Suka citra @ xiiinam? Terima kasih :D

20111029

Hari ini, cerita seorang mak-mak sajalah...

Buat inti kuih pau daging dan kentang, ingatkan mahu bekalkan Dib yang mahu menyertai Program Selepas PMR ke Kuala Lumpur, Shah Alam dan Putrajaya.

Cari-cari Yis tak jumpa. Biasalah, kalau si Dia mengemas peti sejuk, nampak hodoh sikit, dia 'tereban' saja dalam ke tong sampah. Agaknyalah. Malas nak gaduh subuh-subuh sepi'e. Nanti rezeki lari. Haha.

Terus lain jadi dohnya. Buat kerja tak ikut tertib tata karma ni...

Hasilnya, bentuk dan saiz yang berbeza-beza, kerana yang diprogramkan dalam kepala dari awal mengupas kentang sudah lari. Hilang fokus sudah!


Pau jadi Puff dan Pie !!!

Setelah bersembang-sembang dengan cikgu Diba sambil berpeluk tubuh depan sekolah (sekolah lama saya, huhuhu), dan pastikan bas Diba bergerak jam 6:30 pagi, terus ke pasar besar, sesi melawat kawasan dan beramah mesra dengan tokeh ikan dan sayur. Sesampai di rumah, lihat-lihat belakang rumah yang sudah mula semak.

Hmmmm, sedang elok untuk mencilikan seseorang dibuat bumbu masak lemak jantung pisang tengah hari ini...
Kalau kepedasan, Puding Sagu Gula Melaka lebih petang semalam ada lagi...kuah baru, tau! :D


Sekian.
Begitulah cerita seorang mak-mak...


Nak sambung kerja bukan mak-mak pulak sejam dua...sampai habis waktu Dhuha.

20111026

"Jangan ucap Happy Deepavali tau...!" Kata Nuha!

Marah benar Nuha, apabila ada rakannya bergurau mengucapkan 'Happy Deepavali' kepadanya.

"Memanglah satu Malaysia, tapi bukankah Deepavali tu perayaan agama? Kenapa Nuha mesti nak happy di Deepavali? Nuha Muslim!!!" Itu hujahnya, apabila abah menegurnya, tak perlu marah-marah  sangat! Selalunya, anak dara bongsunya itu tahan gurau!

Budak, kalau berpegang kepada prinsip memang begitu. Ya lah, memang ada orang yang  kurang faham konsep  antara perayaan kaum (budaya) dengan perayaan agama. 

Hmmmm, ada sebab lain menyebabkan mood dia kurang baik sebenarnya. 

Hari ini 26.10.2011. Harijadi dia. Tapi, tiada tanda-tanda yang orang ingat hari jadi dia. Semua pakat diam, dari semalam. Kalau dia kecik dulu, mesti dia dah ingatkan orang awal-awal sehari dua sebelumnya! 

Pagi-pagi dah kena marah dek abangnya, kerana lambat bangun solat Subuh. 6:20 pagi, abangnya kata lambat!

(Abang dia tu, sebenarnya tak sabar nak bersarapan...sejak sebelum Subuh temankan ibu dia berkuntau di dapur)
Barulah dia mahu tersenyum, apabila nampak ibu menghidangkan juadah kegemarannya, Spaghetti Bolognese dan Puding Karamel Taruk Longan (nama resepinya..hehe) sebagai sarapan...

Kegemarannya...kaut sos semahunya ke pinggan dia!

Dia diberi bahagian dulu kali ini...
(Puding Karamel dengan 11 biji longan sebagai ganti kek berlilin . :D)
*******

"Tak ada kek lah Nuha!" Ibu menguji.

"Tak apa...ini pun ok. Kek harijadi untuk harijadi  budak-budak kecik aje!" Jawabnya.

"Yalah...anak ibu dah besar!!!"



Selamat Hari jadi yang ke 11, anak bongsuku Puteri Eiman Nuha!


