Suka citra @ xiiinam? Terima kasih :D

20110825

Musafir menjelang raya...

Selama berumah tangga, saya memang tak pernah merasa sibuk-sibuk perjalanan jauh pulang berhari raya. Ya lah, jarak rumah saya dengan rumah mak ayah saya cuma 45 KM. Saya jadi penunggu adik beradik saya yang merantau, pulang. Rumah aruah mak dan ayah mertua semasa hayat mereka cuma berjarak 800 meter dari rumah saya. Alahai...Nyanyi lagu 'Balik Kampung' tak sempat sampai korus,  dah sampai....

 Khamis 25 Ogos lepas, saya dapat merasa perjalanan jauh menjelang raya. Nun di negeri Jelapang Padi utara tanah air. Kira jauh lah juga kan! Melepasi 3 sempadan negeri! Banyak juga lagu raya yang sempat didengar. Haha.

 Kami ke sana untuk jemput Dia di kampusnya. Dia tak sempat beli tiket bas kali ini. Nak dibiarkan naik 'bas lompat', tak tergamak pula, walaupun masa saya di UM dulu, mengheret beg besar dari KL-Klang, Klang-Kuala Selangor, Kuala Selangor-Tanjung Karang, Tanjung Karang-Sungai Besar, Sungai Besar-Sabak Bernam adalah perkara biasa saja! Tapi zaman dululah...sekarang KL-Sabak Bernam dah banyak bas.


 Bertolak jam 2:20 petang, lepas mesyuarat JK Kewangan Sekolah dan ambil Diba dan Nuha di sekolah masing-masing.  Hujan mengiringi sepanjang perjalanan kami. Ambil  gambar di Kampar, sebelum saya lena dibuai kesejukan (tak boleh harap punya ko-pilot).

Sedar-sedar, dah sampai, suami kejutkan untuk solat...hampir 4 jam dia memandu tanpa henti. Kelajuan tak taulah macam mana...3 jam ko-pilotnya tidur! Sampai kampus jam 6:06. Terus solat Asar di Pusat Islam universiti itu.

Diba dan Nuha datang mahu jemput kakak. Kakak habis kelas jam 6:00 petang. Sementara tunggu kakak bersiap, berposing dalam hujan, berlatar Gunung Jerai yang tak berapa nampak.......

Dah nak malam, tapi Dia...macam biasalah, ada saja urusan dia yang belum selesai. Layan sajalah...

Muka lapaq ayaq...Nuha!

 Bertolak meninggalkan kampus jam 7:05

 Berbuka dalam kereta dengan apa yang ada ketika di lebuh raya sebelum berhenti solat serta makan pasemboq dan nasi kandaq di daerah Juru. Kena ikut waktu berbuka di utara ni, lambat sikit....


 Teruskan perjalanan balik  melalui lebuh raya hingga ke susur keluar Gopeng. Sampai rumah jam 11:45 malam. Siapkan laporan 'post moterm' dan analisis Peperiksaan Percubaan PMR sambil tulis entri untuk hilangkan ngantuk....sebelum masak nasi, goreng dada ayam dan buat sotong masak kicap untuk sahur...serta sambung baca hujung juzuk 30 sikit. Insomnia malam ni....


Alhamdulillah. Pembantu dapur ku sudah balik. Banyak tugas menunggu Dia! :D

Jumaat 26 Ogos, jemput Bin pula di asramanya, di Sekolah Menengah Sains berhampiran. Mujur dekat! Teruna seorang ini, akan dikerah untuk membersihkan kawasan luar rumah dengan abah. 3 anak dara, dalam rumah dengan ibu!

Dah lengkap semua korum, baru bersemangat untuk menyambut raya, baru rasa aura raya dan baru nak ucapkan...
Daripada ckLah dan keluarga...

تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال



...walaupun sedih meninggalkan Ramadhan.



**Catatan dari orang yang jarang musafir jauh-jauh di bulan puasa.
**Gambar-gambar dirakam melalui telefon bimbit 'cokia' Diba...rendah resolusinya!



20110823

Sekarang nakal. Bimbang nanti bertukar jahat. Na'uzubillah...

