Sebelum meneruskan penulisan, saya ingin menegaskan bahawa saya menerima penggunaan apa-apa sahaja bahasa dalam blog atau laman sosial lain samaada dialek kaum, dialek daerah, bahasa Inggeris, bahasa Cina mahu pun bahasa Tamil, asalkan penggunaannya secara betul! 'Tersilap', boleh dibetulkan. Boleh dimaafkan. Jangan silap tafsir. Isu yang saya cuba ketengahkan adalah 'sengaja merosakkan bahasa' dengan penggunaan 'bahasa SMS' atau 'bahasa rempit' yang semakin berleluasa mutakhir ini.
Saya tidak mahu menegur penggunaan bahasa orang di blog orang (atau di kotak komen orang) kerana saya tahu, bukan semua orang boleh menerima teguran dalam kotak komennya. Pernah saya menegur (secara bergurau) ejaan seseorang yang saya anggap sudah akrab dengan saya di alam blog, dalam blognya, tetapi mendapat reaksi panjang lebar dan sehingga kini individu tersebut tidak pernah menulis komen di blog saya (meski URLnya dilihat sering lalu lalang!) Tak apalah...
Jadi, saya tulis di blog sendiri. Kalau ada yang marah, apalah daya saya. Anda yang masuk dan membaca entri saya! Blog saya memang begini, seboleh-bolehnya, ada sesuatu yang ingin saya sampaikan. Bukan untuk berhura-hura sahaja!
Saya menegur seorang murid kerana menggunakan bahasa demikian (bahasa rempit?) dalam karangan.
Murid itu menjawab:
"Salah ke cikgu? Mak saya pun guna bahasa macam tu dalam 'fb'! Mak saya pun cikgu, dia tak kisah pun?"
Nah...kalau kebiasaan yang salah, yang selama ini kita anggap betul diikuti orang lain, mungkin kita tak berapa kisah. Tapi, kalau kebiasaan yang tak betul itu dicontohi anak sendiri, adakah kita tetap tak rasa bersalah?
Sudah lebih 10 tahun saya terlibat dengan pemeriksaan kertas Peperiksaan Awam, dah setahun dua kebelakangan ini, memang sudah ada calon yang menggunakan bahasa begini dalam peperiksaan penting ini. Bagaimanakah kalau itu adalah anak atau adik kita? Bagaimanakah kalau anak atau adik kita menulis begitu kerana mencontohi kita?
Kalau jawapannya masih "Tak kisahlah!", hmmmm, tak payahlah terus membaca entri saya ini. Saya tidak terima pendapat begini:
"X kshlah. Aslkn msj kt smpi kira orait arrrrr! Wat per skema cgt! Relax arrr"
Kurang ajar tu! Kurang ajar terhadap bahasa bangsa sendiri!!!Bagi sayalah!
Ada orang yang bermati-matian menyatakan rasa tidak setujunya terhadap pelaksanaan PPSMI. Dia tulis dalam blog atau facebook. Dia akan komen kalau ada orang tulis pasal itu, tetapi malangnya semasa menulis bantahannya terhadap PPSMI itu, dia menggunakan bahasa 'rempit tersebut'. Dia sensitif dan mengamuk (bukan main) apabila bahasa Inggeris digunakan dalam P&P Sains Dan Matematik, tapi dia tak sedar bahawa dia sendiri sedang memperkosa bahasanya!!!
Saya pernah menulis isu ini pada laman facebook saya :
![]() |
| Rakan yang bukan Melayu lebih ramai 'setuju'!!! |
Memang saya keluarkan dia dari senarai rakan facebook. 'Keluarkan dari senarai rakan facebook', tetapi di luar facebook, dia tetap rakan saya. Anak saudara saya sendiri pun saya keluarkan dari senarai kalau tidak menerima teguran tentang penggunaan bahasa di laman sosial, tetapi, di luar dia tetap anak saudara saya.
Laman sosial seperti blog ini, dibaca umum. Lainlah kalau kita tutup untuk umum. Kita tidak tahu, siapa-siapa yang membaca tulisan kita. Saya sangat bimbang, andai orang mengambil atau meniru kesalahan saya atau perkara-perkara tidak baik yang saya tuliskan. Dosanya panjang tu! Yalah, apakah perkara yang apabila kita mati, masih boleh menolong kita? Ilmu yang berguna....kan! Cara menyampaikan ilmu itu, tidak terbatas. Boleh secara formal, secara santai, secara lawak jenaka dan macam-macam lagi.