Semoga menjadi anak cerdik yang bersungguh-sungguh mendoakan kebaikan buat ibu dan bapamu!!!

**************

20111023

Melawat kawasan lagi...

Anak-anak cuti lama. Semua dah habis periksa pula tu. Ibu mereka ini yang tak habis-habis memeriksa kertas periksa.  Tapi di rumah, kalau ibu syik khusyuk memeriksa kertas, tak adalah kerja lain anak-anak itu. Masing-masing khusyuk mengadap netbook,  laptop dan pc. Jadi, ibu pun kena 'perasan' bercuti macam anak-anak...

Hari ini, kita  ikut abah masuk kebun ....lebih kurang 20 KM dari rumah.


Diba, tetap bergaya dengan baju dan tudung merah jambunya...

Si bongsu. Baru angkat setandan dah merungut.

Kebun abah yang ini cuma ada pisang dan kelapa sawit. Tak ada tanaman lain seperti yang satu lagi. Di tengah kebun ada anak sungai yang penuh dengan ikan haruan, keli dan talapia. InsyaAllah, masa cuti panjang hujung tahun nanti nak berkhemah di sini sambil memancing. Kalau jadi nanti, bolehlah ambil gambar dan cerita di blog. Tak payah susah-susah pergi bercuti ke jeram, air terjun atau Taman Negara. Kita ada tempat percutian rahsia. Hehe....

Cuma satulah yang ibu tak berapa sanggup, pacat! Eiiiiiiii, geli mak! (orang kampung lupa daratan ni!) Kecik-kecik dulu, tak kisah dengan pacat. Boleh ambik dengan tangan dan lumat-lumatkan pacat yang sudah sendat dengan darah sendiri tanpa rasa zalim, kejam atau kesian. Sekarang dah insaf......:D

"Abang! Marilah Nuha nak ambik gambar abang!" Nuha memanggil abangnya.

"Oooooops, tak boleh. Abang punya IMAGE CONSULTANT tak benarkan abang ambik gambar dalam kostum begini! Nanti peminat abang nampak,susah!!!"  Jawab abangnya.

"Elllehhhh, banyaklah dia punya image consultant!" Si adik menempelak....




Hmmm, ibu dan kakak Dia pun tak boleh ambik gambar. Muka berpeluh-peluh.....habis mekap cair! Abah? Lagilahhhhhhh....Hehehe..

20111021

Saya pun macam tu, doktor...


Dari status seorang rakan fb.


Saya pun bimbang amat...

....termasuk dengan mereka yang cenderung bercerita akan hal 'keaiban' orang lain yang belum tentu benar dengan menyebut nama individu itu di dalam blog, facebook, twitter atau lain-lain bentuk media, tak kiralah siapa orang yang diperkatakan itu samada artis, orang politik, selebriti, ahli sukan, jiran, atau ketua kampung sendiri, rakan-rakan sendiri, dan lagi teruk, ada juga yang gemar mencipta reka hal-hal rakan maya kepada rakan-rakan maya di luar maya, sedang individu yang diceritakan itu tidak pernah ditemui (dikenali) di luar maya pun, melainkan hanya dengan membaca catatan-catatan laman mayanya!!! (Nah, ayat majmuk  panjang dengan satu noktah yang ditaip dalam satu nafas!!!)



Maaflah...saya terpaksa menjauhi 'group seperti ini' demi mengelak terpalit subahat!) Saya pasti benar, saya tak akan rugi apa-apapun dengan tindakan demikian. Hidup kita ini, bila-bila sahaja boleh berakhir. Takut tak sempat meminta maaf...

...terbayang balasan siksa orang mengumpat yang disaksikan Rasulullah SAW tatkala peristiwa Israk dan Mikraj!!! Semua orang tahu, kan? Dari zaman sekolah rendah dulu Ustaz dan Ustazah dah ajar. Takkan lupa....