Penghuni Teluk Intan yang sering menggunakan Jalan Sultan Abdullah, Jalan Maharajalela, Jalan Mustafa Al Bakri atau laluan Sg Pak Kalong , pasti biasa terserempak dengan kereta lembu ini. Kadang-kadang, lembu-lembu ini dibiarkan berehat di satu kawasan lapang berdekatan Bandar Baru. Sesekali kereta lembu ini keluar, ada kalanya kesesakan berlaku sebentar di jalan raya yang sibuk. Rasanya, itulah satu-satunya kereta lembu yang ada di Teluk Intan ini.
Sedang menyusuri Jalan Sultan Abdullah.  Sayu hati ckLah melihat mata lembu-lembu ini. Kesian kau 'bu'!(Google Image)

Selepas ini, tak taulah kereta lembu ini beroperasi atau tidak.

Hari ini, saya diberitahu, salah seekor daripada lembu perkasa itu telah dicuri, dan dijual dengan harga yang murah...dan selamat dikendurikan di sebuah kampung berhampiran. Dijual dengan harga beberapa ratus, sedang menurut tuan punya lembu, lembu baka itu sepatutnya berharga RM30 000! Tak tahulah saya mahu menilai harga lembu itu, tetapi saya lihat, lembu itu memang sangat sihat dibandingkan lembu-lembu biasa.

Siapa yang mencuri lembu itu?
Itu yang buat saya mengucap. Salah seorang suspek yang terlibat dengan modes operandi mencuri lembu itu yang kini masih merengkok di lokap adalah seorang budak lelaki tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di sini.

"Saya tak salah cikgu! Saya cuma tolong tolak lembu itu masuk lori!" Kata murid tingkatan dua di sebuah sekolah di daerah ini itu bersungguh-sungguh, apabila di'lawati' cikgunya.

Sungguhlah. Kenakalan anak-anak remaja kini semakin menjadi-jadi. Yang baik pun ramai. Alhamdulillah. Tapi, yang nakal, kenakalan mereka kadang-kadang di luar jangkauan kita. Baik lelaki, atau perempuan, sama saja.

Ada murid lelaki yang ditangkap selepas menghadiri tazkirah Ramadhan di surau sekolah, kerana 'berpoya-poya' dengan sebotol besar Coca-Cola, rupanya adalah murid yang baru saja menerima bantuan duit raya sumbangan orang ramai yang diagih-agihkan kepada murid miskin.

Apabila dimaklumkan kepada ibunya yang dipanggil ke sekolah tentang anaknya yang tidak berpuasa, ibu yang datang ke sekolah dengan hanya memakai kemeja T dan berseluar 'Jin' tanpa bertudung itu hanya menjawab;

"Ater, nak buat macam mana cikgu? Udah dia tak mau, takkan nak paksa!" Astaghfirullah...

Maafkan saya, kerana membuat kesimpulan ini. (berdasarkan pemerhatian saya)

Kalau di zaman kanak-kanak saya dulu, murid-murid yang miskin atau susahlah yang sering menerima hadiah kecemerlangan apabila ada majlis Anugerah Kecemerlangan. Zaman itu, kemiskinan menjadi pendorong semangat. Kemiskinan tidak menyebabkan murid turut menjadi miskin semangat dan nilai murni apabila nilai-nilai pendidikan agama tetap mendasari kehidupan sesebuah keluarga itu.

Tapi mutakhir ini, murid-murid miskin biasanya juga adalah murid kelas hujung. Sudahlah miskin harta, bermasalah keluarga, malah biasanya mereka jugalah yang sering didapati mempunyai masalah disiplin. Maafkan saya, saya tidak mengatakan semua, tetapi kebanyakan. (sekali lagi, yang saya perhatikan)

Kenapa jadi begitu? Maafkan saya! Sepatutnya memang tidak begitu. Saya tidak sembrono mengkelaskan mereka. Saya dulu juga berasal dari keluarga yang tidak kaya.

Pokok pangkalnya adalah didikan asas dari rumah juga. Nilai-nilai kekeluargaan dan keagamaan sudah semakin longgar. Perhatian dan kasih sayang ibu dan bapa sudah semakin menyusut.

