah Dia (yang nampak kaki itu) dan sahabat karib Dia yang banyak membantu dia dalam Matematik Tambahan sepanjang tingkatan 4 dan 5, berbaju hitam itu....)
Gambar dari fB cikgu Yanie.


...tahniah untuk kamu semua. Tahniah kepada 16 orang yang Straight A's dan tahniah kepada 66/158 murid yang mendapat A dalam Sejarah. (Panitia saya lah). Tahniah kepada sekolah saya yang tetap mengungguli tempat pertama dalam daerah sebagai sekolah harian terbaik, meski kalau dicampur dengan SBP kami menduduki tangga ke tiga selepas Sek Men Sains Bagan Datoh (SABDA), dan Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI). Ya lah....mereka tak punya murid yang rabun huruf macam kami. Murid kami pelbagai warna.

SABDA  menjadi sekolah terbaik daerah dengan kelahiran SPM sulungnya. (Eleh...tak aci, dia ambik budak-budak 8A PMR dari sekolah harian macam kami...dan kami, terpaksa terima murid-murid yang ditendang dari SBP dan MRSM. Tak aci, kan! Hahaha! Gurau saja...tak kisahlah, cikgu tetap ajar walau apapun warna muridnya. Dah kerja cikgu! Mana boleh pilih-pilih pelanggan! Mana-mana sekolah, tanggungjawabnya sama, meski cabarannya berbeza-beza. Tak kira sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah kampung atau bandar. Kan cikgu-cikgu?)




Jawapan kepada Tajuk Entri.
"Okey, sayang. Sekarang boleh keluar dari persembunyian! Bukalah mata dan mindamu, pandang ke hadapan kerana jalan di hadapan lebih luas dan masih jauh lagi untuk kau tempuhi. SPM, baru permulaan perjuangan...dan kamu sedang mengarah ke lorong cita-citamu. Semoga berjaya!"

...Alhamdulillah. Lega satu bab. Semoga dapat tempat belajar yang baik dan sesuai selepas ini.


***Terima kasih kepada 5 pengikut baru @Laman Maya cklah hari ini. Semoga ini bukan kunjungan anda yang pertama dan terakhir di sini....
Harap tidak jemu dan bersabar dengan entri ckLah, yang biasanya memang sepanjang had ini.

20110323

Dialog Gerhana


Saya ambil sepenuhnya dari laman sosial abang sepupu  saya, sebagai renungan bersama):




Dr Z : Assalamu’alaikum…
Adik X : Wa’alaikum salam Dr

Dr Z : Adik Apa khabar?
Adik X : Sihat….(sambil menundukkan pandangan)

Dr Z : Cantik bayi ni kan? Dah ada nama?
Adik X : err……belum Dr

Dr Z : Sayang tak bayi ni?
Adik X : err.….(mengangguk sambil mengalihkan pandangan)

Dr Z : Umur adik berapa tahun?
Adik X : Saya ? …Saya 13 tahun….

Dr Z : Boleh Dr tanya sikit lagi, mana kawan lelaki adik tu?
Adik X : Entahlah Dr, saya tak tau kat mana dia skrg….

Dr Z : Macam mana boleh jumpa dia tu & berapa umur dia?
Adik X : Dia 14 tahun, sepupu saya. Biasa ke rumah sebab emak susukan dia masa kecik dulu..…

Dr Z : Apa perasaan adik sekarang?
Adik X : Entahlah Dr, saya tak tau….sebak lalu menangis…Masa depan saya gelap tuan…(menangis)

Dr Z : Oklah dik…yang dah lepas tu dah pun berlalu. Kita jadikan sebagai sempadan. Yang penting adik terus bertaubat dan jangan diulang lagi. Allah Maha Pengampun & Penerima Taubat hamba-hambaNya. Adik perlu tengok dan bina semula masa depan. Nanti saya carikan kawan & badan NGO yang akan bantu adik dengan bantuan kebajikan & pendidikan ye ! Bila emak datang nanti adik bagitau, saya nak bincang dengan emak dulu …. Jumpa lagi ye dik, assalamu’alaikum

Adik X : Terima kasih Dr. Wa’alaikum salam…..