Na'uzubillah.

ولا يغتب بعضكم بعضا أيحب أحدكم أن يأكل لحم أخيه ميتا فكرهتموه واتقوا الله إن الله تواب رحيم 
Maksudnya : ‘...dan jangan pula setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentu kamu benci memakannya. Takutlah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”
(Surah al-Hujurat : 12)


~(Aku harap, orang yang jujur saja hadir dalam hidupku (dan sanggar mayaku!)~




Ya, saya pun macam doktor itu!
Kamu?


20111020

Tak apalah...bukan raya saya pun! :D

Jumlah cuti Tahun Baru Cina, Raya Haji atau Deepavali memang tak sama, bergantung kepada pilihan sekolah masing-masing. Kadang-kadang menimbulkan masalah juga kalau anak cuti mak tak cuti. Kenalah pula cari penjaga anak tu kalau anak masih tahun 1 atau 2, apatah lagi kalau anak tadika. Lainlah kalau mak cuti, anak tak cuti. Mak tak perlu cari penjaga. Dia boleh jaga dirinya sendiri. Kan!


Di sekolah lama saya, cuti Deepavali seminggu penuh. Selain Cuti Deepavali dan Cuti peristiwa pada 25, 26 dan 27 Oktober, 24 dan 28 Oktober, adalah cuti berganti, dan saya juga telah turut gigih mengganti cuti Deepavali dua hari itu pada dua kali Sabtu. Staf sudah rancang untuk adakan program di Langkawi.

Bulan Ogos, sekonyong-konyong saya dipindahkan ke sekolah lain.
Jadinya, cuti 2 hari yang saya sudah gantikan dengan gigih itu tak laku, kerana di sekolah baru cuti Deepavali hanya 3 hari. Isnin  dan Jumaat tak cuti. Saya pun tak boleh ikut ke Langkawi, kerana kena pergi ke sekolah. Cuti yang telah saya ganti dulu, cikgu yang gantikan saya di sekolah lama yang dapat! Huhuhuhuuu


Maksudnya, saya sudah terlebih kerja 2 hari!
Boleh tak yang 2 hari itu membayar 2 hari CRK saya kerana mendapat rawatan berkala di hospital?




TAK ACI! TAK ACI! MANA ACI MACAM NI???



"Haih, siapa panggil-panggil Aci ni? Aci tengak sibuk buat Maruku di dapur tu!"

Gambar hiasan semata-mata (kerana memang sarat barang perhiasannya!)
Orang kita pun ramai yang suka lip lap lip lap macam ni...
: Diambil dari Web Glam-Galz di atas



***Saya bergurau saja ya! Bukan merungut tau! Yang pasti, sebahagian cuti sekolah hujung tahun ini saya tetap bertugas dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia seperti tahun-tahun sebelumnya. Tiada rungutan untuk itu, kerana itu pilihan saya! OK! Cuti lama sangat pun, nak buat apa, kan! Kan! Kan! Susah jadi cikgu ni. Asyik kena paksa bercuti saja. Hihihihi...cantik sungguh Meenachi di atas tu, kan? Lip lap lip lap...






***Kepada rakan-rakan sekolah lama yang bercuti seminggu penuh; "Selamat bersakan ya! Bukan main lip lap lip lap kome ye! Makan maruku ingat ckLah!!!" Hehe... 


ckLah nak pulun periksa kertas...

20111019

Buang! Buang! Buang! Haih...


Antara soalan Peperiksaan Akhir Tahun Bahasa Melayu Tingkatan 4 Soalan Selaras JPN..

Jawapan popular: 

Haih...tiada lainkah yang boleh dibuang wahai anak-anak?


Yang ini pula, cerita pasal buang apa pun tak taulah....
Sampai ke Amerika Syarikat ceritanya...

Dan yang ini, apa pun tak payah buang! Senang!