Cikgu buat apa?
Di sekolah, cikgu memang tidak putus-putus memberi pendidikan, bukan sahaja di dalam kelas, tetapi turut sentiasa menerapkan nilai-nilai moral melalui pelbagai aktiviti dan cara. Bukanlah mahu mengungkit, kerana itu memang tugas cikgu. Tapi, salah cikgukah kalau apabila kita memberitahu seorang ibu tentang aktiviti songsang anaknya, dan ibu itu hanya menjawab;

"Biasalah cikgu....budak-budak! Kita dulu pun macam tu!"

Atau, apabila kita menegur murid kita yang berpakaian mencolok mata, si ibu mempertahankan anaknya dengan berkata:

"Udah memang begitu cara kami cikgu? Tak menyusahkan orang, biarlah!"

Siapalah saya untuk menasihati golongan ibu bapa yang sudah dewasa, dan punya cara dan pegangan hidup masing-masing. Cuma saya dapat menyeru, perhatikanlah anak-anak remaja kita. Kelakuan mereka adakalanya memang di luar jangkaan kita. Saya pun ada anak. Peringatan untuk saya juga yang tidak terkecuali dengan ujian demi ujian mendidik anak-anak sendiri dan anak-anak orang....kerana saya adalah ibu, dan saya juga seorang cikgu!

Sampai kini, saya masih merujuk kepada emak, sekiranya saya tiba-tiba merasa buntu dalam proses mendidik anak-anak. Dan pesanan emak yang paling melekat di hati saya adalah, biasakan membaca Ayat 200 surah Ali Imran ini untuk melembutkan hati anak-nak....

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اصْبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَاتَّقُواْاللّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

...yang bermaksud,


Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaran kalian; tetaplah bersiaga dan bertakwalah kepada Allah, agar kalian beruntung.  


Kata emak, bacalah ayat ini selalu sewaktu kita menyediakan makanan untuk anak-anak. Bacalah selalu dan hembuskan di ubun anak-anak kala mereka tidur. Atau, ketika mereka sedang menguji kita dengan kedegilan atau kemarahan, bacalah ayat ini dari jauh....dan hembuskan ke arah mereka senyap-senyap. (Boleh juga dilakukan ke atas suami yang 'degil', atau orang yang mungkin membenci kita....dengan izin Allah.) ...dan pastinya bersama usaha lain mengikut syariat, dan doa yang tidak putus-putus.


Itu cuma salah satu pesanan emak, yang telah berjaya mendidik 10 anaknya, 7 lelaki dan 3 perempuan,  hingga 'menjadi orang'. Alhamdulillah...




***Kisah-kisah di atas, bukan saya ambil dari murid-murid sekolah saya. Mengambil cerita dari rakan/pengetua di sekolah lain. Yang buruk, jadikan sempadan. Yang baik, ambillah pengajarannya, bagi yang mahu.


20110821

Mengaplikasikan ilmu dari pakcik kantin Kolej Tunku Khursiah.

Saya jarang menjejakkan kaki di bumi Negeri Sembilan. Kalau balik ke rumah keluarga di Johor, selalunya berhenti di Melaka. Jun lalu, anak sulung saya Dia dapat tawaran ke IPG Raja Melewar di Seremban, tapi dia menolak kerana dia ada pilihan lain. Memang tak ada jodoh nak berulang  ke NS. 

Makanan orang NS yang betul-betul NS, saya belum pernah rasa. Sampailah suatu ketika, saya menyertai Lawatan Penanda Aras Guru-guru Media PPD Hilir Perak ke Pusat Sumber Kolej Tunku Khursiah. Selain mengagumi 'kegemilangan ' PSS sekolah berasrama penuh yang cemerlang itu, saya turut kagum dengan juadah yang dihidangkan sewaktu makan tengahari untuk kami.


' Ayam masak lomak cili padi borsamo robung.' 
(Rasa nak nyanyi lagu 'Ayam den lapeh' masa makan tu...)

Pertama kali saya makan rebung. Saya rasa, juadah itu sungguh enak. Bukan setakat saya bertambah nasi dua kali (tak malu!), malah lagi tak malu, saya terus menemui pakcik katering yang menguruskan makanan, dan bertanya resepi.

 Mulanya, tak yakin apabila pakcik tu kata, masakan ini tidak menggunakan bawang. Tapi, memang begitulah...