Saya menerima ejaan singkatan yang sudah diterima umum seperti 'sbg', skrg', 'drpd' dan seumpamanya. Itu singkatan. Kalau murid saya gunakan dalam karangan, saya akan betulkan dengan ikhlas. (Namun, sebaik-baiknya, janganlah digunakan untuk penulisan di laman web begini) Masalahnya, ringkaskah kalau 'apa jadi perrrr', 'begitu jadi gitewwww', 'berani jadi braney' , 'ambik jadi amekkk' , 'kamu jadi kamooooo' dan seumpamanya?
Maafkan saya kalau ada sesiapa yang terasa hati. Saya tidak memerli sesiapa, tetapi saya memang berterus terang (direct) kepada sesiapa sahaja yang menggunakan bahasa begini dalam penulisan...
| Antara cabaran pertama saya setelah berpindah ke sekolah bercampur! |
Bahasa kita budaya kita. Bahasa penulis surat (yang cikgu rampas dalam kelas) di atas memang 'kasar' di luar dan dalam kertas. Ironinya, bukan sekadar bahasanya, malah budi bahasa dan akhlaknya juga memang mengecewakan. Bacalah, kalau anda dapat memahami butiran tulisannya. Lihatlah isu yang ditulisnya.
Luahan pada status facebook seorang budak sekolah yang ada hati cuba 'berkawan' dengan saya. Anak cikgu ni. Dia kata, mak dia pun gunakan bahasa macam tu di fb!!!
![]() |
Bahasa Menunjukkan Bangsa :
( Bahasa dan isu yang ditulis, sama-sama murah nilainya.)
|
Hmmmmm, cikgu dah tegur, tapi kamu tak endah. Malaslah cikgu nak terima kamu di fb. Betulkan dulu bahasa kamu di kelas. Dunia maya cikgu bukan untuk suka-suka dan berhura-hura semata-mata! Ada matlamat cikgu!
Susah mahu baca? Ya, itulah yang saya pernah hadapi semasa memeriksa kertas SPM beberapa orang calon dari sebuah negeri. Salah siapa? Ahhhh, tak guna salah menyalah.
Pasal bahasa, saya memang tidak akan berkompromi, kerana itu memang tugas saya...amanah saya!
Mungkin ada yang berpandangan, ini perkara biasa, atau kecil, atau tak perlu difikirkan, tapi bagi saya bukan begitu, kerana, setiap hari saya terpaksa membetulkan penggunaan bahasa yang semakin 'bobrok' (istilah Jawa ya!) dalam kalangan murid-murid saya. Saya boleh terima kesalahan ejaan atau tatabahasa kerana tidak sengaja atau tidak arif. Tak apa!!! Itu tidak sengaja. Saya pun adakalanya tersalah taip, namun saya tidak berkompromi jika disengajakan tanpa rasa bersalah!
Ironinya, orang Melayu, akan cepat-cepat menegur jika orang Melayu tersilap penggunaan Bahasa Inggerisnya, tapi, kalau orang Melayu sengaja menghancurkan bahasa Melayunya, orang Melayu tak pula ghairah nak menegur!!!
BETULKAN YANG BIASA, DAN BIASAKAN YANG BETUL! Siapa lagi yang wajar menghormati bahasa bangsa kita kalau bukan kita sendiri? Kita yang wajar CAKNA akan PERKARA 152 itu!!! Bukan Thaksin Sinawarta atau Lady Gaga!!!
"KITA PERKASAKAN BAHASA MELAYU, KITA KUASAI BAHASA ASING - FORMULA TERBAIK PERKAYA ILMU!"
...ya, anak-anak saya sendiri ada yang mengambil mata pelajaran Bahasa Jerman (Bin), Bahasa Arab (Nuha) dan Bahasa Jepun (Dia), sebagai bahasa antarabangsa pilihan di sekolah, selain bahasa Inggeris dan pastinya Bahasa Melayu!!!
Maafkan saya kalau ada yang tersinggung atau marah dengan tulisan saya, lalu tidak ingin kembali lagi ke sini. Saya tidak kecil hati, kerana tuan blog ini memang tidak pedulikan 'trafik' keluar masuk blognya, seperti yang saya catatkan pada bahagian atas pemuka blog ini. Ya, saya menulis bukan kerana nama...
Catatan pada kotak komen...
![]() |
| Ya, saya maksudkannya... |
*******






