....itulah murid-murid baru saya. Siapalah cikgu depa sebelum ini ya? Dah tingkatan 4 masih macam tu. Ya, banyak yang perlu saya lakukan untuk mereka, kerana merekalah amanah saya sekarang!


"Isk biasalah ckLah...!"
Ya,ya,ya...cerita-cerita ckLah memang cerita biasa-biasa saja :D
Kita betulkan yang biasa, biasakan yang betul....kan!

20111018

Tunjuk anak orang lagilah...

(Kalau tunjuk anak sendiri macam dalam entri lalu, nanti orang marah lagi sebab menunjuk-nunjuk, katanya!)

@Sanggar Maya ckLah ini, pengisiannya tidak lari dari dunia rumah tangga dan dunia kerjaya pemiliknya. Kalau tak cerita hal-hal pendidikan, hal-hal sekolah, hal-hal keluargalah...(namun, sesekali, ada masanya tak tau pemilik cerita merapu tentang apa. Hehehe).

Selama 4 tahun berblog, saya telah banyak kali menulis cerita-cerita biasa  tentang murid-murid saya. Ada kalanya saya menulis tentang cerita gembira mereka, kejayaan mereka dan kebahagiaan mereka. Ada juga kalanya, saya menulis tentang kelucuan mereka, malah tak kurang juga tentang kedukaan dan kekecewaan saya terhadap mereka, namun dalam keadaan bertapis. Yalah, sebagai seorang guru, (dan ibu) kawalan keselamatan kendiri di alam maya perlu saya jaga juga.

Tujuan dan niat saya? Seperti (kebanyakan) bloger (kalau boleh digelar bloger saya ni), saya menulis di blog, supaya tulisan saya itu (serba sedikit) dapat menyampaikan sesuatu mesej. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk, jadikan sempadan. Meski ceritanya mungkin hanya perkara-perkara kecil dan biasa bagi sesetengah orang...

Yang pasti, dalam berblog, saya sedaya mampu akan menjaga penggunaan bahasa  dengan betul, kerana saya sudah mengaku bahawa saya seorang guru. Saya tidak mahu anak-anak (termasuk anak-anak sekolah) melihat saya menghancurkan bahasa  di ruang siber kerana saya bukan budak remaja, malah ibu kepada 4 remaja!!!Tak kiralah apa-apa bahasa  pun yang saya gunakan. Saya terima semua bahasa samada bahasa Melayu baku, bahasa slanga, dialek daerah, bahasa Inggeris, Arab  malah Cina atau Tamil. Yang pasti, gunakan dengan betul! Pasal bahasa, saya tiada kompromi!!! Maaf, saya malu melihat bahasa saya dihancurkan...

Sebagai seorang pendidik, apalah lagi yang paling membahagiakan selain melihat kejayaan anak-anak didiknya. Meski mereka itu bukan anak-anak sendiri, cikgu tak malu-malu untuk tumpang gembira. Lebih mengembirakan, kalau anak-anak murid itu masih mengingati saya sebagai bekas gurunya. Kembang hati ini, apabila ditegur oleh bekas murid, tak kiralah 'sebagai apapun' kemenjadian mereka. Cikgu pasti gembira.

Sering saya ditegur bekas murid yang sedang bertugas atau  ketika berurusan di premis kerajaan, pejabat-pejabat, hospital, di majlis-majlis tertentu, malah yang berniaga di pasar malam pun!!! Alhamdulillah. Hanya seorang dua, yang saya dapati menunjukkan sikap sombong terhadap bekas guru. Adalah masalah tu. Biarlah...cikgu cuma mengharapkan kebahagiaan mereka. Tak minta apa-apa.

Kadang-kadang, bekas murid mencari kita ketika sedang gembira dengan keputusan peperiksaan, ketika sedang 'stress' dengan pelajaran, atau ketika mahu menghadapi peperiksaan. Itu sudah cukup 'mengharukan' saya!