 Cara-cara menyediakannya ya puan-puan:

 Bahan utamanya ayam. Kena tangkap ayam dulu di belakang rumah. Pilih ayam yang sedang elok...
Dah tangkap,  kenalah sembelih...
Bahan kedua, santan. Kena petik kelapa di belakang rumah juga.
Bahan ketiga, cili padi, juga di belakang rumah. Petiklah secukupnya.
Seterusnya, kunyit dan daun kunyit. Ambik belakang rumah.
Oooops, pendekkan ceritalah ckLah! Jauh benar merayaunya!.

 Bak kata Usup Wilca:
"Isk, nampok benor nipunye kome...!"

Ya..ya...ya..., gambar-gambar di atas, adalah gambar lama di rumah mak ckLah!

Yang ini barulah gambar baharu...(ya pastikan penggunaan perkataan 'baru' dan 'baharu' dengan betul ya!- Pesanan cikgu BM)
Itulah antara bahan-bahannya. Ada asam gelugur, kunyit dan daun kunyit. Rebung tu tak adalah di belakang rumah. Beli di pasar tani. Santan pun, beli di kedai runcit Pak Ma'on. Tak kuasa nak mengukur kelapa.

Aisey, serai pulak tak ada.
"Nuhaaaaaaaaaaaaa, ambik serai belakang rumah!"

Pendekkan cerita, siap sudah satu lauk untuk iftar petang minggu ini. Lepas ni kena sediakan lawannya, sambal kuini, ikan gelama kering dan ulam kacang botol. Lepas tu, hantar sebekas ke asrama Bin. Hehe
"Apa ni ckLah, tak baik tunjuk makanan depan orang puasa tau!" "Errr...ckLah kan cerita sejarah memasak tadi? Bukan nak tunjuk sesaje!" Hehe...puasa ni, janganlah sensetif sangat! Tak baik...
Beginilah jadinya, kalau ckLah tulis entri resepi. Merayau-rayau sampai ke kebun bagai...Hehe

***Resepi ini, saya dapat dari pakcik Kantin KTK semasa lawatan Penanda Aras Guru-guru Media PPD Hilir Perak ke beberapa sekolah dan PKG di Negeri Sembilan (diarahkan mengganti guru yang sepatutnya pergi tapi ada urusan lain). Dihantar untuk dapatkan ilmu bagi menaik taraf pusat sumber sekolah, tapi, ilmu sampingan lain yang melekat.  Dasar makcik-makcik...hehe!

20110815

Ya...saya naik pangkat!!!

Menghampiri usia separuh abad, entah sejak bila tanpa disedari apabila membaca, tangan secara automatik akan mengangkat cermin mata ke atas, atau mata mengintai dari atas cermin. Saya biarkan saja. Sementelah tiada yang menegur. Mungkin komplikasi penyakit yang selama ini dilawan dengan butiran Gliclazide dan Metformin...

Semakin lama semakin serius. Paling teruk, semasa bertugas mengacarakan sebuah majlis rasmi, tumpuan menjadi kelam kabut antara mengangkat cermin mata untuk memastikan tiada nama tercicir atau tersalah baca, dan memakai semula cermin mata untuk memastikan yang dipanggil sudah menaiki pentas atau belum. Kesannya, nada suara pun menjadi tak terkawal. Mujur tiada yang tersalah baca atau tercicir..

Apabila berpindah ke sekolah baru dan murid-muridnya lelaki (yang memang nakal), habit mengangkat cermin mata sewaktu membaca menjadi bahan pemerhatian dan usikan anak-anak murid baru.

Ahhhh, tak boleh jadi....
Kenalah juga menerima hakikat, bahawa presbyopia (presbiopia) telah mendatangi mata saya. Bahawa dalam usia ini, otot siliari saya sudah semakin lemah untuk mengawal kanta kistalis agar berfungsi dengan baik. Semakin cuba memokus titik pandangan pada aksara-aksara di muka buku, objek menjadi semakin kecil dan halus. Mata terpaksa dikelip-kelipkan...walaupun tidak berhasil mengembalikan titik tumpuan.

Sah....otot siliari ku sudah tidak sefleksibel zaman muda dan semakin lemah!!!


Ya...ya....ya...telah tiba masanya saya memakai cermin mata orang tua...kena jumpa optometris!
"Cikgu pakai, cuba baca tengok maaa!" Kata rakan Optometris saya...