Deputy Dean, Faculty of Medicine (International Medical University) &
Consultant Obstetrician & Gynaecologist, (Hospital Tuanku Jaafar, Seremban)
------------------------------ ------------------------------



Itu catatan seorang doktor pakar Obstetrician dan Gynaecologist, yang menangani sendiri 'mangsa'


Catatan dari saya, seorang guru biasa yang juga pernah 'menghadapi pelanggan' begini, juga pernah saya buat 3 kali, dalam blog ini tentang berita hari ini:






Anak tak sah taraf cecah 234,647
-JPN ajak pelbagai pihak tangani segera gejala sosial

PUTRAJAYA: Jumlah kelahiran anak tidak sah taraf iaitu bayi hasil hubungan luar nikah, menunjukkan pola meningkat antara 2006 hingga 2010 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 234,647 didaftarkan dalam tempoh itu daripada lebih dua juta kelahiran didaftarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Berita Harian – 21hb Mac 2011



(Dr Zainur , anak Pak Long saya ini adalah seorang penulis dan aktivis Aman Palastine yang sangat aktif di dalam dan luar negara. Beliau sentiasa mengemaskinikan 'dinding facebooknya' dengan pengisian penuh ilmiah. InsyaAllah saya akan terus  memilih entri yang menarik untuk dikongsikan di sini, atau anda boleh terus ke laman facebooknya dengan klik ke nama beliau di atas untuk mendapat ilmu yang dikongsikan beliau)

20110322

BERDAMAI DENGAN ALAM...

Sejak beberapa hari sudah, ke empat-empat anak remaja saya asyik teruja mengakses berita-berita dan rakaman video tentang gempa bumi dan Tsunami di Jepun. Masing-masing mahu mendahului yang lain untuk mencapai berita-berita yang lebih menarik dan jelas, melalu internet atau berita-berita luar negara di Astro. Bertambah teruja mereka mendengar pakcik mereka  yang berlepas meninggalkan negara itu kerana urusan kerja, sejurus sebelum gegaran pertama. Syukur, adik saya, Dr Haji Hanif  selamat...

Sementelah, seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini, ke empat-empat anak saya memang begitu obses dengan apa -apa saja yang datang dari negara matahari terbit itu, samada sejarahnya, makanannya, budayanya, kisah-kisah politiknya dan tidak terkecuali dunia hiburan mereka (mereka lebih mengenali artis Jepun dari negara sendiri). Mujur, tidak mereka terpengaruh dengan amalan agama negara Nipon itu!

Sebenarnya seorang anak saya turut mengambil mata pelajaran bahasa Jepun di SBP(dan Jerman), dan boleh bertutur dalam Nipon-Go itu dengan  yang lain yang cuma belajar sendiri kerana minat. Belajar dengan kamus, dan filem/lagu Jepun!

Mendengar perbualan-perbualan mengulas tentang kejadian itu. Saya tertarik dengan pandangan mereka. Sudut pandangan remaja. Ada yang boleh pakai. Ada yang tak boleh pakai.

"Tentu sukar mereka mahu membina semula segala yang dah hancur," itu kata si sulung yang lebih meminati Sejarah Jepun, dan yang lebih merasa 'sayang' dengan kemusnahan pembangunan yang berlaku. Maklumlah, ini kemusnahan terburuk bagi Jepun selepas Perang Dunia 2.

Anak lelaki, lebih memikirkan tentang krisis radiasi nuklear yang bakal dihadapi kesan kemusnahan loji di Fukushima.

"Kalaulah abah dan ibu boleh bawa kita tolong mangsa kat sana!" Itu impian yang tak berapa boleh dipakai, dari si bongsu 10 tahun, yang matanya kelihatan memerah saat melihat gambar-gambar mangsa dengan pelbagai jenis kecederaan dan kehilangan.

Haih, manalah ibu mampu membawa kamu ke sana, anakku!