Semalam, seorang bekas murid yag jauh, menegur saya di facebook.

Saya pernah menulis entri tentang beliau, selepas beliau datang mencari saya yang sedang mengajar di kelas, (dan cikgu lain) dengan membawa kek lapis keju buatannya, sebaik beliau menerima keputusan SPM (10A1) dari MRSM Langkawi. Ini gambar dari entri yang bertarikh 13.3.2009.

Ain, saya kenali sebagai seorang murid yang 'gemilang' , meski saya hanya sempat mengajarnya semasa tingkatan 3 sebelum dia ke MRSM Langkawi. Bukan sahaja cantik dan bijak, malah seorang yang sangat aktif (satu-satunya murid Melayu dalam Pasukan Bahas Bahasa Inggeris ke Peringkat Negeri)., juga amat merendah diri dan menghormati guru. Ibu bapanya juga (pasangan Pegawai polis), merupakan ibu bapa contoh yang sangat cakna terhadap anak dan sentiasa menyokong sekolah dalam apa-apa juga aktiviti yang diceburi anak mereka. Jelas, Ain datang dari keluarga yang sempurna, yang akhirnya mendorong kepada kejayaannya!!!

Tamat kursus persediaan di Kolej Mara Banting, Ain baru saja merantau ke University College Cork, Ireland dalam bidang perubatan selepas hari raya tahun ini. Dia menghubungi saya dan meminta saya mendoakannya sebelum dia pergi, dan saya mengikuti perkembangannya di FB dan blognya.
Bangga melihat Ain berdiri di hadapan universiti idamannya. Yang di bawah, antara gambar 'kiriman' Ain yang sangat menggoda saya. Gambar pemandangan di luar bilik penginapannya sebelum musim luruh...

 Ahhhhh, cikgu cemburu sungguh! Cemburu dengan pasangan itik itu. Cemburu campur bangga!

Terkini dari Ain.

TAHNIAH UNTUK IBU DAN BAPA AIN!!!


....dan setiap kali melihat kejayaan anak-anak murid (anak orang), saya akan 'mengaruk' kepada anak-anak saya, supaya mereka mendapat suntikan semangat!

Juga,  kepada murid-murid sekolah baru (yang cikgu ajar), meskipun mungkin agak payah, tapi, cikgu percaya kamu juga mampu jadi begitu, kalau kamu mahu!!! Berubahlah, dan berusahalah...




20111016

Entri merajuk....(Hehehe!)

Dalam entri tadi, ckLah masukkan klip video anak sendiri (yang kebetulan berbahasa Inggeris) Ada orang sinis kata ckLah menunjuk-nunjuk. Maklumlah, anak kita anak orang Jawa. Ramai juga yang cuma kelihatan URLnya lalu lalang kalau ckLah buat entri macam tu. Nyampah kot....
:D

 Haih...kali ni nak tunjuk video anak oranglah.
Budak-budak kalau bergaduh, comel, kan! Orang tua? Jangan dibuat haihhh...

Hmmmm, pandai anak orang putih ni cakap orang putih kan!
Fasih sangat.
Kan!

Hehehe...

....nak merajuklah sehari dua!

Pujuklah...pujuklah...!

(Hihihi...peeeegi dah ckLah!!!!)

Tentang puteri bongsu yang suka berangan-angan...


Sedang memantau si bongsu yang sedang membuat persediaan (lebih kurangnya!) untuk peperiksaan esok, terbit rasa untuk mengumpat mencatat sesuatu tentang dia. Anak Y2K (lahir tahun 2000) saya ini, memang kuat berangan-angan.

Melukis, berlasak, bermain muzik...antara cara dia luahkan perasaannya.
Ketika berumur 8 tahun, 9 tahun, 10 tahun.