Jurang perbezaan kekaburan antara makta kanan dan kiri, dan jurang perbezaan tahap kesilauan antara kanan dan kiri, menyebabkan urusan mencari kanta yang sesuai berlangsung agak lama...dan menggunakan kedua-dua kaedah komputer dan manual...
Yeah, makcik dah kena pakai cermin mata orang tua....lengkap, rabun jauh, rabun dekat dan silau! Naik pangkat makcik!



"Kalau pakai frem macam tu, mau semua anak murid ibu lari!" usik Diba yang menemani.

Wah...sekarang dia sudah guna istilah 'anak murid ibu'! Mentang-mentang ibu sudah tidak mengajar di sekolah dia lagi!




20110813

...kerana dunia tanpa sempadan itu, maka kita sendiri yang kena membina sempadannya...

Salam Ramadhan hari ke 13.
Kita sudah memasuki fasa ke dua Ramadhan, fasa penuh kerahmatan....untuk yang mencari dan mengharap, dan merasainya.

Mutakhir, sering terbaca dan terdengar berita tentang penipuan lewat dunia siber sosial, terutama facebook dan twitter. Kejadian-kejadian yang berulang, yang sebenarnya memberi isyarat kepada kita agar mengambil iktibar. Bukan sekadar membaca atau mendengar, kemudian menggeleng kepala. Bukan sekadar itu.

Maaf, maaf, maaf!!!

Saya tidak menulis entri ini untuk ditujukan kepada mana-mana individu atau bloger secara khusus. Tolong jangan tersalah anggap dengan saya. Anggaplah entri ini saya tulis untuk diri saya sendiri, seorang ibu kepada 4 anak remaja yang sedang membesar di dalam desakan 'dunia tanpa sempadan' ini. Seorang ibu, yang juga punya kegemaran bersosial maya, dan menulis hal-hal peribadinya untuk dimuatkan ke dalam blognya.

Ya, apabila sudah memuatkan 'apa-apa saja' ke dalam blog, maka bersedialah untuk 'apa-apa saja' tentang kita dibaca orang. Siapa yang baca? Orang bagaimana yang baca? Orang mana yang baca? Ya....jawapannya adalah, TANPA SEMPADAN! Lainlah kalau laman sosial kita memang di'private'kan dari tatapan umum!!!

Seawal berblog dulu, saya juga tidak begitu cerdik, apabila tanpa ragu bercerita tentang hal-hal peribadi, tentang anak-anak saya, tentang nama mereka, tentang umur mereka, tentang kerja saya, meski sebenarnya memang bukan ada apa-apa yang hebat sangat pun tentang kehidupan saya. Masa itu, kurang berfikir tentang siapa yang akan membaca catatan tak cerdik kita. Masa itu, mungkin mencatat sekadar catatan peribadi,  atau diari harian. Tak fikir sangat, siapa yang membacanya. Memang naif sungguh....

Tapi, apabila anak semakin membesar, saya menjadi malu dengan semua itu.

Ya...mujur tidak ada apa-apa yang menimpa anak. Anak-anak pula yang menginsafkan saya apabila mereka begitu berhati-hati dalam berlaman sosial. Mereka tidak sepandir  saya dalam mendedahkan maklumat, fakta, gambar dan sebagainya.

Malu! Memang malu saya sebagai ibu, sedangkan senario bersosial maya ini memang di zaman mereka! Allah....semoga anak-anak saya terlepas dari ujian-ujian yang menimpa kerana kelalaian saya sendiri. Kerana kelalaian seorang ibu yang terlalu ghairah memuat naik dan mendedahkan apa-apa saja butiran, apa-apa saja maklumat tentang anak-anaknya di ruang maya tanpa memikir baik dan buruknya. Oh tuhan, minta dijauhkan....

Kejadian culik, anak dara dilarikan, sendiket penipuan gadis-gadis dan wanita, dan pelbagai lagi yang segalanya berpunca dari pendedahan maklumat peribadi di laman-laman sosial peribadi semakin menjadi-jadi. Ya, tidak terjadi kepada kita, makanya kita tidak tahu bagaimana rasanya. Dan kita memang tidak mahu terjadi kepada kita. Semoga dijauhkan....