Tak apalah, demi mengisi ruang-ruang kemanusiaan yang masih banyak lompangnya dalam diri kamu semua, Abah dan ibu bawa ke tempat lain. Jom!
Dan pen-drive bewarna ungu di atas, penuh dengan lagu dan filem Jepun yang mendominasi perjalanan.
Naik pening ibu, tapi tahankan saja!

Menyusuri Jalan Raja Di Hilir, kami melewati ni.
"Alaaa...tak maulah Jepun yang ini!" Kata nuha.

Kami terus ke Jalan Hospital, untuk menziarahi jiran 'sekembar' rumah kami yang baru menjalani pembedahan tulang belakang, setelah beberapa bulan menderita akibat kereputan tulang, disebabkan sejenis virus. Cuma itu maklumat yang saya faham.  Berat mata kami yang memandang, berat lagi bahu yang memikul...
Terdiam, keempat-empat anak saya setelah masing-masing secara bergilir-gilir keluar dari wad SCU, melihat pakcik Sipul mereka yang selama ini begitu ramah dan ceria menegur mereka dari sebelah pagar itu kelihatan begitu kurus dan tidak bermaya....

Keluar dari Jalan Hospital, kami bersolat di masjid berdekatan, lalu menyusur ke Jalan  Raja Musa Aziz menghala  Jalan Kuala Kangsar, dan membelok ke sini...
Bukan destinasi pelancongan mewah. Cuma suatu lokasi yang tidak jauh dari kita...pulau kecil di tengah tasik...
...demi mengeratkan lagi hubungan mereka berempat , dan selebihnya agar bertambah rasa syukur mereka, tinggal di negara yang terletak di luar Lingkaran Api Pasifik, sebagaimana nasib malang yang menimpa rakan-rakan sebaya mereka di Jepun, China, Korea dan dan beberapa negara lagi...memang hiba, mengenangkan nasib sahabat-sahabat sealam kita di sana...

Di sini, kita masih boleh menikmati kehijauan danau...
Alam yang tenang...bayangkan, dalam ketenangan itu, ombak Tsunami memecahkan bot kita tanpa belas (di tasik tak mungkinlah ada Tsunami)
Menikmati hidangan bersama keluarga, meski di belakang bunyi riuh rendah pasangan pengantin berbahasa Siam merakan gambar...kap...kap...kap!
Kita bebas melakukan hal masing-masing...Bayangkan,
ketika kita sedang enak bersantai sekeluarga, tiba-tiba gempa
bumi tanpa belas memisahkan keluarga kita.....
Memanjat menara yang tinggi tanpa gegaran gempa!
Bayangkan kalau bumi bergegar ketika itu anakku..
Merakamkan  keindahan unsur alam ciptaan Tuhan yang masih terpelihara...dan terhindar dari sebarang gempa dan letusan gunung berapi...


Bebas...
Santai...
Mengenali unggas rimba...
Besrmesra dengan habitat darat dan air...
Pelbagai hidupan
Damai, bukan?
Tenang...
Indah...


Tapi...
Bayangkan...gempa bumi meranapkan bukitan batu kapur ini,
sedang kita masih berada di bawahnya...

Ya anak-anakku. Ini bukan lawatan untuk bersuka-suka mengisi masa cuti semata-mata. Ibu dan abah mahu kamu bersyukur. Bersyukurlah. Dan hargailah nikmat yang tuhan beri ini....nikmat bahagia, nikmat damai, nikmat sihat, dan seribu satu nikmat lagi yang kekadang kita tak menyedari, kecuali setelah ditarik balik oleh  empunya yang meminjamkan Nikmat-Nya!



Dan, ya anak-anakku!
CATATAN PANJANG TERLAMPAU ini
 adalah untuk kamu 
 kerana ibu tahu, kamu berempat
tidak pernah jemu dengan catatan ibu.

.

20110320

Lokasi akhir di Kg. Sg Tiram, Lekir.

.....lalu, apabila sampai ke majlis kenduri perkahwinan terakhir di antara siri jemputan kenduri  hujung minggu ini, saya  memilih laksa dan cendol berkacang merah ini. Nasi minyak sudah tidak boleh masuk...setelah rumah ke 3. Campur semalam, ini rumah ke 6.