Dia juga cenderung luahkan perasaan dan angan-angan dia di dalam blognya. Tapi, disebabkan ibunya amat cerewet tentang 'pemberian masa berlaman sosial' untuk anak-anaknya, dia luahkan di kertas. Ini satu antara beberapa 'novel' dia (dia yang kata novel). Hehehe...


Dah penuh satu buku. Dia sambung sikit-sikit setiap kali waktu senggang, waktu balik kampung, ataupun dalam kereta...nampak benar pengaruh Jepunnya!
Hasil anganan dan imaginasi dia yang diadaptasi ke lembaran kertas...

Pada muka surat akhir, ada 'glosari', ada catatan tentang watak-watak ciptaan dia, yang jelas dipengaruhi cerita-cerita dari Jepun.

Setakat ini, ini adalah hadiah terbesar yang dia terima dalam penulisan cerita berbahasa Inggeris, dari Menteri Besar Perak pada Majlis Hari Guru Peringkat Negeri 2011. (Dah cerita dalam entri berkenaan-pada tangga  ke dua koleksi Carta Ceritera @Sanggar Maya ckLah di 'side bar' sebelah kanan blog ini>>).
Wajah cemas, pada majlis yang besar (besar bagi dialah!)
 :D

Sebenarnya,  dari kecil dia memang suka bercerita dan beraksi dalam bahasa Inggeris, walaupun ibunya menggunakan bahasa Jawa. Sebelum mahir baca tulis, dan sebelum boleh menulis 'novel'nya (haha), dia suka speaking bercakap...apatah lagi kalau aksinya dirakam secara audio visual.
 
Masa berumur 5 tahun :
(3 kali 'The End' tu..:D)

(Jangan peduli tentang latar prop yang bagai tongkang pecah dan suara latar abangnya, Bin yang belum baligh waktu itu. Haha)




Selamat mengadapi peperiksaan akhir tahun esok ya Nuha. Jawab elok-elok! Lepas Zuhur ini, ibu nak ke asrama abang Bin pula, untuk memberi suntikan semangat. Esok, abang Bin pun mula periksa!

******
"Isk, promote anak ke ckLah?"
"Ha..ahhh! Aterrr, dah beberapa entri asyik tulis cerita duka lara pasal anak orang je, kan!!!Hahahaha"

20111012

Kalau yang ber'bin', boleh juga kubacakan selawat, atau kubacakan Ayat 200 Surah Al Imran... ku hembuskan....

Nakal. Nakal yang sungguh-sungguh!!!

Itu impresi saya saat hari pertama berkenalan dengan mereka ketika mula masuk ke sekolah ini 2 bulan lalu. Mula-mula, memang itu satu kejutan budaya, yang belum pernah saya temui selama 20 tahun bergelar guru di sekolah perempuan yang disebut-sebut sebagai sekolah terbaik di daerah ini dan sedang menunggu keputusan 'penjurian' Sekolah Berprestasi Tinggi 2011. (walaupun saya sedar (sangat sedar)dan tidak menolak hakikat bahawa pertukaran sekolah itu perlu supaya saya boleh melihat suasana sekolah yang lain dari sekolah asal saya)

Selama seminggu, memang fikiran dan jiwa saya berhempas pulas memikirkan strategi, kaedah, teknik dan cara ter'betul' untuk menghadapi mereka. Proses P&P amat payah untuk dilakukan kerana masa yang sedikit saya tepaksa gunakan selalu untuk menenangkan mereka. Mereka bukan saja nakal, malah, tidak mahu belajar langsung. Bukan sekadar tidak mahu belajar, tapi, tak menghormati guru langsung. Bukan saja tak menghormati guru, malah.....malah...malah....ahhh, terlalu banyak kalau mahu disenaraikan namun di hujung-hujung saya amat sedar, bahawa selagi mereka menjadi murid saya, ada sesuatu yang tergalas di bahu saya.