Sungguh, sekarang bukan zaman berkenalan gaya 'Kembang Setaman' melalui surat, dengan diakhiri pantun dua kerat;  'Pecah kaca,pecah gelas. Sudah baca,harap balas!' lagi. Gangguan anak-anak remaja sekarang, datangnya dari pelbagai arah....dan cara.

"ckLah, kenapa tidak berbaik sangka saja kepada pengunjung blog awak?"

Ya, kepada yang datang dengan baik, kita memang berbaik sangka. Tetapi, kita tahukah siapa yang membaca blog kita? Makanya, berburuk sangka dan sedikit rasa cemburu itu perlu juga!

"Maknanya, lepas ni tak ada lagi cerita tentang Dia, Diba, Bin dan Nuha...serta ckZahan?"


Errr....er....er....., alamak! Kena batang hidung pesek sendirilah pulak! Okeylah, Dia, Diba, Bin dan Nuha...serta ckZahan  bukan nama sebenar. Dan mana-mana entri yang agak 'terlebih terang lagi bersuluh' tentang mereka sebelum ini sudah mula ditarik balik, satu persatu.
Laporan terperinci hal-hal remeh tentang  anak-anak saya dapat berkat telur pengantin seorang satu misalnya? Tak akan ada lagi? Hehe..

"Jangan ekspose sangat lah bu!" kata puteri sulung saya Dia, yang sedang 'mengaji ilmu perundangan di menara gading'.



Ya, bukan entri memerli sesiapa, tapi lebih kepada mahu mentarbiah diri sendiri. Harap dapat dibaca sehingga habis agar tidak tersalah memahami  akan mesejnya!

....kerana saya juga sayang akan keluarga saya ini.



'Ke arah memperkasakan keselamatan kendiri di alam siber...'

(Sekadar catatan seorang bloger yang 
bukan remaja, tapi, ibu kepada 4 remaja.)




20110811

...kerana puasa bukan pasal hal ehwal 'makan' sahaja...

Tak sangka pula, ada yang tersinggung apabila saya menulis kapsyen berikut pada satu gambar dalam entri saya yang lalu.
Entahlah, di sudut mana ayat itu yang begitu menyinggung rusuknya hingga dia membuat 'entri balas'. Sebenarnya, saya tidak menujukan ayat itu kepada sesiapa, atau tidak puas hati kepada mana-mana tema blog, tetapi menulis kerana memang begitulah. Nenek-nenek pun akan cakap, tak baik tunjuk-tunjuk makanan  kepada orang berpuasa, kepada budak-budak kecik. Saya tak tujukan kepada mana-mana bloger pun, termasuklah blog-blog resepi. Saya kata, 'lainlah kalau entri resepi', kerana saya pun sesekali menyalin resepi dari entri-entri resepi juga. Kan ilmiah entri resepi tu! Dah buat resepi, kenalah tunjuk gambarnya.....kan? Lagi bagus kalau gambarnya terang dan bermutu tinggi piksel dan resolusinya! Lagi sedap mata memandang!


Tapi...ahhhhhhh, malaslah nak berjawab-jawab. Bulan puasa ni. Tak elok menyakitkan hati orang dengan sengaja..


Senang macam nilah. Blog ckLah yang sudah berusia hampir 40 bulan ini, blog yang tak kisah dengan iklan, trafik, atau rating. (Hah....jangan pula ada yang  sakit hati dengan ayat ini!!! ckLah cakap pasal  blog ckLah) Jadi, siapa yang rasa blog ckLah ni tak sesuai dengan jiwanya,yang rasa entri ckLah serba sakarstik dan asyik menyakitkan hati kalau dibaca, tak payahlah klik @Sanggar Maya ckLah lagi. Tak payah intai-intai. 'Delete' saja URL ckLah dari bloglist anda, supaya tak terlihat kelibat ckLah. ckLah tak ambik hati pun...@Sanggar Maya ckLah tak kisah akan populariti...Mula-mula berblog dulu, gilalah juga. Hehe...


Dalam bersosial maya, ckLah tak mahu ada eleman-eleman yang mengganggu fikiran hingga ke luar maya. Kalau terasa ada, ckLah cepat-cepat menjauh. Tak rugi apa-apa pun.Mudah kan? Bagi ckLahlah...blog bukan segalanya. Dan bukan segala-galanya nak dimasukkan di dalam blog, kerana memang akan dibaca oleh semua orang tanpa sempadan walaupun kita mati-mati berkata itu sekadar catatan diari peribadi. Diari peribadi...tidak dibaca orang! Kita takkan benarkan,kan? Kalau diari peribadi ckLah, lah!