Tengahari rembang sebegitu, memang tetamu sedang berpusu-pusu. Murah rezeki tuan rumah, kerana ramai tetamu yang hadir, tidaklah membazir nanti. Tempat duduk di khemah memang penuh.


"Nampak  keluarga Nuha berbondong-bondong menyeberang jalan bawa pinggan mangkuk, ckLan pun join sekalilah! " Kata abang saya Prof Dr Ramlan yang datang menyertai kami, tumpang duduk, makan di restoren seberang jalan rumah pengantin (terima kasih tuan kedai, walaupun tutup kedai, tapi benarkan tetamu jiran berteduh).

Abang saya datang kemudian membawa bapak dan mak saya. Setelah memastikan bapak (Ustaz Zek yang agak uzur- bertongkat, tapi hadir juga demi memenuhi undangan kakak kepada menantunya, yang juga bernama Ustaz Zek) mendapat tempat duduk yang agak selesa di beranda rumah, abang menyertai keluarga saya, setelah jenuh mengintai tempat kosong di bawah khemah.  Suasana kenduri memang beginilah. Pandai-pandailah membawa diri setelah bersalam dengan tuan rumah yang memang sedang klimaks sibuk. Tetamunya ramai. Takkan nak layan kita saja...

Apa-apapun, terima kasih kepada semua tuan rumah yang dapat kami kunjungi hari ini. Tahniah, kerana dapat menantu. Semoga majlis diberkati Allah....

Dan terima kasih, kerana 'memberkati' kami...


Anak sulung ckZahan, Dia...
yang kehilangan kasut di rumah
 ke dua. Nasib baik,
ada 'selipar jantan'
dalam kereta.
ckZahan




Anak kedua ckZahan...





Anak bujang ckZahan, yang sentiasa 
cuba menyorokkan 'berkat' di 
belakang.'Seganlah nak bawak' 
katanya. Amboi!
Anak bongsu ckZahan, 
 yang beria-iya
tersenyum lebar bergaya
dengan berkatnya, tapi
 sebenarnya, fokus ibu bukan
nak ambik gambar dia.


Dan isteri ckZahan....mak aihhh!!!





"Berapa ibu bayar untuk semua ini?" Tanya si bongsu, Nuha yang belum faham 'konsep berkat'.

"Ini bukan double standard lagi dah ni bu! Ini kira triple standard ni! Tinggi kelasnya ni!!!" Kata si sulung, Dia, penuh unsur tersirat, apabila melihat tuan rumah menambah 'berkat' ibunya, saat mahu salam permisi dengan tuan rumah.

"Tuan rumah tu kakak kepada adik ipar ibu kan? Jadi, kita ni, kira saudara jauh ke dekat ni, ya?" Si Diba pun tak kurang dengan soalan tersiratnya....


...kerana,



...saya tahu. Mereka pasti membaca entri ini.


"Saudara jauh...tapi dekat di hati!" Jawab abah, sambil membelokkan kereta ke Masjid Batu 10. Lekir. Untuk melunaskan fardhu Zuhur ahli keluarganya.
ckZahan dan bala tenteranya 4 anaknya....

Ya anak-anakku, ibu mahu kamu faham. Ibu bawa kamu semua ke semua walimah itu, bukan kerana berkat yang itu...tapi, semoga kita semua mendapat KeberkatanNya (Barokah)

...kerana pesan Nabi kita:
أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ خَمْسٌ رَدُّ السَّلَامِ وَعِيَادَةُ الْمَرِيضِ وَاتِّبَاعُ الْجَنَائِزِ وَإِجَابَةُ الدَّعْوَةِ وَتَشْمِيتُ الْعَاطِسِ
Maksudnya: Hak Muslim ke atas Muslim yang lain ada 5, iaitu menjawab salam, menziarahi yang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi jemputan, dan mentasymitkan ketika ia bersin (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
...dua antara hak itu telah kamu lakukan sepanjang cuti seminggu ini anak-anakku. Alhamdulillah.

Kaki blog seorang kaki blog...

Kaki blog seorang kaki blog...