Dalam kelas 4 J yang terdiri dari 36 orang itu, 14 daripadanya adalah murid baru (keluar masuk) dari sekolah lain. Dengan kata mudah, murid yang dibuang dari sekolah lain. Malah, ada yang saya hampir belum melihat wajahnya, kerana kekerapan ponteng sekolah. Kadang-kadang, seperti mahu menyerah dan membiarkan saja. Tapi, sebagai seorang Muslim, saya amat sedar tentang kewajiban menggalas amanah...

Dua bulan saya mencuba. Syukur Alhamdulillah....kesan positif kelihatan berlaku ke atas beberapa murid yang berbangsa Melayu. Maaf, maaf, maaf! Saya bukan seorang yang rasis. Saya bercerita perkara yang benar. Beberapa budak lelaki Melayu yang dianggap 'hard-core' selama ini sudah menampakkan perubahan. Yang paling nakal, Syawal (nama lain) setiap hari menunggu kehadiran saya untuk membawakan buku-buku saya dan sentiasa berebut dengan Fitri (nama lain) untuk menghantarkan buku-buku saya ke bilik guru. Adzim (nama lain) setiap hari membantu saya memadamkan papan tulis dengan kertas tisu yang saya beri, di kelas yang pemadam papan tulisnya sentiasa hilang itu!

Amir, Jaafar, Nazrul dan Aziz (nama lain) sentiasa membawa kerusi mereka mengelilingi meja guru kerana mahu mendengar 'cerita' saya dengan lebih puas. Saya biarkan mereka selesa dengan tempat duduk pilihan mereka begitu, asalkan mereka mahu belajar. Kalau tidak begitu, tumpuan mereka akan diganggu oleh beberapa murid yang masih tegar....

Dan yang paling membuat saya senyum, anak-anak itu berlumba-lumba menyiapkan setiap kerja kerana teruja untuk membaca pujian saya dalam buku latihan mereka. Haih.....walaupun kelihatan gagah perkasa dan sentiasa berlagak hero, mereka sebenarnya masih punya jiwa anak-anak yang mendambakan pujian.Saya faham, sebahagian besar mereka memang kurang atau tidak mendapat langsung apa yang dinamakan 'KASIH SAYANG' di rumah. (Saya sedang cuba mengenali latar hidup mereka satu persatu!)


Siapa yang masih tegar?

Ahhh, nanti-nantilah....kiranya ada ilham dan keberanian, saya akan menulis tentang mereka. Tentang jerih dan suka duka saya berhadapan dengan murid-murid saya yang memang nakal itu. Memang nakal! Nakal yang sungguh-sungguh! Tapi, mereka tetap murid saya, yang baru saya kenali...

Saya pendekkan cerita dulu, kerana saya memang sedang ada tugas yang agak berat. Nak cerita saya sedang sibuk, seganlah pulak. Sibuk seorang cikgu biasa, tak setara mana pun. Tak baik merungut-rungut, kan! Orang lain, lagilah punya tugas-tugas yang lebih penting!

Pagi ini, saya 'berbual-bual' dengan 'hero-hero yang tidak berbin' itu! Mereka dihantar kepada saya oleh pengawas bertugas, di bawah tanggungan saya. Sesi perbualan yang mencabar! Mencabar sabar. Mencabar masa. Mencabar rasa. Dengan tubuh beraroma rokok, saya hadapi juga mereka. Dengan tingkah laku tidak sopan mereka. Dengan reaksi bahasa yang kasar meraka (awalnya) saya tahankan juga dengan bahasa saya yang lebih lembut. Dengan ayat-ayat yang berputar belit itu, saya cuba untuk memujuk diri, mereka tetap boleh berubah....meskipun saya kurang yakin (langsung)! Kadang-kadang saya tertawa sendiri...saya ini, guru disiplin atau kaunseling!!!

"Karthigasu, kalau kamu tak nak belajar, kamu nak jadi apa lepas sekolah nanti?" teringat soalan saya kepada murid yang dipanggil 'KITERETSU' oleh rakan-rakannya itu. Antara seorang yang ditakuti oleh pengawas-pengawas sekolah di bawah jagaan saya.