Sudah. Sudah. Sudah. Astaghfirullah...


Terlanjur menulis pasal makan, teringat lawak seorang rakan di fb. (tanpa menunjukkan gambar ya! Kalau ada yang terliur juga, entahlah......hehehe)


Kuih-kuih Tradisional Melayu yang unik:-


Kuih paling gangster= Lompat Tikam
Kuih paling sexy= Puteri Mandi
Kuih paling keji= Taik Itik

Kuih bajet cute= Cek Mek Molek
Kuih untuk awet muda= Seri Muka
Kuih paling alim= Kuih Ketayap
Kuih penyakit lelaki kronik= Batang Buruk

Kuih orang tak mandi = Kuih Bau-Lu
Kuih paling bahaya = Kuih Bom
Kuih paling tenteram= Kuih makmur
Kuih paling lembab= Kuih Siput
Kuih suka pukul= Kuih Lompang
Kuih dalam zoo= Badak Berendam

(Salin bulat-bulat dari fb rakan, bersekali dengan ejaan dan sistem bahasanya)




"Eh, ckLah? Apa juadah iftar ckLah hari ni?"


Ahhhhh, orang tua macam ckLah ni. Makanan bukan perkara utama lagi di bulan Ramadhan ini. Sekadar cuba semampunya mengikut amalan sunnah baginda, meski sesekali gagal juga  mengawal nafsu serakah. Yalah.....lebih 40 tahun lalu, sudah puas makan bermacam-macam jenis makanan. Ramadhan adalah masa paling tepat untuk mendidik selera....


....dan jiwa yang kekadang angkuh!


Yang pasti...
Inilah juadah iftar wajib saya saban hari.
Antara butiran berikut, ada yang perlu diambil 15 minit sebelum makan, dan 15 minit selepas makan, setiap hari, demi menyambung hayat.
Okeylah, malam ni kena jaga makan betul-betul kerana esok ada 'dating' dengan Dato' ini...
Lepas jumpa Dato' bolehlah intai biryani kambing ke...
Moga tahan sampai 7:32 petang dengan sihat dan ringan, seperti 11 hari sebelum ini...Amin.


20110808

Nikmat dekat.

Cerita Nikmat Dekat- Satu.
Ahad.
3 petang.
Sedang merenung stok sayur-sayuran kampung di dapur, terima panggilan dari anakanda Bin di asrama. Sudah seminggu puasa, rindu pula nak berbuka dengan masakan ibu, katanya.

Apa lagi, si ibu pun tiba-tiba bersemangat untuk memasak dengan roh dan jiwa.

Siap bekalan untuk si anak.

Sampai di sekolah, sejuk hati melihat Bin dan rakan-rakannya sedang sibuk mengambil wudhuk di luar  surau asrama. Mahu bertadarus, katanya.

Berjumpa dalam 10 minit sahaja, kerana abah dan ibu mahu ke destinasi seterusnya.
Ke mana?
Sila ke cerita ke dua.


Kesimpulan Cerita 1.
Syukur, Bin ditempatkan belajar di sebuah SBP (Sek Men Sains) yang tak jauh dari rumah. 45 minit perjalanan sudah sampai.



Cerita  Nikmat Dekat -Dua.
Setelah siap membungkus bekalan untuk Bin tadi, mak pula telefon. Bapak masih demam selepas terjatuh di masjid dua hari lalu. Sudah seminggu saya tak ziarah bapak meski jarak rumah kami, juga hanya 45 minit perjalanan.

Saya anak yang paling dekat dengan bapak. Adik beradik lain, tinggal jauh-jauh. Namun, minggu pertama bulan puasa, rumah bapak tak sunyi dengan anak cucu yang tinggal jauh. 4 hari puasa pertama, adik yang tinggal di Kota Kinabalu, mengambil cuti untuk menyambut Ramadhan bersama bapak dengan isteri dan anak-anaknya.  Puasa ke 4 dan 5, adik dari Kuantan dan keluarganya pula memeriahkan rumah bapak. Puasa ke 6, adik dari Bangi pula balik, sambil memeriksa dan memberi rawatan kepada bapak, kerana dia seorang doktor pakar.