"Ta da susah ceghooo. Habis sekolah, bunuh orang...potong-potong. Masuk penjara dapat makan free appa! Hahahahahaha!"

Ya Allah....
Tiba-tiba, terlintas bayangan wajah-wajah empunya tangan bergari Khatavarayan, Thilaivalagan, K Saravanan dan U Suresh, yang saban hari mutakhir ini sentiasa berulang-alik ke kamar Mahkamah, kerana selama ini terdidik di sebuah universiti jalanan di ladang Telok Gadong, Banting!Anak-anak muda yang selama ini menjadi murid kepada tok guru mereka, peguam tak ingat etika, Pathmanathan!!!


-EDISI CERITA PANJANG TANPA GAMBAR-

20111010

Apabila bulan bercincin...

Subhanallah...sebaik membuka bumbung kereta tadi, terkagum dengan bulan. Pertama kali melihat fenomena 'Moon-Ring'. Sayang sekali, tak dapat merakam keindahan itu kerana saya ketiadaan kamera yang mampu merakam imej sejauh itu dengan baik, tapi, beginilah keadaan bulan yang sedang kami saksikan...betul-betul tegak di atas kepala! Pokok di hujung gambar, menunjukkan betapa besar imej bulat mengelilingi bulan itu kelihatan di langit...
.
Yang ini imej dari Wikipedia. Tapi, beginilah pemandangan bulan dari tempat saya sejak sejam yang lalu. Adik dari Sepang, rakan dari Rawang dan Puchong juga melaporkan perkara sama...
(sekarang 12:23 pagi)


20111009

Hari-hari yang ibu akan menjadi pendiam, dan tumpuan penuh adalah kepada kamu berempat...

1. Selamat meneruskan PMR (Penilaian Menengah Rendah) esok Dib!
2. Selamat menghadapi MUET (Malaysian University English Test) tulat Dia!
3. Selamat menghadapi PAT (Peperiksaan Akhir Tahun) minggu depan Emir.
4. Selamat menghadapi PKSR (Penilaian Kendalian Sekolah Rendah) minggu seterusnya Eiman!



...semua anak periksa, ibu pun tak boleh banyak cerita. Duduk diam-diam, ckLah!




(Ya Allah, kasihilah ke empat-empat anakku itu- Amin)

20111002

Masanya tiba untuk melepaskan kamu berjuang sendirian, anak-anakku...


Kepada semua murid tingkatan tiga di sekolah lama yang cikgu tinggalkan pada 29 Julai 2011 dan murid sekolah baharu yang baru cikgu kenali pada 1 Ogos 2011: -


Setelah segala usaha kita lakukan bersama-sama, kini tiba masanya cikgu melepaskan kamu. Selamat melangkah ke dewan peperiksaan untuk menghadapi PMR!


Jadilah benih yang bernas,
Beribu tahun dijemur panas,
Kekal teguh dari digetis digetas.
Tetap tumbuh mencetus tunas!



Semoga kalian berjaya!


...dan buat anakku Diba:

Doa restu dari abah, ibu, kakak dan adik-adik sentiasa mengiringimu.
Hadapi dengan tenang, yakin dan pasrah...

Di celah kelam senja, ada yang mencari mangsa...

Ini bukan majlis pelancaran kereta model baru...

Semburan Fogging di keliling rumah oleh Pejabat Kesihatan, menjelang Maghrib semalam.


...cuaca hujan, panas, hujan, panas. Nyamuk pun aktif membiak. Seorang jiran di hujung taman sudah diserang denggi. Semoga kami terpelihara dari wabak ini.


Antara doa mengelakkan penyakit:-




JEDA.





Maka, sampai di sini.
Cukuplah.


Kaki blog seorang kaki blog...

Kaki blog seorang kaki blog...