Syukur; Alhamdulillah...bapak sentiasa dibahagiakan anak-anak pada usia begini. Seminggu pertama, berbukanya ditemani anak, menantu dan cucu silih berganti walaupun 10 anaknya tinggal berjauhan....kecuali saya..


Selepas emak telefon, saya masak lagi sejenis lauk, iaitu sup ayam organik untuk bapak. Saya bungkus semua juadah yang ada untuk dibawa berbuka di rumah bapak selepas berjumpa Bin. Jarak sekolah Bin dengan rumah bapak, memakan masa 1 jam perjalanan.
Apa di dalam bekas makanan itu? Oops,tak baik tunjuk-tunjuk makanan tak tentu pasal kepada orang yang berpuasa. Lainlah kalau entri resepi.


Kesimpulan Cerita 2;
Syukur, saya diberi nikmat dengan bertugas dan bermastautin tidak jauh dari bapak.



Cerita Nikmat Dekat -Tiga,
Mutakhir ini, saya terlalu banyak bercerita tentang kesedihan saya yang terpaksa meninggalkan murid-murid kesayangan saya di sekolah yang sudah 20 tahun saya berkhidmat. Sampai 5 entri saya tulis. Jemu orang membacanya ya!!! Ya lah, saya tengok, banyak URL yang lalu-lalang tanpa menyapa pada 5 entri tersebut...ceritanya bosan, kan!  Ahhhhhh, sudah-sudahlah tu. Saya peru mencari hikmah di sebalik hijrah ini.

Ya...ya....ya....saya kena cari nikmat itu, walaupun saya 'belum suka' sekolah ini, kerana memang banyak perkara yang saya masih terkilan. Tak boleh nak cerita semuanya! Kena cari yang nikmat.....

Antaranya:

1:3 - saya tak perlu keluar rumah seawal 6.40 pagi seperti 20 tahun sebelum ini....kerana berebut tempat parkir. 20 tahun sebelum ini, kami terpaksa parkir kereta dengan berbayarkan 'tawakkal' semata-mata di luar pagar sekolah kerana memang tiada kawasan parkir dalam sekolah. Kes kereta diusik, calar, atau cermin pecah, sudah biasa bagi kami! Malah, kawan saya pernah kehilangan kereta yang diparkir di situ.Di sekolah baru, saya keluar rumah jam 7:10, dan sampai sekolah 7:15 minit. Enjin tak sempat panas. Ada cadangan nak beli kasut roda!

2:3 - sudah seminggu saya di sini. Minyak kereta saya isi penuh Ahad lepas, nampaknya belum berkurang langsung. Kalau tidak.....seminggu RM100 mesti habis untuk minyak!!! Jimat! Jimat! Jimat! Nikmat yang besarrrrr!!!

3:3 -  sedang mengajar di tingkat 3, saya boleh nampak bumbung rumah saya sendiri....Ya, rumah Semi-D yang bumbung merah itu! Hehehehehehe!!! Nikmat...nikmat...nikmat!
Pemandangan dari Tingkatan 4 Episcia. Gambar diambil selepas murid keluar,jam 1:05. Cikgu pun nak balik dah. Di sekolah lama balik jam 2:15.Hehehe



Kesimpulan Cerita  3:
Nak nasyid;
"Alhamdulillah Syukur Nikmat...
Kepada Tuhan yang memberi Rahmat...
Ooooo....oooo....oooooo"

20110801

أهلا رمضان شهر الخير





Sejurus berlabuhnya srengenge Sya'ban...
Maka menzahirlah ambang yang dinanti...

Dia muncul lagi dengan baraakah...kareemah...dan maghfeerah untuk yang mencarinya...

Subhanallah...

Alhamdulillah..

Allahu Akbar...








Selamat menyambut Ramadhan kepada semua pengunjung yang tak pernah jemu menyapa @Sanggar Maya ckLah. Minta maaf zahir dan batin...



كل عام وانتم بخيربشهررمضان ا لكريم






...dan telah tibalah juga masanya  saya melangkah memulakan hijrah yang besar dalam hidup saya  sempena 1 Ramadhan hari ini!  


Sekian.









Kaki blog seorang kaki blog...

Kaki blog seorang kaki blog...